in , ,

Ahmad Ezzrin Loy Amanda Misbun dalam Drama PEKAN

RTM SIAR KISAH SI PEKAN MODEN DI TV1

Kita biasa mendengar kisah lagenda Batu Belah Batu Bertangkup yang terkenal dengan kisah kenakalan anak lelaki bernama Pekan di samping kakaknya yang penyayang, Melur. Dek kerana kenakalan Pekan membuatkan ibunya membawa hati yang lara ‘ditelan’ oleh gua Batu Belah Batu Bertangkup. Kini lagenda itu telah lama berlalu dan hanya sejarahnya yang disampaikan menerusi buku dan mulut ke mulut.

Namun lagenda yang sarat dengan pengajaran itu kembali dihidupkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menyiarkan drama bersiri 13 episod bertajuk Pekan yang bakal menemui penonton mulai 9 April 2011, setiap Sabtu, jam 10.00 pagi menerusi TV1.

Watak Pekan moden dibawakan oleh Ahmad Ezzrin Loy yang bergandingan dengan Amanda Misbun sebagai Melur selain dibantu oleh Nazim Othman, Sabri Yunus, Safura Yacob dan Fazlina Dato Ahmad Daud.

Sepanjang 13 episod siarannya, penonton diajak menghayati kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Pekan yang ceria dan mengalami pelbagai peristiwa menarik di samping keluarga dan rakan-rakannya. Sepanjang hari Pekan mengabiskan masa bersama teman baiknya, Naim. Kerenah Pekan yang malas untuk ke sekolah seringkali membuatkan ibunya, Seri hilang sabar. Begitu juga Melur yang kerap menjadi mangsa buli Pekan apabila dia cuba membantu ibunya memujuk Pekan supaya ke sekolah.

Begitu pun Pekan sememangnya bijak dalam merekacipta alat termasuklah alat yang mampu membuatkan manusia tidak mengantuk dan alat yang mampu mengeramkan telur sendiri. Keistimewaan dan kemahiran Pekan itu berjaya dikesan Cikgu Mohar yang berjanji mahu membantu Pekan melebarkan kemahirannya itu. Malah situasi itu membuatkan Pekan kembali bersemangat untuk ke sekolah semula.

Namun Pekan terpaksa berdepan dengan musuh ketatnya, Pidot. Pidot seringkali cuba untuk menimbulkan kemarahan Pekan walau dengan cara apa sekalipun. Kerana angkara yang ditimbulkan oleh musuhnya itu, Pekan teruk dimarahi ibunya. Apatahlagi Seri malu dengan tohmahan orang kampung yang mengatakan dia tidak pandai menjaga anak. Situasi itu membuatkan Pekan rasa tidak puas hati. Dia mula ingkar dengan nasihat orang tuanya. Secara tak sengaja Pekan telah tercakap kasar. Seri marah dan memukul Pekan.

Pekan kemudiannya merajuk dan melarikan diri. Pekan lari menghampiri kawasan kuari. Ketika itu Seri masih lagi mengejar anaknya itu. Sewaktu mengejar Pekan, tiba tiba satu runtuhan batu berlaku yang menyebabkan Seri tertimbus. Pekan tergamam melihat kejadian itu.

Seri terus hilang daripada pandangan semua orang. Pekan dan Melur yang kesedihan setelah kehilangan ibu mereka tinggal berdua sejak itu dengan bantuan kecil yang sentiasa dihulurkan Cikgu Mohar. Namun pada masa sama muncul jiran kampung bernama Timah yang selalu memaksa Melur berkahwin dengan Pak Sahar yang sememangnya kaya. Melur menolak dengan baik kerana dia mahu berjaya dalam pengajiannya dahulu. Tetapi mereka tetap mendesak apatahlagi kehidupan mereka dua beradik mula dihimpit kemiskinan.

Ketika itu tiba-tiba muncul khabar angin yang mengatakan Seri masih hidup dan tinggal bersama Nenek Bayan di hutan. Mereka dua beradik bergegas mahu mendapatkan ibu mereka yang sememangnya masih hidup cuma dia merajuk dengan sikap Pekan yang dengan angkuh mengatakan dia boleh hidup tanpa ibunya itu.

Kerana terlalu gembira, Seri terus melintas jalan tanpa menoleh kiri kanan. Sebuah kereta melalui jalan tersebut dengan lajunya. Mereka saling berteriak memanggil antara satu sama lain.Tiba tiba tubuh Seri melambung dilanggar kereta. Seri cedera parah.

Adakah Seri akan selamat? Atau masihkah ada kesempatan bagi Pekan untuk memohon kemaafan daripada ibunya? Bagaimana pula dengan cita-cita Pekan untuk menjadi seorang perekacipta? Mungkinkah segalanya akan kesampaian?

Drama Bersiri Pekan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Profile Amylia Nastasha Aziz

Sekitar Majlis Apresiasi Suria Cinta