in ,

Zamarul Hisham Hos Travelog DI SANA ADA MISTERINYA

Bertemakan cerita-cerita misteri yang menjadi kepercayaan kepada masyarakat di sesuatu tempat, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi menyiarkan travelog bertajuk “Di Sana Ada Misterinya” setiap Ahad, pukul 11.00 malam di TV1.

Menampilkan pelakon Zamarul Hisham sebagai hos, travelog 13 episod ini membawa tumpuan penonton menjelajah ke beberapa buah tempat dan cuba membongkar di sebalik cerita-cerita misteri yang dikaitkan dengan sesuatu peristiwa, melawat kesan-kesan sejarah atau melalui cerita-cerita lisan masyarakat setempat yang diperturunkan daripada generasi kepada generasi.

Hos...Zamarul Hisham

Zamarul Hisham Hos Travelog “Di Sana Ada Misterinya” Di TV1

Ikuti misteri yang dikongsikan dalam episod Sungai Jadi Daratan Sebatang Sungai di Sabak Bernam berubah menjadi daratan. Ada kepercayaan di kalangan penduduk kejadian tersebut terjadi kerana makbulnya doa seorang ulamak Syeikh Marzuki dari Indonesia yang membuka perkampungan Lubuk Pusing. Dipercayai sebelumnya di tengah-tengah sungai terdapat satu pusaran besar yang banyak memakan korban dan memusnahkan harta benda penduduk dan pedagang. Hasil kaji selidik yang dilakukan oleh sebuah jabatan kerajaan dan universiti tempatan pula menyatakan perubahan sungai tersebut berlaku kerana faktor morfologi dan migrasi sungai.

Episod di Pulau Sialu pula membawa kisah Perigi Batu Pahat Sebuah perigi yang tidak pernah kering dan terletak di tepi pantai Minyak Beku mengadap Pulau Sialu. Misteri sejarahnya dikatakan bahawa nama Batu Pahat diambil sempena perigi tersebut. Dipercayai tentera Siam telah memahat dan menggali batu di tepi pantai sehingga menjadi perigi dan mendapatkan bekalan air ketika dalam perjalanan menyerang Melaka.

Pulau Sialu terletak di Batu Pahat, Johor. Nama Sialu diabadikan kerana kebencian yang mendalam kepada kumpulan lanun yang bermaharaja lela merompak kapal dagang dan penduduk tempatan di perairan pulau tersebut dan dimaki dengan ‘sial dah lalu’ akhirnya menjadi Sialu. Pulau Sialu dihuni penduduk orang asli keturunan Kuala. Oleh kerana kekurangan kemudahan, mereka akhirnya dipindahkan ke penempatan baru di Teluk Nipah, Minyak Beku.

Seterusnya kisah tentang Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Misteri ini dipercayai berlaku di Kampung Parit Raja Laut, Muar, Johor apabila seorang pemuda bernama Awang telah merantau ke Siak untuk mencari belanja perkahwinan dengan Dayang gadis pilihannya. Setelah luput tarikh perjanjian, Awang masih juga belum pulang dan dikabarkan telah meninggal dunia. Di hari perkahwinan Bachok dan Dayang secara kebetulan Awang pulang ke kampungnya dan terkejut dengan majlis perkahwinan tersebut. Di majlis pernikahan, Awang telah membunuh Bachok dan dikatakan lembingnya turut membunuh tetamu seramai 99 orang. Hos telah melawat tapak rumah Bachok dan perkuburan di kampung tersebut. Lembing Awang dikatakan disimpan oleh warisnya di Merlimau Melaka.

Episod Misteri Istana Kota Lukut pula menyorot kisah Kota Lukut dibuka oleh Raja Busu. Beliau berasal dari Sulawesi dan membuka lombong bijih timah. Ramai pekerja Cina dari Melaka datang melombong di Lukut dan menjadikannya sebuah pekan yang maju. Namun dengan kenaikan kadar cukai yang tinggi para pelombong mula memberontak dan membunuh Raja Busu dan keluarganya. Kemangkatan Raja Busu diganti Raja Jumaat. Di zaman pemerintahannya Kota Lukut sekali lagi menjadi pekan yang maju. Semasa pemerintahan Raja Bot Kota Lukut mula suram dan akhirnya diserahkan kepada pemerintahan Sungai Ujong. Misterinya, ke manakah hilangnya Istana Kota Lukut?

Persinggahan di Johor membawa kepada pembongkaran kisah Misteri Batu Putih iaitu kewujudan batu putih di kampung Batu Putih, Batu Pahat, Johor menjadi misteri apabila dikaitkan dengan banyak berlakunya peristiwa ganjil apabila berada di kawasan tersebut. Antaranya sukar mencari jalan pulang, gambaran ladang sawit sebagai sebuah bandar kemudian hilang dari pandangan dan kenderaan yang melewati enjinnya mati secara tiba-tiba. Dipercayai juga batu putih tersebut adalah kawasan penempatan bunian.

Pernahkah ada mendengar kisah Misteri Telur Ikan Kurau? Peristiwa misteri kematian lima beradik akibat keracunan setelah makan masakan telur ikan kurau pada tahun 1974 di Kampung Kandang, Melaka telah menjadi berita hangat sejak 42 tahun yang lalu. Misteri tersebut sehingga kini belum berjawab. Namun sebelum kejadian ibu dan bapa mangsa ada bermimpi seolah-olah akan berlaku musibah kepada keluarga mereka.

Saksikan banyak lagi kisah misteri di lokasi yang dikunjungi Zamarul Hisham ini di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Isu Video Tersebar, Akhirnya Syafiq Kyle Bersuara

Travelog RUWA SENI BINA ISLAM Kenali Rumah Allah Sepanjang Ramadan Ini