in ,

Akim & The Majistret Rentap Emosi Dalam RAMPAS

Apabila diduga dengan pemergian insan tersayang memang suatu pengalaman yang sangat memeritkan. Apatah lagi bila insan itu adalah seorang wanita bernama ibu yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya. Bagai hilang syurga dunia, bagai hilang kunci keberkatan.

Seumpama kata mutiara ‘Apabila tertutupnya mata ibu kamu, maka hilanglah satu keberkatan hidup, iaitu doa seorang ibu’. Begitulah tema yang cuba diangkat dalam “Rampas”, single terbaru dari band popular tempatan, AKIM & THE MAJISTRET (ATM).

Akim & The Majistret Rentap Emosi Dalam RAMPAS

Bagai menggambarkan jeritan batin penyanyi band ini sendiri, Akim Ahmad yang kehilangan ibu tercinta pada Mei lalu, lagu ini bercerita tentang peritnya kehilangan, pengalaman pahit yang menginsafi diri dan mengajar erti redha. Bait-bait lirik dalam “Rampas” ini seolah-olah cuba menterjemahkan apa yang dilalui oleh Akim.

Penyampaian Akim yang sarat dengan emosi dalam melagukan setiap patah kata diiringi dengan gubahan muzik yang cukup dinamik menyerlahkan lagi elemen melankoli yang mampu meresap ke dalam jiwa dan menghantui halwa telinga pendengar.

“Rampas” membawa konsep pop-rock balada sama seperti lagu hits mereka terdahulu seperti ‘Potret’ dan ‘Mewangi’, ATM tetap mengekalkan bunyi khas mereka namun permainan instrumen di dalam lagu ini diberi kelainan dengan suntikan elemen muzik retro.

“Rampas” merupakan karya ciptaan Akim Ahmad dan Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq.

Manakala lirik pula ditulis oleh Stacy Anam dibawah nama pena, Bunga Cantik. Ianya diterbitkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim dan Stacy dengan kerjasama Nova Music Malaysia sebagai pengedar.

Bagi membina momentum menjelang tarikh “Rampas” dilancarkan pada 7 SEPTEMBER 2018 nanti, ATM bakal mengacah peminat dengan memperdengarkan lagu “Rampas” secara langsung di hadapan khalayak ramai buat pertama kalinya pada 31 Ogos 2018 (Jumaat) jam 8.30 malam di Konsert Sayang Malaysia yang bertempat di tempat letak kereta Istana Kehakiman, Putrajaya.

Turut dilancarkan bersama single ini nanti adalah video muzik rasmi “Rampas” akan. Video muzik arahan bersama Hasif Hamid dan Ghazi Maslan ini menjanjikan kelainan apabila ianya turut menampilkan Jade-Anh, seorang model dan instafamous yang berasal dari Jerman.

Akim & The Majistret Rentap Emosi Dalam RAMPAS

Mengenai AKIM & THE MAJISTRET

Bermula sebagai band projek pada tahun 2014, eksperimentasi ATM ternyata berhasil apabila berjaya melangkah sejauh hari ini dan mencipta jenama sendiri sebagai band tempatan arus perdana terunggul masa kini.

Dianggotai lapan anak muda berbakat iaitu Akim selaku penyanyi, Wan (pemain dram), Freddy (gitaris utama), Gjie (gitaris kedua), Zimi (gitaris ketiga), Fairuz (pemain bass), Afiez (pemain keyboard) dan Rajwan (digital drum). Gabungan Akim dan enam pemuzik daripada band-band popular tempatan ternyata berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Sejak memulakan perjalanan seni mereka menerusi single berhantu “Mewangi” pada tahun 2014 dan album sulung mereka, “Patriot” pada tahun 2015, ATM meraih kejayaan demi kejayaan yang membanggakan termasuk dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Potret di Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30), Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 3.0).

ATM yang kini bergerak sendiri, semakin rancak merencana perjalanan seni mereka. Pada tahun 2016, ATM muncul sebagai selebriti paling berpengaruh di media sosial apabila mereka dinobatkan sebagai Personaliti Terunggul di Anugerah Pilihan Online (APO). Manakala pada tahun 2017, ATM berjaya memartabatkan muzik mereka dalam satu konsert perdana yang diadakan di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Tahun 2018 pula menyaksikan ATM membuka lembaran seni mereka dengan mengadakan konsert berskala besar buat julung kalinya di pentas berprestij Esplanade, Singapura pada Januari yang lalu. Suatu pencapaian yang seharusnya dibanggakan apabila band tempatan yang baru berusia setahun jagung berjaya menawan hati peminat di Kota Singa. “Lygophobia”, “Lagu Untuk Laila” dan “Stereotype” antara lagu hits terkini mereka yang mengukuhkan lagi tapak mereka dalam industri muzik tempatan.

ATM beraspirasi untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti dan berazam untuk memartabatkan muzik Malaysia dengan melebarkan sayap mereka ke luar negara.

Bermula daripada 7 SEPTEMBER 2018, “Rampas” bakal ke udara di corong-corong radio seluruh negara dan juga boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify , iTunes , KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music termasuk video muzik rasmi “Rampas” yang bakal tersedia di saluran Youtube Rhythm & Rhyme Entertainment.

VIDEO MUZIK RASMI “PUAS” JUGA BOLEH DITONTON DI SALURAN YOUTUBE NOVA MUSIC VIDEOS MULAI HARI INI JAM 9 MALAM DIPAUTAN INI : https://youtu.be/OUS5XFR6jGA

IKUTI AKIM & THE MAJISTRET DI MEDIA SOSIAL

FACEBOOK : https://www.facebook.com/akimandthemajistret
TWITTER : https://twitter.com/akim_majistret
INSTAGRAM : https://www.instagram.com/akim_themajistret

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tiket PERCUMA FESTIVAL FILEM JEPUN 2018

Permohonan Visa Ke Rusia Kini Jadi Lebih Yang Mudah