in , ,

Akui Agak Terlambat Masuk Industri, Tapi Adami Hairi Berjaya Buktikan ‘Sesuatu’!

Penyanyi baru yang sedang mencipta nama, Adami Hairi, 32,  akui masih ramai yang belum menyedari kewujudan dirinya dalam industri hiburan selama ini.

Menurut Adami, dia sebenarnya sudah mula aktif menyanyi sejak berusia 18 tahun lagi. Namun Adami sentiasa percaya pada rezeki dan ketentuan Allah SWT.

“Saya ada juga terfikir mungkin saya agak lambat masuk industri, tapi sebenarnya saya dah mula aktif sejak berusia 18 tahun lagi. Mungkin masih ramai yang belum mengetahui kehadiran saya selama ini.

“Saya juga tahu dalam industri sekarang, ramai penyanyi baru seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Boleh dikatakan, hampir setiap hari ada saja wajah-wajah baru.

“Bagi saya, persaingan itu memang ada, namun saya yakin setiap penyanyi mempunyai genre yang berbeza. Saya percaya pada rezeki Allah, bila ada usaha Insya-Allah akan tercapai, bezanya kita akan dapat cepat atau lambat,” katanya.

Adami Hairi

Untuk makluman, Adami merupakan petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Unit Kawalan Penyakit ,Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, Melaka.

Bercakap mengenai kerjaya hakikinya itu, Adami yang juga anak kelahiran Jasin akui masih menumpukan lebih perhatian dan perlu bijak membahagikan masa.

“Kerja hakiki adalah sumber rezeki saya juga. Cabaran utama untuk saya sekarang adalah masa. Saya harus lebih bijak dalam membahagikan masa untuk kerja hakiki dan sebagai seorang penyanyi.

“Untuk masa sekarang ini, saya akan fokuskan dahulu waktu bekerja sebagai petugas kesihatan,” jelasnya.

Adami tampil dengan single sulung ciptaan sepenuhnya oleh Rosli Ahmad dan diterbitkan Radical Record Studio yang berjudul Forte.

“Lagu Forte ini mengisahkan tentang penceritaan saya sendiri, dari dahulu sehingga kini betapa sukarnya untuk capai ke tahap ini, dan akhirnya membuktikan pada mereka yang pernah merendahkan saya. Dahulu ada rakan-rakan yang tidak memberikan sokongan, sekarang Alhamdulillah perkara yang saya impikan jadi kenyataan.

“Dalam pada itu, mungkin ramai juga yang tertanya maksud Forte, ia diambil daripada Bahasa Itali yang bermaksud kuat,” ujarnya.

Adami Hairi

Justeru, Adami berharap agar dapat para pendengar dapat menerima single Forte dan semestinya kehadiran dirinya dalam dunia seni tanah air.

“Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, cuma saya berharap agar pendengar di luar sana menerima karya ini juga kehadiran diri saya dalam industri. Saya harap para pendengar boleh memberikan sokongan kepada saya.

“Lagu Forte ini juga pernah berada dalam carta radio beberapa minggu di Melaka FM juga pernah menjadi juara carta. Bagi saya yang masih baru lagi, saya sendiri rasa gembira apabila lagu ini diterima oleh para pendengar. Apapun, saya akan terus memperjuangkan karya ini.

“Seperti yang saya katakan, saya sentiasa percaya pada rezeki yang diberikan oleh Allah, yang penting kita usaha,” katanya menutup bicara.

Kredit:

Penyanyi: Adami Hairi

Penulis Lirik: Rosli Ahmad

Komposer: Rosli Ahmad

Terbitan: Radical Record Studio

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Portal Featured 1 | 18

Arab Saudi Isytihar 22 Februari Sebagai Hari Penubuhannya

Misha Omar Smile | 19

Malam Amal Bunga-bunga Cinta Misha Omar Berjaya Realisasikan Usaha Murni Untuk Anak Seni