in

Ujibakat Raja Lawak Astro Di Pulau Pinang

UJIBAKAT RAJA LAWAK ASTRO DI PULAU PINANG TERIMA SAMBUTAN HEBAT
Ramai peserta tampil cuba nasib dengan idea segar

Selepas menobatkan Kumpulan Sepah sebagai juara Raja Lawak pada musim ketiga, Astro meneruskan lagi inisiatifnya bagi mencari pelapis dalam bidang komedi menerusi satu-satunya pertandingan realiti untuk mencari bakat lawak di Malaysia, Raja Lawak Astro yang kini memasuki musim keempat.

Sesi ujibakat telah memulakan penjelajahannya di dua buah negeri iaitu Johor Bahru pada 17 & 18 Oktober (Plaza Kotaraya) dan Pulau Pinang pada 24 & 25 Oktober (Kompleks Bukit Jambul) berturut-turut sejak dua minggu yang lalu (Sabtu & Ahad) bermula jam 10 pagi hingga 6 petang ternyata berjaya menarik perhatian penduduk negeri selatan tanahair dan pulau mutiara itu untuk datang beramai-ramai menyertai uji bakat tersebut. Di Johor Bahru, seramai lebih 250 peserta telah hadir untuk menunjukkan bakat terpendam masing-masing manakala di Pulau Pinang pula berjaya menarik lebih 260 peserta.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Encik Nizam Sani, ”Kami berasa gembira dan teruja dengan sambutan yang diberikan sepanjang berlangsungnya penjelajahan sesi uji bakat setakat ini. Ini merupakan satu permulaan yang positif dan kami tidak sabar-sabar untuk terus menyambung penjelajahan kami untuk terus mencungkil bakat-bakat komedi demi mencari pelapis pelawak untuk persada seni tanahair di lokasi-lokasi yang seterusnya.

Kami percaya program Raja Lawak Astro untuk musim keempat ini juga mampu mengulangi kejayaan musim lalu yang berjaya mencatatkan jumlah rating yang tinggi pada setiap minggu dan pada episod akhir sahaja, ia berjaya mengumpul sebanyak 1.28 juta penonton. Angka-angka ini merupakan penyuntik semangat untuk kami terus berusaha memperbaiki dan memperhalusi pengisian untuk musim baru ini bagi memastikan para peminat mendapat pengalaman ’komedi’ yang terbaik. Ini adalah hadiah untuk mereka di atas segala sokongan yang diberikan sejak program Raja Lawak Astro diperkenalkan sejak tiga tahun lalu.”

Bagi orang ramai yang telah terlepas peluang untuk menghadiri sesi ujibakat di kedua buah lokasi ini, sesi ujibakat Raja Lawak Musim 4 akan meneruskan penjelajahannya ke lokasi-lokasi berikut:

31 Oktober 2009 &
1 November 2009

Megamall, Kuantan
Pahang

7 & 8 November 2009
Plaza Alam Sentral, Shah Alam
Selangor

14 & 15 November 2009
One Borneo, Kota Kinabalu
Sabah

Pada musim ini, program realiti bakat lawak popular ini bertuah apabila mendapat kerjasama tiga pelawak serba boleh untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu. Beliau yang dimaksudkan ialah penulis, pengarah, pelakon, penyanyi, penerbit filem dan hos tv serba boleh, Afdlin Shauki; penyampai radio dan pelawak terkenal; Din Beramboi serta pelawak dan pengacara tv yang dikenali ramai; Bob Lokman.

Pertandingan realiti bakat lawak, Raja Lawak Astro (musim keempat) ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan haruslah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi. Mereka perlu membuat persembahan pentas secara spontan dan menarik perhatian juri dalam tempoh maksima tiga minit. Pertandingan ini terbuka kepada peserta solo mahupun berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

Para juri akan menilai peserta-peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan dan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal.

Pemenang tempat kedua dan ketiga; Raja Lawak Astro (musim pertama) – Johan dan Zizan sekali lagi akan menggalas tugas bagi mengacarakan program ini tiga tahun berturut-turut dan memperlihatkan cabaran kesemua peserta dalam merebut gelaran Raja Lawak Astro.

Radio SINAR FM telah dilantik sebagai radio rasmi Raja Lawak Astro dan informasi mengenai Raja Lawak Astro (keempat) boleh diperolehi dengan melayari laman web rasmi di www.astro.com.my/rajalawak4 dan dengan menekan butang merah ”R” yang terdapat di alat kawalan jauh Astro. Selain itu, program realiti bakat lawak ini juga mendapat sokongan padu daripada www.murai.com.my selaku portal rasmi yang akan mengemaskini perkembangan semasa.

Raja Lawak (musim keempat) akan mula menemui para penonton pada 26 Disember 2009, jam 8.30 malam di Astro Prima.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Pelakon Wan Sharmila Bercerai Talak Satu

Photo of The Day: Camelia Pakai Topi Sama