in ,

8TV Ajak Media Belayar di Kapal Mewah Star Cruise Libra

Pertama sekali, Budiey pun tak sangka kerana dipilih oleh stesen paling urban di Malaysia, tak lain tak bukan, stesen 8TV untuk mengikuti percutian ekslusif di atas kapal Star Cruise Superstar Libra. Rasa sangat bertuah kerana ini peluangnya untuk Budiey merasai sendiri bagaimana pengalaman berlayar dari Pulau Pinang ke Phuket dan Krabi, Thailand selama empat hari tiga malam.

Star Cruises

Budiey difahamkan, ini bukannya pertama kali 8TV membawa media bersama bercuti kerana sebelum ini, media pernah diajak untuk melancong bersama 8TV di Gold Coast, Australia pada tahun lepas. Kiranya, inilah satu gathering dan juga acara tahunan bagi meraikan dan menghargai media yang banyak mempromosikan program terbaru di 8TV.

Media Trip 8Tv Star Cruise Phuket Krabi Day 3

Hos Quickie – Megan Tan Yue Mei dan Naqib Nadhir Shamsuri

Kira-kira seramai 18 wakil media termasuk jurugambar merasai pengalaman manis belayar bersama dua hos 8TV Quickie, Megan Tan Yue Mei, 23 tahun dan Naqib Nadhir Shamsuri, 25 tahun. Jika sebelum ini, Budiey tak kenal pun dengan hos Quickie yang datang silih berganti ini, sekarang dengan percutian ini dapat mengeratkan ikatan antara hos Quickie dengan media. Sekurang-kurangnya, media diberi peluang untuk melihat secara dekat bagaimana hos dan lima nadi 8TV Quickie mencari bahan menarik untuk paparan penonton setia program berdurasi 15 minit itu.

Yang paling unik, pakej pelayaran ini datang bersama dengan liburan sambil jalan-jalan dua buah pulau yang terkenal dengan keindahan pantainya. Tapi sayang semasa berada di sana, Budiey lihat airnya tidak seperti mana yang digambarkan. Mungkin pada musim tengkujuh airnya agak keruh sedikit kerana ombak yang sedikit bergelora. Jadi, kalau korang nak ke sana, pilihlah bulan Mac – Julai. Mesti best sebab pantainya nampak membiru dan cantik sangat dengan pulau-pulau kecil kat sini.

Star Cruises

Okay, mungkin ramai yang tak tahu dan tak dapat info yang Star Cruise telah menutup cawangannya di Pelabuhan Klang. Dan jika anda yang tinggal di Kuala Lumpur ingin menikmati percutian atas kapal mewah Star Cruise ini, kenalah menaiki bas dari KL ke Penang dam dari situ, korang boleh menaiki kapal mewah ini di Pelabuhan Pulau Pinang. Oh ya, kalau tak silap Budiey, harga pakej untuk menikmati percutian ini, dalam sekitar RM2,000. Tapi rasanya kalau korang nak murah, cuba cari pakej semasa pameran pelancongan Matta. Rasanya dapat lagi murah mengikut bilik yang korang tempah jugaklah.

Pengalaman sepanjang 4 hari 3 malam, sangat menyeronokkan. Walaupun agak letih kerana jaduah sentiasa penuh dengan aktiviti, tapi Budiey berpuas hati dengan layanan dan segala kemudahan yang disediakan di Kapal mewah Star Cruise Libra ini.

Tak lupa, Budiey dapat juga menyaksikan behind the scenes pengambaran dua orang hos yang bakal meningkat naik ini. Bukan senang untuk mengacarakan sebuah program TV, walaupun hanya rakaman, tapi mereka begitu fokus dan cuba menghasilkan yang terbaik.

Budiey sempat bertanyakan tentang komen peribadi kepada Megan beliau mengatakan beliau sangat bertuah kerana kariernya sebagai hos 8TV Quickie membuka peluang untuk ke luar negara sambil bekerja antaranya ke Britain dan Australia. Kalau tak takde lah nak merasa untuk bercuti dan jalan-jalan di negara orang. Kata Megan, dia sangat happy kerana dapat bercuti. Trip seterusnya, Megan idam untuk melancong ke Eropah pula.

Menurut Megan yang telah graduate dalam bidang Sarjana Sains Psikologi dan Komunikasi dari SeGi University College, Subang Jaya, Selangor itu, pengalaman menjadi hos 8TV Quickie membuatkan dirinya kini berkemampuan untuk mengembara sendiri ke luar negara bukan untuk bekerja.

“Kalau awal tahun ini saya bercuti di Singapura, awal bulan depan pula saya akan bercuti selama 10 hari di Melbourne, Australia,”

Mengenai pengalaman menyertai pelayaran Star Cruises Superstar Libra selama 4 hari tiga malam dari 18 hingga 21 September lalu itu, kata Megan dia sememangnya sentiasa teruja, biarpun pada mulanya berasa agak cuak memikirkan tentang saiz bilik yang bakal dihuni di atas Superstar Libra dan kemungkinan dirinya akan mengalami mabuk laut.

“Namun, saya berasa selesa sepanjang menghuni bilik di Superstar Libra dan paling penting saya tidak mengalami mabuk laut, cuma ada sedikit pening tetapi sekejap sahaja. Biarpun bekerja, saya sangat teruja menyertai pelayaran kapal mewah ini, ia seumpama percutian percuma. Cuma bezanya dengan percutian bukan atas dasar kerja adalah dari segi masa, kerana mengembara sambil bekerja tertakluk kepada rangka masa sedangkan kalau kita bercuti sendiri, kita bebas melakukan apa sahaja tanpa had masa.”

Untuk info pembaca, Megan akan muncul menerusi filem arahan Mamat Khalid, Apokalips.

Begitu juga Naqib yang kelihatan cukup teruja dan ceria bersama Megan sepanjang pelayaran di atas Superstar Libra yang terdiri daripada 10 dek dilengkapi lapan buah restoran dan bar, dua buah kolam mandi, dua buah jakuzi, tempat bermain golf, bola keranjang dan trek joging, pusat karaoke, disko, kelab malam dan pawagam itu.

“Sememangnya saya berasa sungguh bertuah terpilih bersama Megan menyertai pelayaran mewah ini,” ujar anak muda yang menyertai duo Dose 2 yang memperjuangkan muzik rap itu.

Media Trip 8Tv Star Cruise Phuket Krabi Day 3

Menurut Pengurus Perhubungan Awam dan Promosi 8TV, Nawar Deress, percutian itu satu cara stesen TV swasta berkenaan menghargai media selain merapatkan silaturahim yang terjalin sekian lama. “Pelbagai cara dipilih untuk menghargai teman media dan kami lebih selesa mengatur percutian. Alhamdulillah, apa yang dirancang berjalan lancar dan diharap percutian ini menjadi kenangan manis buat semua ahli rombongan.

“Sebenarnya, ini adalah kali pertama unit komunikasi 8TV membawa tulang belakang 8TV bercuti bersama media selepas lapan tahun program itu ke udara. Ikut perancangan awal, kami mahu bawa hos dan kru program lain tetapi disebabkan mereka tidak boleh komited dengan tarikh yang sudah ditetapkan, kami buka peluang kepada 8TV Quickie.

“Pilihan ini sangat tepat kerana program ini ‘signature’ kepada 8TV. Orang kenal kerana 8TV Quickie bahkan sampai sekarang penonton masih ingat hos terawalnya, Marion Counter dan Adam Caratus,” katanya yang turut serta dalam percutian itu.

Menurut Penolong Penerbit 8TV Quickie, Muhamad Helmi Yahya, 23, beliau menyifatkan ruang yang diberikan oleh unit komunikasi 8TV sebagai jambatan memperkenalkan hos dan kru program kendaliannya kepada media. Cekap mengemudi, segala sisi terbaik dirakam bahkan anak muda ini menjadikan ruang santai yang ada sebagai medan pasukannya menggali idea menarik untuk paparan tahun depan.

“Lapan tahun bersiaran, 8TV Quickie melahirkan ramai hos popular. Marion Counter misalnya, namanya masih dikaitkan biarpun tidak lagi bersama 8TV Quickie. Boleh dikatakan program ini adalah batu loncatan kepada pengacara muda pergi lebih jauh dan mencipta nama dalam industri. Di sinilah mereka belajar untuk mengacara, berkomunikasi dengan kamera dan penonton serta bagaimana menjadikan sesuatu topik menarik untuk dibincangkan.

Media Trip 8Tv Star Cruise Phuket Krabi Day 3

“Setakat ini maklum balas penonton menerusi laman sosial Facebook dan Twitter sangat memberangsangkan.

Kebanyakan penonton program ini berusia antara 12 hingga 35 tahun dan paling banyak memberi komen adalah remaja lingkungan usia 17 dan 18 tahun. “Program ini dikendalikan tujuh hos secara bergilir-gilir dan bersiaran selama 15 minit pada jam 11.30 malam setiap hari kecuali Khamis, 12 malam. Setiap hari ada topik berbeza di mana Isnin segmen Take It n Go yang membicarakan gajet dan teknologi terkini, Selasa (Chic It Out – perihal wanita, fesyen dan produk), Rabu (Watch Out – aktiviti terbaru), Khamis (Sports Day – sukan), Jumaat (You’ve Got Male – perihal lelaki), Sabtu (Go! – destinasi dan aktiviti menarik serta makanan) dan Ahad (Sounds Good – muzik, konsert serta temubual bersama artis dalam dan luar negara).

“Rakaman sepanjang percutian ini akan ke udara menerusi segmen Go! dan memandangkan destinasi cantik dan tempat menarik yang dikunjungi jadi akan dipecahkan kepada beberapa minggu,” katanya. Sambungnya yang mengendalikan program ini sejak tiga tahun lalu, sebagai penutup tahun ini, 8TV Quickie akan menganjurkan pesta besar-besaran bagi menghargai hos dan penonton. Acara yang diberi nama QckFest ini akan menghimpunkan semua hos yang pernah mengendalikan program ini dan paling menarik, ada penyampaian anugerah selain bazar.

“Setakat ini kami masih mempertimbangkan tarikh dan lokasi sesuai. Jika tidak pertengahan November, berkemungkinan besar akan berlangsung awal Disember. “Program ini memberi ruang kepada orang ramai mendekati pengacara kegemaran mereka. Pasti ramai yang mahu bertemu Henry Golding, Rina Omar, Belinda Chee, Adam Caratus dan ramai lagi. Kami berharap sangat Marion juga dapat turut serta kerana difahamkan, ketika itu dia mungkin sudahpun bersalin anak sulung,” kata Helmi.

Terima kasih kepada 8TV dan Star Cruise atas peluang untuk menikmati percutian yang sangat fun dan happening ini! Tahun depan, ada rezeki, jemputlah budiey.com lagi ya!

Media Trip 8Tv Star Cruise Phuket Krabi Day 3

Star Cruise

Media Trip 8Tv Star Cruise Phuket Krabi Day 3

Star Cruises

Media Trip 8Tv Star Cruise Phuket Krabi Day 3

Star Cruises

Star Cruises

Star Cruise

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Cabin Star Cruse Libra

Tune Hotel Rooms At RM1 Per Night