in ,

Tiga Anak Muda Viral di Sosial Media Taruhkan Single ‘OY’

Tiga Anak Muda Viral Medsos – Razmansyah, Afiq Adnan & Nidza Afham Tampil Dengan Single Sulung Berentak Balada Pop Moden Berjudul OY.

Tiga anak muda berwajah tampan yang viral di media sosial, Razmansyah, Afiq Adnan dan Nidza Afham bersepakat untuk bergabung secara kolektif melalui muzik dengan penghasilan single sulung mereka berjudul ‘OY’ yang dicipta istimewa oleh dua komposer tersohor negara, Sharon Paul dan Ezra Kong, terbitan Werkit Records dengan kerjasama kreatif bersama Rocketfuel Entertainment, sekaligus memperkenalkan ‘trio’ ini buat tatapan umum.

“Kami sengaja memilih untuk tidak mempunyai nama kumpulan kerana ingin dikenali secara individu melalui identiti masing-masing, setiap daripada kami pernah menyanyikan lagu-lagu ‘cover’ di media sosial dengan sambutan yang agak luar biasa,” terang Razmansyah yang pernah menyertai program Suara Viral 2.0 baharu-baharu ini.

Trio yang ditemukan oleh Sharon Paul ini, digabungkan kerana keunikan vokal masing-masing dalam bidang nyanyian, katanya, “Saya terpanggil untuk mempertemukan ketiga-tiga mereka kerana saya rasa ada harmoni yang sesuai jika kena dengan lagunya. 

“Setiap daripada mereka mempunyai tona suara yang berbeza, namun apabila digabungkan ketiga-tiganya, ada magis yang dihasilkan. Maka terlahirlah single OY.

Walaupun judul single OY tidak disebut dalam lirik lagu tersebut, namun ia mempunyai maksud yang tersendiri, jelas Afiq OY adalah singkatan kepad ‘Only You’ di mana ia menceritakan tentang seorang lelaki yang sedang berusaha keras mengumpul duit untuk mengahwini teman wanitanya, sambil menyuruhnya bersabar.

“Selain itu, OY juga bermaksud apresiasi yang mendalam terhadap kaum wanita secara amnya, dan kami mahu wanita-wanita yang berada dalam hidup kami bangga dengan pencapaian kami, seperti ibu, adik-beradik, dan bukan saja teman istimewa. Jadi, lagu OY ada dua maksud yang berbeza.

OY V2

Single rancak dalam genre balada pop ini turut diselitkan dengan rentak R&B yang menambah perisa ‘moden’ kepada lagu OY. Apa istimewanya dalam lagu ini adalah elemen lagu rakyat Malaysia yang turut diketengahkan seperti ‘lenggang kangkung’, namun diberi nafas baharu yang lebih segar.

“Sharon Paul yang bertanggungjawab mempertemukan kami bertiga serta menyatakan hasrat beliau untuk mencipta lagu untuk kami, dan pelawaan tersebut kami terima dengan tangan yang terbuka.

“Proses rakaman memakan masa lebih kurang 3 bulan di Studio Musicwerk dan agak lama kerana melalui pelbagai proses seperti mencari harmoni yang sesuai, proses ‘mixing’ serta ‘mastering’ bagi menghasilkan karya yang betul-betul bermutu.

“Sejujurnya kami jarang menyanyikan lagu rancak dan ini merupakan cabaran yang kami sahut demi menyampaikannya dengan baik. Peluang bekerjasama dengan komposer-komposer hebat seperti Sharon Paul dan Ezra Kong merupakan pengalaman berharga buat pendatang baru seperti kami” kata Nidza yang pernah hadir dengan single solo ‘Ternyata Bukan Aku’ sebelum ini.

Selain single OY, sebuah video muzik (MV) yang bakal dilancarkan serentak turut memaparkan jalan cerita yang menarik dengan konsep moden kontemporari.

“Jalan cerita MV OY memaparkan kisah 3 orang rakan sekerja yang mempunyai bekas teman wanita yang sama, dan pada satu hari bekas teman wanita mereka datang dengan teman lelaki yang baru, dan kalau nak tau kesudahannya penonton kena saksikan sendiri di YouTube.

“Selain itu, kami juga turut menari dalam MV OY dengan rutin tarian yang dicipta oleh koreografer. Bayangkanlah kami semua tiada asas tarian sama sekali dan pengalaman tersebut merupakan di antara momen yang tak dapat dilupakan,” ulas Razmansyah.

Menurut Encik Feros Sayna, yang merupakan Ketua Rocketfuel Entertainment, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Werkit Records kerana trio yang diperkenalkan mempunyai masa depan yang cerah dalam industri muzik tanah air.

“Semoga trio ini mendapat respon yang baik melalui single OY dari penggemar muzik Malaysia, dengan lebih banyak kolaborasi pada masa akan datang.

Harapan mahasiswa dalam bidang kejuruteraan elektrik di UiTM Shah Alam, Afiq berkata, “Sebagai pendatang baru, kami berharap agar single OY mendapat sambutan yang baik dan semoga permulaan 2022 ini menjadi titik mula kami menempah nama di industri muzik Malaysia.

Lagu ‘OY’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Werkit Records.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

YUSOF HASLAM

Datuk Yusof Haslam Beri Tugasan Mencabar Kepada ‘Members’ Master In The House Malaysia!

Kejutan! Iqbal Diumum Peserta Ke-12 Big Stage 2022, Terima Pelbagai Komen Penonton