in ,

Video Tular Lan Pet Pet Bergaduh Lagi, Kali Ini dengan Penghantar Makanan

Rakaman video dipercayai pelawak kontroversi, Lan Pet Pet memukul seorang lelaki yang juga penghantar makanan tular dan mendapat kecaman ramai.

Video berdurasi 24 saat itu dikongsi oleh pengguna laman sosial dan mendakwa anggota kumpulan Senario itu melakukan kekerasan terhadap lelaki berkenaan, semalam.

Menerusi video berkenaan, pelakon berusia 52 tahun itu dilihat merangkul dan memukul kepala lelaki berkenaan, tetapi cuba ditenangkan beberapa tiga lelaki lain. Kejadian dipercayai berlaku di hadapan kedutaan Russia. 

Di hujung video, Lan juga melemparkan kata-kata berbaur amaran kepada lelaki itu.

Video berkenaan dirakam dari dalam sebuah kenderaan oleh pengguna jalan raya yang turut berada di lokasi berkenaan. Kejadian dipercayai berlaku pada 1 Mei lalu.

Sementara itu, polis sudah menerima laporan dibuat Lan berhubung pergaduhan membabitkannya dengan penghantar makanan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, setakat ini, polis hanya menerima laporan daripada pelawak berkenaan, bagaimanapun penghantar makanan itu belum tampil beri keterangan.

Ashari berkata, kejadian berlaku pada 1 Mei lalu, jam 6.30 petang.

“Menerusi video berdurasi 24 saat itu menunjukkan Lan berselisih faham dengan seorang penghantar makanan di hadapan kedutaan Russia.

“Pergaduhan ini tercetus akibat perselisihan faham di jalan raya. Polis meminta kerjasama individu yang terbabit untuk tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Lan Bukan Panas Baran, Mungkin Depresi

Pelawak Saiful Apek percaya ada faktor menyebabkan teman seperjuangannya, Lan Pet Pet bertindak agresif sehingga memukul seorang penghantar makanan seperti rakaman video yang tular, kelmarin.

Apek yang bersama Lan menganggotai kumpulan Senario memberitahu, Lan yang dikenal bukanlah individu panas baran.

Beliau mengesyaki tindak-tanduk Lan berpunca daripada depresi dan situasi ketika insiden tercetus.

Akui Apek, ramai teman dalam kalangan industri hiburan mengalami tekanan termasuk dirinya.

“Lan bukan baran… Saya percaya ada sesuatu yang dilontarkan kepadanya hingga menyebabkan dia luar kawalan. 

“Ramai daripada kita mengalami tekanan. Saya juga tidak menafikan mengalami depresi tetapi tidaklah sehingga bersikap agresif.

“Saya masih mampu mengawal perasaan. Ada pelbagai tindakan individu yang mengalami depresi. Ada yang hilang kawalan hingga memukul diri sendiri,” katanya.

Apek ditemui pada majlis berbuka puasa Malam Aspirasi dan Anugerah Vieura 2020 anjuran Vieura Group di Bangi Avenue Convention Centre, baru-baru ini.

Apek mengaku pernah dilayangkan kata nista daripada ‘haters’ atau kumpulan pembenci.

“Namun, saya berjaya kawal. Kekuatan semua orang tidak sama. Cuma saya berjaya mengelak agar tidak berpanjangan,” katanya.

Ditanya apakah beliau menghubungi Lan untuk bertanyakan sendiri perkara sebenar, Apek menganggap sekarang bukanlah masa sesuai, biarpun mereka rapat.

“Kami rajin berhubung. Tetapi dalam keadaan ini, biasanya, kami akan biarkan ia reda dahulu.

“Biarlah dia ‘sejuk’, lagipun kami sudah saling mengenali. Hubungan kami sudah seperti adik-beradik, bukan sebab hendak menyebelahi dia tetapi itu fitrah manusia. 

“Kadang-kala kita terlajak melakukan kekilafan, jadi berilah dia masa,” katanya.

Sebelum ini, Lan memukul seorang pengawal keselamatan yang dikenali sebagai Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.

Lan kemudian didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

*Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Oura Perkenal Pelitup Muka Berteknologi Tinggi Active & Air Mask di Asia

Kekal Selamat di Rumah Sambil Menonton Program-Program Menarik di TV3 & TV9