in ,

Teater Muzikal SudirMANIA di Istana Budaya

Muzikal Sudirmania Bawa Penonton Kembali Ke Konsert Gergasi Chow Kit Road 1986

Biarkan aku hidup dalam nostalgia, kerna itu buat aku bahagia – Sudirman Haji Arshad

Pentas Revolusi dengan kerjasama Revolution Stage dan Istana Budaya bakal mementaskan teater muzikal bertajuk sudirMANIA yang memberi penghargaan kepada lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad.

Sudirmania

SUDIRMANIA akan menjadikan Konsert Gergasi Chow Kit Road sebagai latar tempat. Berlatarkan tahun 1986, mengisahkan tentang beberapa kumpulan remaja dari latar kampung, bandar dan pinggir bandar yang terlalu meminati Sudirman dan ingin pergi ke Konsert Gergasi Sudirman di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, Ramlan menerima jemputan perkahwinan dari Zeti yang tinggal di bandar. Zeti bakal berkahwin dengan Osman tanpa kerelaannya sehari selepas konsert gergasi tersebut. Yusuf pula, ayah kepada Ramlan, tekad mahu ke bandar berjumpa dengan bekas isterinya. Mereka mahu bertemu pada konsert tersebut. Manakala, 3 orang mat ganja yang bermaustautin di Chow Kit merasakan konsert ini bakal menganggu ketenteraman tanah pusaka mereka yang selama ini sunyi. Mereka bertiga, di ketuai oleh Mael, mahu melakukan kegiatan menyeluk saku mereka di konsert itu nanti.

Pengarah merangkap penulis skrip Khairunazwan Rodzy berkata:

“SUDIRMANIA mengembalikan nostalgia lagu-lagu Allahyarham dalam bentuk teater yang berlatarkan Konsert Gergasi Chow Kit Road”. Beliau merasakan perlu untuk mementaskan teater ini kerana semakin ramai anak-anak muda yang makin lupa dengan lagu-lagu Allahyarham, juga yang tidak tahu akan kewujudan konsert yang telah menempa nama dalam Malaysia Book of Records ini. Beliau menambah “SUDIRMANIA menggambarkan kegilaan penonton pada penghibur kesayangan mereka itu.”

Muzikal ini akan dikendalikan oleh Ayop Azril (Pengarah Muzik)c dari segi susunan musik dan menampilkan lebih daripada 20 orang pelakon dari Projek BB; satu kumpulan teater yang dianggotai oleh belia yang cintakan seni persembahan pentas. Projek BB pernah mementaskan RAMLEEFESTASI, satu teater penghargaan kepada lagu-lagu dan filem-filem Allahyarham P Ramlee.

Intan Nor Saina akan membawakan watak Zeti, gadis bandar yang mahu ke konsert untuk berjumpa dengan kekasihnya, Ramlan. Turut membantu adalah Kirin Muhamad dan Mustaqim Mohamed dari Pelangi Chenta. Pelangi Chenta adalah satu ‘band’ yang sedang dalam proses merakamkan single pertama mereka. Kirin Muhamad (vokalis) akan memegang watak Yusuf. Mustaqim Mohamed yang bakal tampil dengan filem CEO tahun ini akan memegang watak Osman.

SUDIRMANIA akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 28 Mei hingga 1 Jun 2014. Pementasan berlangsung pada 8.30 (28 Mei hingga 1 Jun) dan pada 3pm dan 8.30pm (31 Mei). Tiket berharga RM35 dan RM55 sahaja.

Untuk maklumat lanjut, klik laman Facebook dan Twitter Revolution Stage. Untuk tempahan dan pembelian tiket pula, hubungi Jiggy Wawa 0192177507

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hyper Act Artis Jemputan Konsert Kilauan Emas Minggu Retro & Pop Yeh Yeh

Video Muzik Lagu MEMORI Ada Unsur Phantom of The Opera