in ,

Travelog RUWA SENI BINA ISLAM Kenali Rumah Allah Sepanjang Ramadan Ini

Travelog “Ruwa Seni Bina Islam”, Kenali Rumah Allah Sepanjang Ramadan Ini di TV1

Tahukah anda bahawa masjid dan surau di seluruh negara kita setiap satunya memiliki keistimewaannya tersendiri dan sejarah seni bina yang sangat mengagumkan. Mengambil keberkatan bulan Ramadan ini, RTM menyiarkan program bercorak travelog Islam bertajuk “Ruwa Seni Bina Islam” mulai 18 Mei 2018, setiap Jumaat, pukul 10.00 malam menerusi TV1.

RUWA SENI BINA ISLAM

Memaparkan keindahan masjid dan surau di negara kita dari segi hiasan luaran dan dalaman, 13 episod ini turut menyentuh dan berkongsi tentang sejarah pembinaan masjid atau surau tersebut. Bersama pengacara PU Rahmad, penonton diberikan penerangan tentang adab-adab yang sunat diamalkan ketika berada di rumah Allah dan ketika melakukan aktiviti lainnya. Pada masa sama PU Rahmad akan menyampaikan tazkirah sebagai makanan rohani di dalam episod-episod tertentu dan turut mengunjungi tempat makan yang menjadi pilihan masyarakat setempat.

Memulakan episod pertama, PU Rahmat ke Masjid Raja Haji Fi Sabilillah yang terletak di Cyberjaya. Masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang dibina di Malaysia dengan konsep teknologi hijau. Kubah masjid ini diperbuat daripada gentian kaca yang membolehkan cahaya matahari masuk dan menerangi ruangan solat utama tanpa memerlukan cahaya lampu. Masjid dengan kapasiti jemaah seramai 8,800 orang ini mula beroperasi pada tahun 2015. Seterusnya PU Rahmat ke Restoran Saba yang menyediakan hidangan nasi Arab yang terkenal di Cyberjaya.

Masjid kedua yang dikunjungi adalah Masjid Al-Qurtubi di Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur. Di sini PU Rahmat telah menerangkan adab-adab yang sepatutnya dilakukan apabila masuk ke masjid. Masjid yang berteraskan seni bina Qordoba ini mula beroperasi pada tahun 2006 dan boleh memuatkan jemaah seramai 2,000 ke 2,500 orang. Di tapak masjid ini dulu terletaknya sebuah surau yang selalu ditenggelami banjir kerana berada betul-betul di tebing Sungai Keruh. PU Rahmat mengakhiri kunjungannya dengan menyampaikan tazkirah kepada jemaah di sini.

Seterusnya PU Rahmat mengunjungi Masjid India Muslim Tengku Kelana, Klang. Masjid ini telah berusia lebih daripada 120 tahun dan telah melalui beberapa kali proses pembinaan semula. Masjid yang berdiri megah sekarang ini telah dibina semula pada tahun 2007 dan telah dinamakan semula serta dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor pada tahun 2009. Nama asal sebelum ini adalah Masjid India Muslim Klang. Seni bina yang diadaptasi di masjid ini adalah seni bina Andalusia. Kemudiannya PU Rahmat ke Restoran Bismillah yang terletak tidak jauh dari masjid. Restoran ini telah beroperasi selama 60 tahun dan antara restoran pilihan bagi masyarakat setempat.

RUWA SENI BINA ISLAM

Berikutnya PU Rahmat menuju ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Masjid ini turut dikenali sebagai Masjid Besi kerana 70% binaannya terdiri daripada besi. Ianya siap dibina pada tahun 2009 dengan ciri-ciri seni bina dari Jerman dan China. Konsep yang diterapkan bagi masjid ini adalah “Angin, Sederhana dan Telus” di mana di kiri dan kanan masjid telah dibina kolam yang berfungsi sebagai penyerap haba dari dalam masjid. PU Rahmat turut memberikan panduan bagi menjaga adab semasa berada di dalam masjid, adab memanggil orang dan adab makan.

Destinasi PU Rahmat seterusnya adalah Masjid Taman Seremban Jaya yang tersergam indah di atas bukit. Masjid dua tingkat ini siap dibina pada tahun 2014 dan boleh menampung jemaah seramai 1,500 – 2,000 orang. Seni binanya berkonsepkan Acheh, Belanda dan Tudor. Tiang dan dinding masjid ini dipenuhi ukiran-ukiran yang cantik juga berfungsi menghasilkan lantunan bunyi yang lebih baik. Bumbungnya berbentuk seperti piramid yang diambil dari bumbung rumah lama Acheh.

Seterusnya PU Rahmat ke Masjid Jamek Bandar Seremban yang telah diiktiraf sebagai ‘Warisan Kebangsaan’ dan merupakan masjid tertua di Negeri Sembilan. Masjid yang terletak di tengah-tengah bandar Seremban ini telah dibina oleh pedagang dari Arab dan telah dirasmikan pada tahun 1924. Beliau juga sempat singgah di ‘Mr. Manshor Kopitiam Power’ dan Restoran Amimies yang menyediakan sajian Thai.

Lawatan turut ke Masjid Sultan Ibrahim, Muar, Johor. Masjid yang terletak di muara Sungai Muar ini telah dirasmikan pada tahun 1930. Ianya telah dibina dengan ciri-ciri seni bina Melayu dan Inggeris. Lantai masjid ini dibiarkan lompong di bawahnya bertujuan untuk pengudaraan bagi menyejukkannya. Apa yang istimewa di sini ialah siren yang akan dibunyikan untuk memaklumkan kepada penduduk-penduduk Muar masuknya bulan Ramadan, waktu berbuka puasa, sahur dan tibanya hari raya Aidilfitri serta Aidiladha.

Seterusnya PU Rahmat ke Masjid Bandar Tangkak yang berbentuk mahkota. Pada tahun 2000 telah dibina masjid baru bersebelahan masjid mahkota ini kerana pertambahan jemaah dan masjid mahkota telah dijadikan sebagai dewan serbaguna. Meneruskan perjalanan PU Rahmat telah singgah di Makam Mat Kilau yang terletak di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Beliau kemudiannya ke Madrasatul Mu’Allim Yunus Al’Arabiyyah atau lebih dikenali sebagai Surau Mat Kilau. Beliau sempat memberikan tazkirahnya kepada pelajar-pelajar tahfiz di situ.

Usah ketinggalan juga menonton perkongsian tentang Masjid Kampung Pantai, Chenor, Pahang, Masjid Tengku Ahmad di Jerantut, Masjid An Nur, Peringgit, Melaka, Masjid Kampung Kling (Masjid Jalan Harmoni), Masjid Selat Melaka (Masjid Terapung), Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama, Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan, Masjid Kampung Laut di Nilam Puri, Masjid Albukhary, Alor Setar, Kedah, Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat, Ampang Jajar (Masjid Besi Alor Setar), Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak, dan Masjid India Taiping.

Selain itu Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja, Besut, Terengganu, Masjid Ulul Albab, Jertih,
Markas Al-Nabawiyah, Arau, Perlis, Masjid Alwi, Kangar, Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, Masjid Al-Malik Khalid di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zamarul Hisham Hos Travelog DI SANA ADA MISTERINYA

Mawi Hos Travelog Islamik MUSAFIR Sepanjang Ramadan Ini