in ,

Telemovie GELAP Lakonan Sharnaaz Ahmad & Beto Khushairy

Mengangkat sisi kemanusiaan yang tinggi dalam kegiatan sindiket pemerdagangan manusia yang dipaparkan melalui anggota Unit Antipemerdagangan Manusia (ATIP), Radio Televisyen Malaysia menyiarkan telemovie bertajuk “Gelap” pada 25 Mac ini, pukul 9.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1.

Lakonan mantap Beto Khushairy, Sharnaaz Ahmad, Fasha Sandha dan Dian P.Ramlee di bawah arahan Haris Kadir ini mengisahkan Ghazlan dan Hisyam berkawan sejak kecil bercita-cita hendak menjadi anggota keselamatan. Mereka berkawan hingga ke IPTA tetapi selepas tamat pengajian hubungan mereka terputus.

Telemovie GELAP

Sindiket Pemerdagangan Manusia Dalam Telemovie “Gelap” Lakonan Sharnaaz Ahmad dan Beto Khushairy di TV1

Ketika di kampus, Hisyam dan Aisyah bercinta. Namun sikap Hisyam yang panas baran hingga sanggup bertengkar dengan ayah Aisyah, Datuk Kamal menyebabkan hubungan mereka mendapat tentangan hebat. Datuk Kamal juga mengugut mereka memutuskan hubungan jika tidak mahu Aisyah dibuang keluarga. Hisyam akur demi Aisyah dan meninggalkan Aisyah tanpa khabar berita. Aisyah sedih dan kecewa.

Hisyam sebenarnya terbabit dalam bidang kepolisian dan menjadi undercover. Kariernya itu menyebabkan dia mengambil tindakan menyepi diri daripada Aisyah walaupun hakikatnya dia benar-benar mencintai Aisyah.

Ghazlan dan Aisyah bertemu setelah dua tahun mereka keluar dari IPTA. Apabila bertemu Datuk Kamal mendesak Aisyah menerima lamaran lelaki lain, Aisyah serba salah kerana dia masih lagi mencintai Hisyam. Setelah didesak, akhirnya Aisyah meminta bantuan Ghazlan supaya mengganti tempat Hisyam. Meskipun berat menerima tetapi akhirnya Ghazlan akur.

Dua tahun perkahwinan Aisyah dan Ghazlan dan ketika Aisyah sarat mengandung, Hisyam muncul kembali dalam kehidupan mereka apabila Hisyam ditugaskan terlibat dalam unit ATIP bahagian risikan. Ghazlan dan Hisyam terlibat dalam satu operasi OPS JARING untuk membanteras sindiket pemerdagangan manusia.

Konflik dalam diri Ghazlan bermula apabila Hisyam mengenangkan momen-momen silam mereka termasuk mengakui yang dia masih cintakan Aisyah. Sepanjang malam ketika operasi Ghazlan berada dalam keadaan keliru.

Dalam waktu yang sama, Zaki dan Hendra, warga Indonesia sedang mengatur penyeludupan manusia untuk permintaan di Cameron Highlands. Zaki ingin menundakan rancangan mereka kerana operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa sedang dilakukan di sana. Bagaimanapun Hendra mendesak supaya mereka meneruskan juga rancangan tersebut kerana dia memerlukan duit untuk urusan membawa keluarganya ke Malaysia secara sah. Zaki akhirnya akur dengan pengurusan penghantaran dilaksanakan juga tetapi Zaki mengubah lokasi penghantaran iaitu di kawasan hutan bakau di tepi laut.

Dalam keadaan Ghazlan berperang dengan perasaan sendiri terhadap Hisyam, keadaan menjadi kecoh apabila Zaki mengubah lokasi penghantaran. Bagaimanapun kecekapan unit ATIP dengan kerjasama anggota APMM, mereka berjaya mengesan lokasi baru.

Bot pancung yang dipandu Budi tersangkut di beting pasir. Zaki arahkan mangsa termasuk sepasang suami isteri bersama anak mereka terjun ke laut dan berenang ke pantai. Mangsa yang terjun ke laut dan mendarat di pantai telah diserbu oleh unit ATIP. Manakala Ghazlan dan Hisyam berkejar ke dalam laut untuk menahan Budi dan beberapa orang lagi mangsa. Melihat Ghazlan dan Hisyam, tiga beranak itu terjun ke dalam laut bersama anak mereka hingga akhirnya mereka lemas.

Dalam keadaan terdesak itu, Ghazlan memberitahu Hisyam yang telah berkahwin dengan Aisyah dan Aisyah telah sarat mengandung. Ghazlan mahu Hisyam menjaga anaknya jika apa-apa berlaku kepadanya. Kemudian Ghazlan terjun ke laut untuk menyelamatkan mangsa yang lemas.

Malangnya mangsa yang lemas telah menjadikan Ghzalan tempat berpaut dan ini menyebabkan Ghazlan lemas. Melihat keadaan Ghazlan, Hisyam terjun untuk menyelamatkan Ghazlan. Lalu apakah kesudahannya?

Telemovie GELAP

Telemovie GELAP

Telemovie GELAP

Telemovie GELAP

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Perkenal Rangkaian Drama Melayu Astro 2017

Koleksi Pakaian Penyanyi Afgan AREZ. CO Boleh Dibeli di FASHIONVALET