in

Usaha Mengubah Masa Depan Dalam Minority Report

Kebiasaannya penjenayah akan diberkas selepas melakukan sesuatu jenayah, tetapi sebaliknya yang berlaku dalam filem bertajuk “Minority Report”, lakonan mantap Tom Cruise, menemui penonton pada 3 April ini, pukul 9.30 malam.

Poster Minority Report

Usaha Mengubah Masa Depan Dalam “Minority Report” di TV2

“PreCrime” merupakan satu unit pencegahan jenayah di Washington yang bertanggungjawab mencegah sebarang jenayah sebelum ianya berlaku. Jenayah diramal menggunakan tiga orang manusia berkebolehan luar biasa dipanggil “PreCogs” dan ditempatkan dalam penjara khas. Kadar jenayah terbukti dapat dikurangkan kepada kosong peratus dengan adanya unit ini. Kerajaan Persekutuan dalam proses untuk menerima pakai program ini.

Filem aksi arahan pengarah hebat Steven Spielberg ini mengetengahkan watak John Anderton, kapten unit “PreCrime”. Sejak kehilangan anaknya, Sean, Anderton telah berpisah dengan isterinya, Lara dan terjebak dengan najis dadah.

Sementara itu, seorang agen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Danny Witwer menerima laporan daripada seorang “PreCogs”, mengatakan Anderton akan membunuh seorang lelaki bernama Leo Crow dalam masa 36 jam. Anderton yang mendapat tahu perkara itu terpaksa melarikan diri walaupun sebenarnya dia tidak mengenali Crow.

Anderton pergi berjumpa dengan Dr. Iris Hineman, pencipta teknologi “PreCrime”. Dia memberitahu bahawa kadang kala salah seorang “Precogs”, biasanya Agatha, mempunyai ramalan yang berbeza berbanding dua yang lain. Anderton memutuskan untuk tidak berdiam diri dan mahu membuktikan dirinya tidak bersalah.

Selepas itu Anderton melakukan pemindahan mata oleh seorang doktor di pasaran gelap bagi mengelak dikesan sistem imbasan mata di seluruh bandar. Dia kembali ke “PreCrime” untuk menculik Agatha dan mematikan sistem itu kerana minda “Precogs” berhubung antara satu sama lain. Anderton membawa Agatha kepada seorang penggodam untuk mengeluarkan laporan minoriti mengenai Crow, tetapi tiada. Sebaliknya, Agatha menunjukkan kepadanya imej pembunuhan Ann Lively, seorang wanita yang dilemaskan oleh seorang lelaki pada tahun 2049.

Seterusnya Anderton dan Agatha pergi ke bilik hotel Crow dan mereka menemui banyak foto kanak-kanak, termasuk Sean. Crow muncul dan Anderton mahu membunuhmya dan menuduh Crow menjadi pembunuh bersiri kanak-kanak. Agatha menegaskan bahawa Anderton mempunyai pilihan untuk mengubah masa depannya dengan tidak membunuh Crow.

Crow merayu supaya Anderton membunuhnya. Dia terpaksa melakukan semua itu untuk menyelamatkan keluarganya. Crow kemudian merampas senjata yang ada pada Anderton dan membunuh dirinya sendiri. Anderton dan Agatha selepas itu melarikan diri ke rumah Lara untuk berlindung buat sementara waktu.

Walaupun bukan Anderton yang membunuh Crow, namun PreCrime sudah terlebih dahulu meramal Crow akan mati di tangan Anderton. Adakah Anderton dapat mengubah masa depannya dan membersihkan namanya? Saksikan kesudahan filem ini yang turut menampilkan Max von Sydow, Samantha Morton, Colin Farrell, Michael dan Matthew Dickman di saluran TV2.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Seminar Seni Pengucapan Awam & Pengacaraan di JOHOR Bersama Halim Othman

Rozita Che Wan Lancar Produk Baru QURUS CHE TA