TV9 membawakan kepada anda satu lagi program terbarunya, Remaja Ekstrem, yang sarat dengan pelbagai jenis aktiviti-aktiviti lasak dan ekstrem yang dapat menarik perhatian generasi muda abad 21 untuk mengembangkan arena sukan di negara kita. Baik dari paragliding hingga sukan luncur, Remaja Ekstrem mempunyai objektif untuk memperkenalkan sukan-sukan ini kepada golongan belia sekaligus mempromosikan kepentingan cara hidup aktif dan penjagaan kesihatan kepada orang ramai.
Rancangan 13 episod ini akan bersiaran di TV9 bermula 11 Mac 2011 ini pada setiap hari Jumaat jam 6.30 petang. Selain mengenali sukan-sukan ekstrem masa kini, rancangan ini juga merupakan satu motivasi untuk meningkatkan lagi daya saing yang sihat serta keyakinan diri tanpa rasa ragu-ragu. Segala perasaan takut dan fobia sekurang-kurangnya dapat dihindarkan bagi mereka yang memberanikan diri untuk mencuba sukan-sukan ini. Bukan itu sahaja, malah aktiviti-aktiviti ini juga dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam perkara negatif yang semakin berleluasa pada masa kini.
Penggunaan kamera berteknologi tinggi seperti Canon HD XF 300 Professional Camcorder Camera, LEGRIA HF M300 Camcorder, EOS 1000D DSLR dan IXUS 300 HS Camera telah banyak membantu program ini untuk merakamkan detik-detik menarik sepanjang pengambaran berlangsung.
Bersama Tengku Naharuddin Izwan (Deq Wan) sebagai pengacaranya, beberapa lagi selebriti tempatan juga akan menyertai sukan-sukan terbabit seperti Black, Adzriefaiz Azlan, Heliza, Mimie One Nation Emcess, Zizan Raja Lawak dan ramai lagi. Antara sukan-sukan yang akan ditonjolkan adalah paragliding, paintball, motorcross, luncur air, Muay Thai, menyelam, ATV, hoki ais, rally dan banyak lagi. Remaja Ekstrem diterajui oleh Ismail Rasakh sebagai penerbitnya dan Azura Abdul Karim sebagai penerbit eksekutifnya.
Kebanyakan peraturan sukan-sukan ini amat menekankan pentingnya keselamatan dan kerjasama di dalam kumpulan supaya mereka yang terbabit mendapat pengalaman yang sememangnya tidak dapat dilupakan. Pada setiap episod, Remaja Ekstrem akan mengetengahkan seorang remaja beserta dengan kejayaannya. Dia akan menerima satu sampul surat yang mengandungi cabarannya untuk hari tersebut.
Setiap cabaran mempunyai objektifnya yang tersendiri, contohnya jika remaja tersebut ingin melupuskan perasaan takutnya atau ingin mengasah kemahirannya dalam bidang sukan. Dia akan diberi penerangan yang menyeluruh oleh para profesional sebelum melakukan aktiviti tersebut. Ikuti saat-saat cemas dan getir ketika sepanjang pengalaman mereka dalam rancangan ini.
Dapatkah mereka menyelesaikan cabaran-cabaran yang telah diberikan kepada mereka? Apakah strategi dan taktik yang akan digunakan oleh mereka? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Remaja Ekstrem di TV9 pada setiap hari Jumaat jam 6.30 petang!
Pengacara Remaja Ekstrem, Deq Wan, bersama artis jemputan, Faiz
Pengacara Remaja Ekstrem, Deq Wan