in , ,

Telemovie Kasanova Metropolitan Lakonan Amanda Misbun

Telemovie Kasanova Metropolitan Hujung Minggu Ini Di TV1

Hujung minggu ini menerusi slot Panggung Ahad, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi menyiarkan telemovie menarik kisah penyamaran seorang pemuda kasanova yang mahu mengejar cinta tiga orang gadis secara serentak tanpa mengetahui gadis-gadis yang cuba dipikatnya itu merupakan teman baik.

Telemovie lakonan Amar Alfian, Tania Hudson, Amanda Misbun, Hanez Suraya dan Achong Sweet Child bertajuk Kasanova Metropolitan disiarkan pada 11 September 2011, jam 10.00 pagi di TV1.

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Kassim seorang pemuda yang bekerja sebagai pemandu kepada seorang ahli perniagaan berbangsa Arab, Tuan Sheikh. Rangkaian perniagaan Tuan Sheikh di merata buah tempat membuatkan dia selalu keluar negara. Dengan ketiadaan Tuan Sheikh, Kassim menggunakan peluang untuk berlagak dan menyamar sebagai orang kaya dengan menggunakan kereta mewah Tuan Sheikh bagi memikat gadis-gadis cantik untuk dijadikan teman wanitanya.

Waida, Intan dan Linda pula adalah tiga orang gadis yang duduk menyewa di sebuah rumah. Waida bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran. Ketua Waida, Tuan Jamil pula adalah seorang yang bengis dan selalu mencari salah Waida. Sikap Waida yang selalu berangan juga membuatkan dia selalu mengalami masalah dengan pelanggannya. Waida bertekad untuk mencari seorang teman lelaki yang kaya agar suatu hari nanti dia juga boleh makan di restoran mewah seperti orang lain dan dipandang tinggi oleh ketuanya.
Di tempat kerja, Waida diminati oleh Ikmal yang bekerja sebagai seorang tukang masak. Ikmal selalu meluahkan rasa kasih dan cintanya kepada Waida. Dia juga selalu memasakkan makanan yang enak-enak untuk Waida. Namun segala kebaikkannya akan dibalas dengan sindiran dari Waida yang kononnya hanya memandang lelaki yang kaya dan berharta sahaja.

Intan bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat. Dia juga selalu mendatangkan masalah ditempat kerjanya kerana selalu membuat kerja sambil lewa dan selalu memberi maklumat yang salah kepada tetamu syarikatnya. Sikapnya yang banyak cakap juga membuatkan dirinya selalu ditegur oleh majikannya, Mr. Muthu. Dia mempunyai teman lelaki iaitu Salam yang bekerja sebagai despatch di syarikat yang sama, namun Intan selalu sahaja menegur lelaki lain. Keadaan ini juga Intan seringkali bergaduh dengan Salam.

Linda pula bekerja sebagai Shampoo Girl di sebuah salon kecantikkan. Sikap Linda yang gemar melayan pelanggan lelaki sahaja membuatkan dia sering ditegur oleh pemilik salon berkenaan Cik Angelina. Linda yang terlalu meminati cerita Hindustan sering menyanyi lagu hindustan di tempat kerjanya dan selalu berangan untuk menjadi pelakon atau penyanyi hindustan yang popular. Cik Angelina yang kurang senang dengan gelagat Linda sering memberikan amaran kepadanya namun Linda masih lagi dengan perangai lamanya.

Sekembalinya mereka dari waktu bekerja, Intan, Linda dan Waida sering menceritakan tentang pengalaman masing-masing di tempat kerja. Azim yang tinggal bersebelahan dengan rumah Intan, Linda dan Waida telah memendam hati terhadap Linda. Dia sering cuba memenangi hati Linda dengan memberikan pelbagai makanan, bunga dan cuba menghulurkan bantuan terhadap Linda. Linda menerima pemberian Azim namun tidak mahu menerima hati Azim. Keadaan ini sering membuatkan Azim kecewa tetapi tidak berputus asa.
Tuan Sheikh memberitahu Kassim bahawa dia akan ke Arab Saudi atas urusan perniagaan dan memakan masa yang lama. Seperti biasa Kassim akan melakukan rutinnya, menjalankan aktivitinya untuk menyamar sebagai orang kaya.

Bermodalkan Kad Kredit Tuan Sheikh, Kassim kemudiannya bertemu dan menjalinkan hubungan dengan tiga gadis tersebut pada masa serentak tanpa diketahui oleh mereka semua. Samada Waida, Intan dan Linda masing-masing tidak pernah cuba menyiasat latar belakang Kassim yang sebenarnya kaki penipu.

Untuk mengetahui kesudahannya pastikan anda meluangkan masa menyaksikan telemovie menarik ini hanya di TV1.

telemovie Kasanova Metropolitan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Drama & Telefilem Anugerah Skrin 2011

Langkah Pertama Kumpulan TAXI