in , ,

Yonnyboii Lancar Single BOLEH BLA Bangkitkan Semangat Menghadapi Kata Nista

Kerjaya seni YonnyBoii mungkin baru berumur setahun jagung, namun anak seni ini berjaya membuatkan kehadirannya dalam industri muzik Malaysia dirasai.

Penyanyi rap, komposer dan penerbit muda yang mesra disapa sebagai Yonny ini disebut peminat sebagai sangat berbakat dalam menghasilkan karya menerusi ciptaan melodi indah yang menangkap perhatian pendengar serta nukilan lirik yang menggunakan bahasa mudah namun sarat dengan makna yang memberi kesan kepada pendengar.

Semenjak membuat kemunculan di arena muzik arus perdana pada tahun 2019, Yonny telah menghasilkan lebih kurang 14 buah lagu termasuk karya solo dan kolaborasinya bersama artis tempatan. 

Namanya mula meledak di arena muzik arus perdana menerusi kolaborasinya dengan penyanyi rap Zynakal dalam lagu ‘Sakit’ yang berjaya menduduki #1 di carta RIM ‘Lagu Yang Paling Banyak Distrim’ selama 14 minggu berturut-turut dan sehingga ke hari ini masih kekal dalam carta tersebut untuk minggu yang ke-35. 

Selain daripada Zynakal, Yonny juga pernah berkolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri seni termasuk Caprice menerusi lagu ‘Takut’ (2019), Azlan & The Typewriter menerusi lagu ‘Kelabu’ (2020) serta Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique menerusi lagu ‘X Missing You’ (2020). 

Selain daripada itu, Yonny turut berjaya menempatkan lagu-lagu ciptaan dan dendangannya sebagai lagu runut bunyi drama, suatu peluang yang jarang-jarang diterima oleh bakat baru.

Walaupun masih baharu, muzik Yonny telah berjaya melatari drama ‘Budak Tebing’ yang ditayangkan di Slot Lestary TV3 pada April lalu dengan lagu ‘Sakit’, ‘Salahku’ dan ‘Tujuan’ sekaligus memperkenalkan lagi muzik dan namanya kepada khalayak.

Terbaharu, bakat muzik Yonny mendapat pujian ramai termasuk seniman terkenal Dato’ M.Nasir apabila persembahannya dalam program Immortal Songs Malaysia di TV3 pada 20 September yang lalu berjaya menakjubkan penonton apabila lagu ‘Keroncong Untuk Ana’ yang disusun semula muziknya dalam bentuk ‘jazz’ telah dinyanyikan Yonny dengan gayanya tersendiri.

Melakar rona seninya dengan penuh gemilang dalam masa yang singkat, tidak hairanlah jika ramai yang mencemburui kejayaannya mengukir nama di persada seni. Mungkin itulah yang cuba Yonny sampaikan menerusi single terbaharunya berjudul BOLEH BLA.

Ini merupakan single kelima Yonny beraksi solo, selepas muncul dengan single ‘Tujuan’ (Oktober 2019), ‘Salahku’ (April 2020), ‘Aku Itu Aku’ (Mei 2020) dan ‘Sheenta’ (September 2020).

Lagu yang cuba menjawab balik cercaan orang tetapi dalam masa yang sama cuba mengukuhkan kepercayaan terhadap diri sendiri ini dicipta sepenuhnya oleh Yonny yang turut bertindak sebagai penerbit rakaman bersama Wofie.

Mengulas tentang single terbaharunya, Yonny berkata,

Boleh Bla’ adalah lagu untuk membangkitkan semangat diri apabila berhadapan dengan kata nista orang.

Ianya merupakan suatu reaksi kepada orang yang sering berkata buruk terhadap diri kita, yang sibuk menghakimi kehidupan kita, yang tidak senang hati dengan kejayaan kita.

Selain itu, lagu ini turut memfokuskan tentang ego seseorang yang sudah dipendam lama. Apabila sering dipijak, lambat laun ego kita juga akan bangkit mempertahankan diri,”

– Yonny

Lagu ini diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia. BOLEH BLA sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak 25 SEPTEMBER 2020 lalu. Video lirik lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Sambut Ulang Tahun ke-10

Single KU BERHARAP, Hasil Dari Pengalaman Sebenar Cash Farhan