in , ,

Tourism Selangor Zahirkan Sokongan Terhadap Inisiatif “EARTH HOUR 2022”!

Tourism Selangor Zahirkan Sokongan terhadap “Earth Hour 2022”sebagai Mengangkat Usaha Konservasi Alam Sekitar di Negeri Selangor!

Pihak Tourism Selangor menzahirkan sokongan terhadap inisiatif global, Earth Hour 2022 yang meliputi saranan untuk menutup lampu selama satu jam pada 26 Mac 2022, jam 8.30 sehingga 9.30 malam. Inisiatif ini adalah bagi menunjukkan sokongan dalam memerangi isu perubahan iklim dan komitmen dalam memelihara Bumi. Bukan itu sahaja, Earth Hour juga adalah tentang menyebarkan kesedaran mengenai isu alam sekitar dalam komuniti global dan tempatan. Inisiatif antarabangsa ini menggalakkan individu, komuniti, korporat dan  isi rumah untuk sama-sama mengambil bahagian dalam pemeliharaan alam semula jadi bagi mengekalkannya untuk generasi akan datang. Justeru, pihak Tourism Selangor menyenaraikan tempat-tempat menarik di Negeri Selangor yang mengangkat usaha preservasi dan konservasi alam sekitar, serta flora dan fauna seperti berikut.

Payai Ndah Wetland

Paya Indah Discovery Wetlands

Paya Indah Wetlands ialah destinasi  pemuliharaan pelancongan eko yang terletak di Dengkil, Kuala Langat. Paya Indah Discovery Wetlands dibahagikan kepada dua zon: pendidikan dan rekreasi. Taman tanah lembap terbuka yang luas ini mempunyai banyak tasik dan kolam, termasuk kolam kuda nil, kolam buaya, kolam ekologi, kolam teratai dan kolam memancing. Ia juga merupakan destinasi terbaik bagi aktiviti memerhati burung, dengan lebih 210 spesis burung direkodkan. Taman ini juga menawarkan penginapan dalam bentuk chalet, asrama, dan tapak perkhemahan. Tambahan pula, kemasukan adalah percuma tetapi anda perlu mendaftar di pintu masuk utamanya terlebih dahulu.

Alamat : JKM 4, Jalan Dengkil, Banting, 43800 Dengkil, Selangor..

Taman Botani Negara Shah Alam

Taman Botani Negara Shah Alam

Taman Botani Negara Shah Alam dibangunkan bagi tujuan Pusat Pendidikan Saintifik Kebangsaan serta pusat pemuliharaan sumber asli untuk pembangunan botani, florikultur dan pertanian. Taman Botani Negara Shah Alam juga berfungsi sebagai pusat kesedaran masyarakat yang bertujuan untuk mewujudkan keterujaan dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menghargai keindahan dan faedah varieti tumbuhan tempatan, yang merupakan warisan negara kita. Bayaran masuk ialah RM3 bagi seorang dewasa (12 tahun ke atas) dan RM1 bagi seorang kanak-kanak (4 hingga 11 tahun).

Alamat : 40000, Taman Pertanian Malaysia, 40170 Shah Alam, Selangor.

500Px Photo Id: 94779049

Forest Research Institute Malaysia (FRIM)

Objektif Forest Research Institute Malaysia (FRIM) adalah untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan, dan menyelesaikan isu-isu perindustrian secara saintifik bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan perhutanan tropika. Ia juga menjana pengetahuan saintifik untuk pemahaman, pengurusan, pemuliharaan, dan pemanfaatan sumber hutan. FRIM juga meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan alam sekitar dan pemuliharaan bio-diversiti hutan. Bayaran kemasukan  untuk warganegara dewasa dan kanak-kanak/pelajar (berumur 13 tahun ke atas) ialah RM1.00. Manakala untuk Bukan Warganegara ialah RM5.00 untuk seorang dewasa dan RM1.00 bagi kanak-kanak/pelajar (tanpa pakaian sekolah), dan masuk adalahpercuma bagi kanak-kanak/ pelajar (beruniform sekolah) serta golongan OKU bagi Warganegara dan Bukan Warganegara.

Alamat : Jalan Frim, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, 52109 Kuala Lumpur, Selangor.

Sungai Dusun

Sungai Dusun Wildlife Reserve

Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun, juga dikenali sebagai Pusat Pemuliharaan Tapir Melayu (MTCC), merupakan kemudahan pembiakan ex-situ untuk spesis hidupan liar seperti tapir dan landak. Ia terletak di Daerah Hulu Selangor. Pusat Pemuliharaan seluas 4500 hektar yang dikhaskan untuk perlindungan dan pemuliharaan badak sumbu Sumatera ini melihatkan  beberapa daripadanya pernah berkeliaran bebas di Semenanjung Malaysia sebelum dimusnahkan oleh aktiviti perladangan yang menceroboh kawasan ini, atau dibunuh secara tragis oleh pemburu haram. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan di mana penyelidik dan pelajar boleh mengkaji mengenai haiwan, manakala para pengunjung pula boleh mendekati untuk memahami keunikan haiwan-haiwan ini. Apa yang lebih menarik, kemasukan adalah percuma!

Alamat : Rezab Jabatan Hidupan Liar, Sungai Dusun, Selangor, Malaysia.

Taman Alam Kuala Selangor

Taman Alam Kuala Selangor

Taman Alam Kuala Selangor adalah tempat pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna. Selain itu, rizab Kuala Selangor Nature mempunyai lebih 290 hektar tanah pantai, dengan sebahagian besar daripadanya adalah paya bakau yang dibahagikan kepada dua kawasan utama; Hutan Hujan Tropika seluas 201 hektar dan selebihnya adalah Hutan Paya. Malaysian Nature Society (MNS) bertanggungjawab ke atas taman ini. Di bawah pengurusan MNS, keindahan semula jadi taman ini dapat dipelihara tanpa sebarang kerosakan habitat. Bayaran masuk ialah RM4 untuk dewasa, RM1 untuk kanak-kanak atau pelajar (7–16 tahun), RM2 untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan untuk ahli MNS. Manakala, bagi kanak-kanak di bawah 6 tahun, kemasukan adalah percuma.

Alamat : Jalan Klinik, Taman Alam, 45000 Kuala Selangor, Selangor.

Selain daripada tempat-tempat yang dinyatakan di atas, Negeri Selangor mempunyai banyak lagi tempat yang menampilkan keindahan alam sekitar dan keunikan pelancongan eko. Usaha bagi mengekalkan keindahan alam sekitar di Negeri Selangor adalah amat penting bagi menjamin kelangsungan aktiviti pelancongan eko dan semula-jadi, serta dapat dikekalkan untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Justeru, sokongan pihak Tourism Selangor terhadap inisiatif Earth Hour 2022 adalah bertepatan dengan visi yang dinyatakan. “Pusing Selangor Dulu” secara berhemah dengan mementingkan kebersihan alam sekitar, agar keindahan ini akan dapat dipelihara dan dipulihara dengan sebaik-baiknya.

Namun, bagi mengekalkan kesejahteraan ramai, pelancong diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara, seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka pada setiap masa di khalayak ramai, dan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman.

Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu. 

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Tentang Tourism Selangor

Tourism Selangor adalah Agensi Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri. Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara, dan banyak lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fesyen Travel Trending | 18

Pengalaman Menarik Di Istanbul Dipamerkan Dalam Filem Promosi NEW COOL

Lah Ahmad Solo | 19

Lah Ahmad Kembali Lancar Single Terbaharu Berjudul BILA HATI RINDU