in

SPRM Terbitkan Teater Bahara Emas

Dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan menganjurkan pementasan teater berjudul Bahara Emas pada 19 – 22 Oktober 2017 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Program ini diadakan sempena Sambutan 50 Tahun SPRM yang berlangsung dari Oktober hingga Disember ini di seluruh negara.

Ia dianjurkan dengan kerjasama CTRA Production, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

A (Group) DSC_9098

Antara pelakon yang terlibat ialah Farahdhiya Amir, Izzue Islam, Eyzendy Aziz, Esma Daniel, Amar Asyraf, Datuk Jalaluddin Hassan, Mardiana Alwi, Kumpulan Forteen, Mubarak Majid, Syed Atiq Wan Long, Rasdi Daud, Amran Nasrudin, Zera Hariz, Sera Kamal, Shahrul Mizad Ashari dan 40 pelakon lain.

Bahara Emas ditulis dan diarahkan oleh Dekan Fakulti Teater ASWARA, Rosminah Mohd Tahir manakala Pengarah Muzik, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

TUJUAN PEMENTASAN

• Pementasan teater ini diadakan sebagai salah satu program sempena Sambutan Ulangtahun ke-50 SPRM.

• Melalui pementasan teater ini memberi peluang kepada SPRM mendekatkan diri dengan masyarakat melalui kaedah SENI. Ia adalah cara baru yang belum pernah dilakukan oleh SPRM sebelum ini.

• Skrip Bahara Emas mengetengahkan tentang bahaya rasuah yang mana ia boleh meruntuhkan sebuah negara hebat seperti Kesultanan Melayu Melaka. Ia harus dijadikan pengajaran kepada rakyat negara ini.

SINOPSIS BAHARA EMAS

Si Kitol berhutang sekati emas dengan orang kaya Raja Mendeliar dan sukar untuk membayar semula. Kekayaan Raja Mendeliar hanya kurang sebahara emas daripada kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, (satu bahara adalah 205 kati). Raja Mendeliar adalah orang yang sangat rapat dengan Laksamana Khoja Hassan. Manakala Laksamana Khoja Hassan pula rapat dan amat dikasihi oleh Sultan Mahmud Syah. Adapun Sultan Mahmud Syah sedang berdendam dengan Bendahara Seri Maharaja kerana tidak menunjukkan anak perempuan Bendahara, Tun Fatimah kepada baginda sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali.

Pada masa yang sama rombongan Portugis yang diketuai oleh De Sequeira berada di Melaka. De Sequeire minta bantuan Bendahara mendapatkan izin berniaga di Melaka dan sebagai tanda persahabatan Bendahara telah dihadiahkan dengan seutas kalong emas. Manakala Raja Mendeliar juga memdapat emas daripada De Sequeira apabila mengatakan dialah yang menyebabkan Sultan memberi izin Portugis berniaga di Melaka. Situasi ini memberi jalan kepada Si Kitul mengambil kesempatan menyelamatkan diri dari hutang.

Satu hari, Kitul telah mengkhabarkan kepada Raja Mendeliar tentang kedai Nina Sura Dewana tidak dirobohkan oleh Laksamana Khoja Hassan sedangkan kedai Mutu dirobohkan. Berlaku salah faham dan dakwa-dakwi antara keduanya lalu pergi berjumpa dengan Bendahara untuk menyelesaikan perbalahan. Oleh kerana hari sudah Maghrib, Bendahara meminta mereka bertemu semula pada keesokan hari.

Pada malam itu, Nina Sura Dewana telah datang semula ke rumah Bendahara dengan membawa sejumlah emas dengan harapan keesokan harinya Bendahara Seri Maharaja akan menyebelahinya. Kata Nina Sura Dewana, pemberian itu sebagai penghargaan kepada orang yang berurusan perniagaan dengan beliau. Tanpa berfikir panjang lagi Bendahara pun menerima pemberian daripada Nina Sura Dewana. Urusan ini telah diintip oleh Si Kitul lalu memberitahu Raja Mendeliar.

Raja Mendeliar merasakan Si Kitul telah membantu menyelamatkan kedudukannya lalu hutang Si Kitul dihalalkan serta dengan segera mengambil sejumlah emasnya lalu pergi pula ke rumah Laksamana Khoja Hassan. Raja Mendeliar memberitahu Laksamana Khoja Hassan bahawa Bendahara sedang merancang untuk menjadi raja di Melaka dan telah menempah beberapa alat kebesaran daripada emas. Gelap mata oleh harta yang dihulur, Laksamana Khoja Hassan pun segera mengadap Sultan Mahmud lalu menyampaikan berita tersebut.

Tindakan Laksamana Khoja Hassan sebenarnya tak ubah bagai mencurah minyak ke dalam api. Sultan Mahmud dengan tanpa usul periksa telah menitahkan supaya Bendahara Seri Maharaja dan seluruh keluarganya dihukum bunuh. Tun Fatimah dan Tun Busu dapat diselamatkan oleh Tengku Zainal. Tun Fatimah kemudiannya berkahwin dengan Sultan setelah dipujuk oleh Tun Busu sebagai satu cara untuk menuntut bela.

Akhirnya dengan bantuan Raja Ahmad anakanda Sultan sendiri, angkara Si Kitul dan Raja Mendeliar terbongkar. Mereka serta keluarga dihukum bunuh dengan mayat serta tapak rumahnya dibuang ke laut. Laksamana Khoja Hassan dilucutkan jawatan dan dibuang negeri.

WATAK / PELAKON

1. Sultan – Esma Daniel
2. Bendahara – Datuk Jalaluddin Hassan
3. Tun Fatimah – Farahdhiya Amir
4. Tun Busu – Izzue Islam
5. Tun Hassan – Amar Asyraf
6. Raja Mendeliar – Eyzendy Aziz
7. Kitul – Syed Atiq Wan Long
8. Tun Ali – Shahrul Mizad Ashari
9. Tun Sura – Rasdi Daud
10. Nakhoda Lopez – Mubarak Majid
11. Lela – Sera Kamal
12. Anum – Mardiana Alwi
13. Sari – Norzizi Zulkifli
14. Tengku Zainal – One (Forteen)
15. Suzer – Ameer (Forteen)
16. Raja Ahmad – Ariz (Forteen)
17. Seri Nara – Amran Nasrudin

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Teater BAHARA EMAS

Ini Dia Senarai Nama 12 Orang Bintang AF Yang Akan Berentap dalam AF MEGASTAR