in

TV3 Perkenal Dua Kategori Baru Anugerah Skrin 2014

Anugerah Skrin 2013 telah menyaksikan drama Mawar Putih Tanda Perpisahan merangkul trofi Drama Terbaik, Videografi Terbaik (Mohd Faizal bin Mohd Ali) dan Lakon TV Terbaik (Mazlan Manan) manakala drama Aku Bukan Malaikat pula berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik Drama (Eirma Fatima) dan Pelakon Wanita Terbaik Drama (Datin Paduka Umie Aida). Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Skrin anjuran TV3 meneruskan usaha untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni dan karyawan tanah air.

Anugerah Skrin 2014

Debaran Sudah Bermula! TV3 Memperkenalkan Dua Kategori Baharu: Drama Bersiri Terbaik Di Laman Sosial & Drama Premium Terbaik

[pullquote]B[/pullquote]akal bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 7 November 2014 bermula 9.00 – 11.30 malam, Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) mempertaruhkan 31 kategori yang merangkumi drama, filem, penerbitan dalaman dan teknikal.

Utuh memasuki musim yang ke-15, ASK 2014 merupakan antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun kerana cetusan konsep dan identiti yang berlainan. Tahun ini, ASK 2014 telah memilih tema ‘elegan dan klasik’ sebagai konsep keseluruhan untuk persembahan malam nanti.

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9:

“Anugerah Skrin telah memasuki tempoh usia matang di mana ianya dinanti-nantikan oleh para karyawan dan artis tanah air untuk menjulang nama mereka. Oleh itu, penganjuran Anugerah Skrin bukan sahaja memberi ruang kepada penggiat seni untuk memperkembangkan lagi bakat seni, malah ia juga menggalakkan mereka berusaha lebih gigih dan berkarya secara kreatif dalam menghasilkan produk yang bermutu tinggi sekali gus memartabatkan hasil seni negara disamping menyampaikan mesej yang boleh dijadikan iktibar.”

“Tahun ini, ASK 2014 bakal memperkenalkan dua kategori baharu bagi memenuhi peredaran masa yang kini aktif dengan media sosial dan juga peruntukan bajet dalam menghasilkan kelainan dan pengisian produksi terbaik iaitu ‘Drama Bersiri Terbaik Di Laman Sosial’ dan ‘Drama Premium Terbaik’. Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial akan memberi pengiktirafan kepada drama bersiri yang menjadi bualan hangat penonton di laman sosial media sewaktu siaran dan juga mendapat ‘trending’ di laman sosial pada setiap episod atau semasa waktu bersiaran. Kategori Drama Premium Terbaik pula terbuka kepada peruntukan drama yang bernilai RM 150,000 ke atas dan mempunyai nilai sinematografi dan fotografi yang artistik.”

Pemenang bagi kategori Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial bakal ditentukan oleh jumlah undian orang ramai menerusi laman Twitter bermula 24 Oktober hingga 7 November 2014. Lima drama bersiri yang tercalon iaitu Ariana Rose (#ask2014#undiariana), Ammara Batrisya (#ask2014#ammara), Evolusi KL Drift The Series (#ask2014#evolusi), What If (#ask2014#undiwhatif) dan Aku Ada Wali (#ask2014#undiwali). Cara mengundi adalah menerusi akaun Twitter. Untuk mengundi drama pilihan anda sila taip #ask2014#undi diikuti dengan menekan butang ‘Hantar’. Sebagai contoh, taip #ask2014#undiariana untuk drama bersiri Ariana Rose. Akaun Twitter anda perlu ditetapkan untuk tatapan umum bagi proses pengiraan undi.

ASK 2014 menampilkan Fahrin Ahmad sebagai hos dan bakal bergandingan dengan selebriti-selebriti popular dalam setiap segmen, antaranya, Zul Ariffin, Nabila Huda, Shukri Yahaya, Tasha Shilla, Fiza Sabjahan, Fara Fauzana dan Amyra Rosli untuk mengemudikan majlis penganugerahan manakala acara karpet merah akan dikendalikan oleh Hani Hatim dan Aidid Marcello menerusi HIP TV (TV9).

Malam kemuncak ASK 2014 bakal menyaksikan persembahan nyanyian mantap yang merangkumi pelbagai genre muzik oleh DJ Fuzz, Dikir Warriors, Waris & Iwere (Dikir Barat), Azlan The Typewriter, Black & Hafiz (Balada), Stacy (Irama Malaysia) dan Ella (Jazz). Saksikan juga teater muzikal yang diarahkan oleh Eirma Fatima dan persembahan muzikal parodi yang akan dikendalikan oleh Adlin Aman Ramlie.

Selain menonton secara siaran langsung di TV3, siaran langsung keseluruhan acara yang bermula dengan karpet merah pada jam 8.00 malam juga boleh dilayari secara global melalui komputer, tablet dan telefon pintar di laman web rasmi ASK 2014 www.anugerahskrin.com. Selain itu, TV9 juga tidak ketinggalan menyiarkan acara karpet merah menerusi program HIP TV dari pukul 8.30 malam hingga 9.00 malam.

Menerusi laman web rasmi ASK 2014, peraduan online #askceritaku mencari cerita pendek yang paling kreatif dan menarik (tidak lebih daripada 300 patah perkataan) bermula dari 10 Oktober hingga 1 November 2014. 10 cerita pendek terbaik akan dipamerkan di laman web rasmi ASK 2014 untuk undian orang ramai bermula 1 – 7 November 2014. Mereka juga berpeluang menerima undangan khas menghadiri malam kemuncak ASK 2014. Lima pemenang yang bakal diumumkan pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2014 akan menerima undangan untuk membentangkan karya di sesi pembentangan idea Media Prima Berhad.

Selain itu, satu lagi peraduan online yang menarik ialah muat naik gambar selfie anda di instagram berserta hashtag #ASK2014 dan nyatakan sebab anda ingin keluar bersama Fahrin Ahmad (hos ASK 2014) untuk menangi pas ke Post Party ASK 2014 dan ‘Lunch Date’ bersama Fahrin Ahmad. Saksikan juga klip video eksklusif Fahrin Ahmad tentang rutin harian dan juga persiapannya untuk ASK 2014 di laman web ini dari 1 – 6 November 2014.

Merancakkan lagi ASK 2014 tahun ini, para peminat boleh menerokai ‘Tonton Music’ untuk berhibur dengan pilihan terbaik audio persembahan Anugerah Skrin dari tahun 2011 sehingga 2013, serta lagu-lagu pilihan ‘OST Drama’ dan ‘OST Filem’! Kesemua rakaman nyanyian secara LANGSUNG malam kemuncak ASK 2014 juga bakal dimuatkan di Tonton Music. Layari www.tontonmusic.com.my untuk maklumat lanjut.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan program ‘Menjelang ASK 2014’ yang dihoskan oleh Fizi HotFm dan Suraya pada 7 November 2014 pukul 4.30 petang dengan paparan menarik tentang detik-detik di belakang tabir ASK 2014, kemeriahan Jelajah ASK 2014 dan juga persiapan artis. Persiapan pihak produksi di PWTC juga dapat ditonton menerusi lintas langsung eksklusif sepanjang hari (7 November) dari jam 10 pagi sehingga 8 malam. ‘Gemilang ASK 2014’ yang bakal disiarkan pada 11 November 2014 pukul 11.00 malam pula akan berkongsi klip video eksklusif dan momen yang tidak disiarkan semasa berlangsungnya karpet merah, fesyen ASK 2014 dan juga ucapan para pemenang ASK 2014.

ASK 2014 turut dihangatkan oleh stesen radio Hot FM selaku rakan media. Sidang penerbitan ASK 2014 diketuai oleh Puan Khalijah Mohamed selaku Penerbit Eksekutif dan Azman Abdul Gafar sebagai penerbit.

Layari laman web rasmi ASK 2014 www.anugerahskrin.com dan www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan #ask2014 untuk menghangatkan lagi acara Anugerah Skrin 2014.

Anugerah Skrin 2014

Mengenai ASK 2014

Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Skrin anjuran TV3 meneruskan usaha untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni dan karyawan tanah air. Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur turut menjemput stesen televisyen RTM, ASTRO dan juga TV Al-Hijrah untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini. Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan terbitan program dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada pengeluar–pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan. Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton. Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2013 hingga 30 Jun 2014 dan pencalonan drama berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement mengikut ‘genre’ masing-masing. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.

Secara keseluruhan, ASK 2014 bakal mempertandingkan 31 kategori yang meliputi 12 kategori drama, 7 kategori filem, 6 kategori penerbitan dalaman dan 6 kategori teknikal. Untuk kategori drama, 13 buah drama, 8 drama rantaian, 4 drama komedi dan 2 drama premium telah dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula 52 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk ASK 2014 ini.

Antara drama yang layak bertanding seperti Balqis, Bini Aku Hantu Langsuir, Kata Samseng, Luth Mahfuz, Matahari Terbit Lagi, Mengejar Neraka, Olong, Pelita Tanpa Sumbu, Pengancam Perkahwinan, Perjalanan, Racun Ibu, Rumah Buat Ibuku dan Walau Siapa Pun Aku.

Bagi kategori drama rantaian pula, ASK 2014 menerima pencalonan seperti 7 Suami, Aku Ada Wali, Derhaka Seorang Madu, Evolusi KL Drift The Series, Lara Ameena, Menjinak Ombak, Ummi dan What If. Kategori drama komedi pula menerima pencalonan seperti Bedah vs Joyah, Mat Three Four, Nasi Ayam Duda dan Yes Boss!. Untuk kategori drama premium pula menerima pencalonan seperti Karlos Bolos dan 7 Jam. Manakala filem yang layak bertanding termasuk Adnan Sempit 3, Apokalipsx, Balada Pencinta, Balistik, Bencinta, Cinderella, Kami Histeria, KL Gangster 2, KL Zombie, Sejoli, Tanda Putera, Zombi Kilang Biskut dan banyak lagi.

KATEGORI-KATEGORI YANG DIPERTANDINGKAN DI ASK2014

Drama
1. Drama Terbaik
2. Lakon TV Terbaik
3. Pengarah Terbaik Drama
4. Pelakon Lelaki Terbaik Drama
5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama
6. Pelakon Wanita Terbaik Drama
7. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama
8. Videografi Terbaik Drama
9. Drama Komedi Bersiri Terbaik
10. Drama Rantaian Terbaik
11. Drama Premium Terbaik
12. Drama Bersiri Terbaik Di Laman Sosial

Filem
1. Filem Terbaik
2. Lakon Layar Terbaik
3. Pengarah Terbaik Filem
4. Pelakon Lelaki Terbaik Filem
5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem
6. Pelakon Wanita Terbaik Filem
7. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem

Penerbitan Dalaman
1. Rancangan Bual Bicara Terbaik
2. Rancangan Dokumentari/Majalah Terbaik
3. Laporan Khas Berita Terbaik
4. Rancangan Hiburan Terbaik
5. Rancangan Anugerah Terbaik
6. Rancangan Realiti Terbaik

Teknikal
1. Videografi Terbaik
2. Suntingan Terbaik
3. Penataan Cahaya Terbaik Rancangan Siaran Langsung
4. Penataan Bunyi Terbaik Rancangan Siaran Langsung
5. Rekabentuk Set Terbaik
6. Montaj Terbaik

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kegemilangan Justice Pao Kembali di TV2

Peraduan Menang Pass Berkaraoke Bersama DE’MEISES di Red Box