in , ,

Yusof Haslam Sahkan Tidak Hasilkan Filem Gerak Khas Selepas Drama Bersiri Berakhir

Penerbit Datuk Yusof Haslam mengesahkan dia tidak akan menghasilkan filem Gerak Khas setelah berakhirnya drama bersiri Gerak Khas The Finale yang kini sedang ditayangkan di TV3.

Yusof berkata, biarlah filem berkenaan menjadi kenangan peribadi buat dirinya setelah menghasilkan tiga filem Gerak Khas sebelum ini.

“Saya pernah bertanya kepada Syamsul dan Syafiq sama ada mereka mahu menghasilkan lagi filem Gerak Khas, tetapi mereka telah menolaknya.

“Alasan mereka adalah filem Gerak Khas ini adalah karya saya. Mereka mahu ada branding mereka sendiri di bawah jenama Skop Production dan saya menerima alasan mereka itu,” ujarnya.

Gerak Khas The Finale

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang akhbar secara virtual bersama media yang berlangsung pada hari ini.

Dalam pada itu, Yusof mengakui agak sedih apabila drama Gerak Khas akan berakhir, tetapi tidak menyangka ia telah bertahan dalam tempoh yang cukup lama.

Ujar beliau, meskipun tiada lagi drama Gerak Khas, pihaknya akan terus menghasilkan drama-drama berkonsepkan kepolisian pada masa akan datang.

Gerak Khas The Finale

“Saya amat terharu apabila Gerak Khas sudah berada di penghujung sirinya. Lebih dua dekad Gerak Khas untuk penonton menghargai jasa PDRM membanteras jenayah di negara kita. Selama tempoh itu juga, Skop Production Sdn Bhd menjalinkan kerjasama yang jitu dengan PDRM. 

“Secara peribadi, saya berharap silaturahim ini akan berkekalan walaupun setelah Gerak Khas The Finale tamat. Siri Gerak Khas ini sudah pun berjaya mewujudkan komuniti peminatnya yang tersendiri dan ini terbukti apabila episod pertama Gerak Khas The Finale yang bersiaran pada hari Jumaat lalu, tular (trending) di Twitter.  

“Mereka telah buktikan juga bahawa mereka akan tetap mengikuti siri Gerak Khas ini tidak kira di mana jua kami bersiaran. Oleh itu, bagi pihak Skop Production, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada para peminat atas sokongan yang tidak pernah putus itu,” ujar beliau.

Gerak Khas The Finale

Gerak Khas The Finale yang mengandungi 28 episod disiarkan pada setiap Jumaat dan Sabtu, pukul 10.30 malam sejak 4 Disember lalu. 

Lebih menarik drama bersiri yang penuh dengan aksi, suspen, thriller dan misteri ini diarahkan oleh beberapa pengarah berpengalaman seperti Faizal Yusof, C. Kumaresan, Aziz M. Osman, M S Hakimi dan Iskandar Kamaludin.

Pastikan anda semua terus menonton drama bersiri ini pada setiap Jumaat dan Sabtu pada pukul 10.30 malam sehingga ke episod akhir iaitu episod ke-28 untuk menyaksikan penyudahan Gerak Khas The Finale ini hanya di TV3.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jenazah Bayi & Ibu Mentua Syafiq Dibawa Ke Pendang, Dikebumikan Satu Liang Lahat

Apple Bakal Hadir Dengan MacBook Berwarna Hitam Kusam?