in

AIFFA2017 Platform Penggiat Filem Serantau

DUA tahun lalu, industri filem Malaysia melakar detik manis apabila berjaya merangkul dua anugerah utama pada Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Kejayaan besar tersebut dikecapi produksi filem Terbaik Dari Langit yang memenangi kategori Filem Terbaik, manakala aktor utama, Bront Palarae pula dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik daripada filem yang sama.

Biarpun bersaing dengan naskhah popular dan terbaik nukilan karyawan dan penggiat seni dari negara ASEAN yang lain, situasi tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangat pengkarya seni tempatan untuk terus memperjuangkan karya ke peringkat lebih tinggi.

AIFFA2017

Kenyataan tersebut terbukti apabila AIFFA2017 yang dianjurkan buat kali ketiga telah menerima sebanyak 45 penyertaan daripada pemain industri filem tempatan untuk pelbagai kategori yang dipertandingkan dalam anugerah tersebut.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Anugerah Pengarah Fotografi Terbaik, Anugerah Drama Terbaik, Anugerah Aksi Terbaik, Anugerah Komedi Terbaik dan Anugerah Suntingan Filem Terbaik.

Pengarah Festival AIFFA2017, Livan Tajang menegaskan, penyertaan yang diterima daripada pengkarya tempatan jelas menunjukkan perkembangan positif dalam industri perfileman negara.

“Setakat ini, pihak penganjur sudah menerima lebih 100 penyertaan dan 45 daripadanya merupakan karya produksi tempatan. Jumlah ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga penyertaan ditutup pada 28 Februari ini.

“Peluang masih terbuka sekiranya penggiat seni tanah air masih mahu menghantar penyertaan, sama ada filem komersial, indie ataupun filem pendek,” katanya pada sidang akhbar khas AIFFA 2017 di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, minggu lalu.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif AIFFA, Jafrri Amin, Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Datuk Deddy M. Burhan dan aktres tersohor, Vanidah Imran.

Mengulas lanjut mengenai AIFFA2017 yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 6 Mei nanti, Livan turut menyarankan penggiat seni di Sabah terlibat serta dalam anugerah tersebut. Sambungnya, sepanjang penganjuran AIFFA, pihak penganjur belum pernah menerima penyertaan daripada produksi yang berpangkalan di Negeri di Bawah Bayu itu.

“Saya pasti ramai penggiat seni kelahiran Sabah telah menghasilkan dokumentari atau filem pendek mahupun filem indie yang sarat dengan kepelbagaian budaya dan etnik di negeri tersebut. Usah disimpan untuk tatapan warga tempatan sahaja, rebut peluang ini dengan mempromosikan keunikan yang terdapat di negeri anda kepada penonton ASEAN,” ujarnya lagi.

Sementara itu, aktres yang pernah mengungguli trofi Pelakon Terbaik Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem The Red Kebaya menyifatkan AIFFA sebagai platform terbaik kepada penggiat seni berhimpun dan saling bertukar pendapat.

“Sejak dianjurkan buat kali pertama pada 2013 dan seterusnya pada 2015, saya antara barisan selebriti yang sentiasa melibatkan diri dalam apa jua aktiviti yang dijalankan AIFFA.

“Sambil berhibur, saya berpeluang beramah mesra bersama peminat dan berkenalan dengan pelakon serta pengeluar filem dari negara-negara ASEAN terlibat. Kami akan membincangkan mengenai isu dan masalah serta bertukar idea bagi sama-sama meningkatkan perfileman di ASEAN,” ujarnya sambil menyarankan orang ramai menyertai pelbagai aktiviti yang telah disusun untuk AIFFA2017.

Selain menonton filem yang dipertandingkan secara percuma bermula bulan April nanti di Amphitheatre Waterfront Kuching, Sarawak, khalayak Sabah juga berpeluang menyertai bengkel lakonan dan penulisan skrip anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional.

Sumber: Kosmo!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kuching Plays Host to The Asean International Film Festival & Award 2017

Siri Jelajah DFKL 2017 di Johor Bahru Happening Giler