in ,

ABPBH 34 Mara Ke Pusingan Top 5, Undian Calon Tarik Diri Tidak Diaudit

Undian pusingan pertama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bertemakan #KITABERSAMA yang dilancarkan pada 10 September lalu, secara rasminya ditutup, tepat jam 11.59 tengah malam tadi.

Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 menjelaskan undian pusingan pertama bagi 14 kategori utama dan empat (4) kategori online ABPBH 34 yang telah berlangsung selama 24 hari, mendapat sambutan amat memberangsangkan dan berjalan lancar. 

Proses undian dibuat melalui laman web ABPBH 34 iaitu www.abpbh.com.my dengan pilihan undian percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama peranti Xiaomi, iaitu penaja utama ABPBH 34. 

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 memaklumkan, proses kiraan undi bermula hari ini, bagi menentukan calon Top 5 dalam setiap kategori utama dan online yang bakal diumumkan pada Ahad, 10 Oktober ini, sekali gus menjadi pusingan undian terakhir ABPBH 34. 

ABPBH

Keputusan akhir bagi semua kategori utama dan online bakal diumumkan pada malam kemuncak ABPBH 34 pada 13 November depan. 

Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 juga mengumumkan undian diperoleh empat calon awal ABPBH 34, iaitu tiga artis dalam kategori solo, iaitu Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Artis Versatil Popular serta seorang calon kategori YouTuber Popular, yang mengumumkan menarik diri sebelum ini tidak akan dikira, sekaligus tidak disenaraikan dalam Top 5. 

Bagaimanapun, undian diperoleh tiga artis terbabit untuk kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular, tetap diambilkira atas faktor pencalonan adalah mengikut watak gandingan yang dibawa calon dalam drama atau filem, selain mahu berlaku adil kepada pasangan atau pelakon yang digandingkan dalam karya dipertandingkan. 

Tiga artis solo itu adalah Zizan Razak yang tersenarai dalam calon awal kategori utama Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan kategori online Gandingan Serasi Filem Popular; Zul Ariffin (kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan dua pencalonan dalam kategori online Gandingan Serasi Drama Popular) serta Remy Ishak (kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan kategori online Gandingan Serasi Drama Popular). 

Calon kategori Artis YouTuber Popular yang turut menyatakan hasrat menarik diri daripada pencalonan awal ABPBH 34 ialah Zukie Mohamad. 

Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, berkata sebagai acara hiburan berprestij yang mementingkan integriti dan legasi dicipta lebih tiga dekad lalu, ABPBH mahu terus memberi mandat kepada peminat untuk menentukan artis layak bergelar Bintang Paling Popular. 

“Industri kreatif tempatan runtuh sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih 18 bulan lalu. Namun, kita lihat kesetiaan dan sokongan peminat terhadap penggiat seni terus utuh. Tidak keterlaluan jika dianggap peminat adalah penyelamat kepada kelangsungan dunia hiburan yang perlahan-lahan bangkit semula susulan kelonggaran diberi kerajaan kepada penggiat industri kreatif, baru-baru ini. 

“Sehubungan itu, ABPBH mahu terus menyemarakkan industri kreatif dengan menyantuni sokongan diberi peminat terhadap penggiat seni termasuk artis yang tercalon dalam pusingan awal dan akhir ABPBH 34,” katanya. 

Shamshul Azree berkata, ABPBH juga memperakui bakat dan sumbangan anak seni yang menepati syarat ditetapkan Jawatankuasa Penjurian ABPBH 34 untuk dicalonkan dalam kategori utama dan online acara anugerah ini saban tahun. 

“Sehubungan itu, ABPBH berharap usaha menyemarakkan industri kreatif pada era pandemik ini, dan lebih penting memberi peluang pekerjaan kepada petugas belakang tabir sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran edisi ke-34 ABPBH ini dapat diteruskan atas semangat kekitaan sesuai dengan tema tahun ini #KITABERSAMA. 

“Kami juga ambil maklum mengenai sebab-sebab penarikan diri mereka, dan akan mengambil langkah-langkah penambahbaikkan yang sesuai bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, demi memastikan acara tahunan ini mampu menyumbang dengan lebih efektif dalam memartabatkan lagi industri kreatif tanahair,” tambah beliau. 

Pada malam kemuncak ABPBH 34, sebanyak 14 kategori utama dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Penyampai Radio Popular dan kategori baru iaitu Watak Animasi Popular. 

Turut dipertandingkan adalah enam (6) kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah FANtastik Popular, Watak Antagonis Popular, Artis TikTok Popular dan YouTuber Popular. Undian untuk kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular mula dibuka hari ini. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis & Trailer Filem DUNE Bakal Ditayangkan di Pawagam Mulai 14 Oktober Ini

MySejahtera Akan Perkenalkan Fungsi Aduan Untuk Orang Yang Melanggar SOP