in , ,

Akim & The Majistret Lancar Single SAKSAMA di Showcase Istimewa

Nama kumpulan Akim & The Majistret (ATM) tidak perlu diperkenalkan lagi. Dari lagu hit pertama mereka, “Mewangi”, nama kumpulan ini terus gah dan mereka berjaya mengumpul jutaan peminat yang setia.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kumpulan yang membuat penampilan sulung pada tahun 2014 itu menjadi antara band generasi baharu yang berjaya melakarkan rekod cemerlang bukan hanya menerusi karya yang dihasilkan tapi juga menerusi penampilan mereka ketika beraksi di pentas. 

Persembahan bertenaga kumpulan yang diketuai oleh vokalis berkarisma, Akim Ahmad disokong anggota kumpulan yang lain, Wan 6ixthsense (drum); Freddy Hyperact (gitar); Fairuz Sofazr (bass); Afiez Azam (keyboard); Gjie 6ixthsense (gitar); dan Zimi Sofazr (gitar) sentiasa dinanti- nantikan peminat. 

Masih Energetik! Akim & The Majistret Lancar Single Saksama di Showcase Istimewa

Lebih membanggakan apabila ATM pernah menggegarkan pentas ‘Anugerah Juara Lagu’ ke-30 apabila dinobatkan sebagai Juara dan turut memenangi anugerah ‘Persembahan Terbaik’ menerusi lagu “Potret”. 

Selepas kali terakhir muncul dengan single “Roulette” tiga tahun lalu, ATM kini kembali mengubat kerinduan peminat mereka menerusi lagu terbaharu “Saksama” hasil ciptaan seluruh anggota ATM dan Bunga Cantik (Stacy) yang bertindak sebagai penulis lirik. 

Masih Energetik! Akim & The Majistret Lancar Single Saksama di Showcase Istimewa

Lagu bergenre ‘Rock Alternatif’ yang diterbitkan oleh Nova Music ini dilancarkan secara rasmi pada 9 Jun ’23. 

Mewakili ATM, Akim, 32, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, keunikan lagu “Saksama” terserlah dari awal proses pembikinan lagu hinggalah selesai. 

“Single terbaharu daripada Akim & The Majistret ini dicipta sepenuhnya oleh setiap anggota kumpulan ini sendiri. Liriknya pula daripada Bunga Cantik yang juga adalah isteri saya, Stacy dan ia menjadi satu gandingan yang tiada dua. 

“Saya juga sentiasa berbincang dengan Bunga Cantik mengenai apa yang kami mahukan. Semasa proses rakaman juga, memang Bunga Cantik sendiri yang menjadi penerbit vokal untuk single Saksama ini. Banyak input menarik yang kami terjemahkan dalam lagu ini sebenarnya. 

“Bagi lagu ini, saya dapat merangkumkannya dalam satu perkataan iaitu tenang. Semua yang pernah mengkuti lagu-lagu kami, memang lagu Saksama ini ada perbezaan sedikit kerana ia lebih tenang. Setiap anggota dalam ATM memberikan idea dan sesuatu yang bersesuaian untuk melengkapkan penghasilan lagu ini,” katanya. 

Masih Energetik! Akim & The Majistret Lancar Single Saksama di Showcase Istimewa

Menurut Akim, ATM mengambil masa tiga tahun untuk kembali dengan karya terbaharu. 

“Memang agak lama, dan saya sendiri sedar dengan perkara itu. Sebenarnya apa yang berlaku, saya dan isteri berehat sekejap. Kami memang aktif buat lagu untuk artis lain dan pada masa sama baru terima cahaya mata iaitu anak yang ketiga. Jadi, banyak masa saya itu dihabiskan untuk melihat anak membesar. Perkara seperti itulah yang menbuatkan saya agak lama berehat. Tapi berkat daripada semangat yang diberikan oleh anak dan keluarga, hari ini saya datang bersama ATM untuk lagu terbaharu berjudul Saksama. 

“Pada saya, lagu ini adalah permulaan baharu untuk perjalanan ATM seterusnya. Saya gembira dengan apa yang terhasil sekarang ini. Kami ada lagu lain juga sebab ada perancangan untuk mengeluarkan album penuh. Insya-Allah, kami akan cuba sehabis baik untuk siapkan album itu tahun ini,” katanya. 

Selain perancangan membuat album, Akim berkongsi ATM juga mempunyai impian untuk mengadakan konsert besar dan siri jelajah ke seluruh negara. 

“Kami memang ada berbincang dengan pengurus mengenai perancangan akan datang yang mahu dilaksanakan. Namun, semua itu dalam fasa seterusnya dan sekarang ini kami dalam fasa untuk menyiapkan album terbaharu ATM. 

“Selepas ia selesai, kami akan ke fasa untuk mengadakan konsert dan siri jelajah ke lokasi terpilih. Saya berharap peminat dapat bersabar dan berdoa supaya kami diberi kemudahan untuk selesaikan album ini sebelum beralih ke fasa seterusnya,” katanya. 

Masih Energetik! Akim & The Majistret Lancar Single Saksama di Showcase Istimewa

Dalam perkembangan lain, ATM yang hampir 10 tahun dalam industri muzik tanah air mahu terus diterima baik oleh peminat dan masyarakat. 

“Peminat juga sedia maklum akan semangat kami dalam bidang muzik ini dan ATM adalah platform terbaik untuk kami menterjemahkannya. Ia seiring juga dengan perkembangan ATM yang hampir menginjak usia 10 tahun. Evolusi muzik kami membawa satu gambaran berbeza untuk ATM dahulu dan sekarang,” katanya. 

Serentak dengan pelancaran lagu “Saksama” pada 9 Jun ‘23, siaran perdana video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari yang sama jam 8 malam di https://youtu.be/NhFTXzz6Ek8 diikuti ‘live’ striming ‘Afterparty’ ATM secara eksklusif bersama ahli-ahli YouTube Premium mulai jam 8.05 malam. Selepas itu, kumpulan ATM membuat showcase ‘live’ khas selama lebih 1 jam buat semua jemputan dari media mulai jam 9 malam. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Janna & Dini Schatzmann Sah Bergelar Suami Isteri dengan Sekali Lafaz

ISMAIL IZZANI

Pihak Pengurusan Tidak Akan Teragak Untuk Saman Pemfitnah Ismail Izzani