in , , ,

SLOT SAMARINDA DRAMA OBSESI LISA SURIHANI, EZANY NIZARIFF, AIDA ARIS, KHAIRIL ANWAR

KISAH CINTA, DENDAM, HASAD DENGKI DAN PENYIASATAN DALAM SIRI ‘OBSESI’ MENERUSI SLOT SAMARINDA

Sejak ditayangkan slot Samarinda tetap menjadi tarikan dan menjadi antara slot yang mendapat tempat di hati penonton TV3. Melalui slot ini, TV3 telah menghidangkan pelbagai kisah dan pergolakan hidup manusia yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan golongan. Keudara tiga hari berturut-turut setiap Selasa hingga Khamis, slot Samarinda sekali lagi menyajikan satu lagi kisah pergolakan hidup manusia melalui siri “Obsesi”. 

Drama siri 25 episod ini bergenre kemasyarakatan dan bakal menemui penonton TV3 mulai 5 November 2008 jam 10.30malam. Diterbitkan oleh Zeel Production Sdn. Bhd., siri ini merupakan karya asal dan garapan skrip oleh Abdul Rahim Awang dan diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Muhammad Murali Abdullah. Siri yang menghiburkan ini sarat dengan kisah yang digarap dan disampaikan dengan menarik dengan unsur-unsur suspen, percintaan, kekeluargaan, dendam, hasad dengki, jenayah dan penyiasatan.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Puan Nurul Aini Abu Bakar, “Siri ini juga memberi pengajaran dan mendidik penonton dengan mengetengahkan pelbagai ilmu berkaitan undang-undang yang diguna-pakai di Malaysia, adat resam orang melayu serta wasiat dan pembahagian harta mengikut undang-undang sivil.

Ia juga menyalurkan maklumat berkaitan dengan usaha pelbagai agensi kerajaan untuk kesejahteraan rakyat, terutama pasukan polis, dan kerjasama yang diperlukan oleh agensi-agensi kerajaan daripada rakyat. Selain memberikan pengajaran dan teladan, ia juga sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.”

Siri ‘Obsesi’ ini bermula dengan perkahwinan Tengku Azzuddin (Remy Ishak) dengan Shirly Chua (Estelle Looi) yang tidak direstui oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Walaupun rumahtangga mereka bahagia kerana saling mencintai, hidup mereka terpencil daripada kaum keluarga dan sanak saudara. Malah ada ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang langsung tidak tahu tentang perkahwinan mereka.

Shirly berasal dari keluarga kaya, tetapi ibu dan ayahnya telah meninggal dunia. Dia cuma mempunyai seorang adik bernama Paul (Zachery F) dan sebahagian besar harta pusaka telah diwasiatkan oleh ayahnya kepada Shirly. Keadaan ini membuatkan Paul tidak berpuas hati dan apabila Shirly berkahwin dengan Tengku Azzuddin, Paul menganggap Tengku Azzuddin mahu membolot  harta Shirly, lalu memusuhinya.

Pada suatu hari, dua tahun lalu selepas Tengku Azzuddin dan Shirly mendirikan rumahtangga, Tengku Mariam (Hjh Fauziah Nawi), ibu Tengku Azzuddin, telah mengadakan majlis hari jadinya di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Dia hanya menjemput ahli keluarga terdekat sahaja namun oleh kerana Shirly merupakan menantu yang tidak direstui, dia tidak dijemput ke majlis itu. 

Shirly yang tidak mahu hubungan suami dengan ibu mertuanya terputus mendesak Tengku Azzuddin supaya menghadiri majlis itu. Untuk mengelakkan dari bersengketa disamping mencurigai isterinya curang, Tengku Azzuddin bersetuju untuk pergi namun di tidak ke rumah ibunya sebaliknya dia ke pejabat. Keadakan menjadi kelam kabut apabila Shirly ditemui oleh pembantu rumahnya mati dibunuh.

Polis mengklasifikasikan kejadian di rumah Tengku Azzuddin sebagai rompak dan bunuh namun Paul tidak bersetuju dengan klasifikasi yang dibuat oleh polis. Dia yakin Tengku Azzuddin bertanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila semua harta yang ada atas nama Shirly bakal menjadi milik Tengku Azzuddin. Dia tidak berpuas hati kerana Tengku Azzuddin tidak ditangkap dan didakwa.

Apabila perbincangan dengan peguam tidak mendatangkan hasil yang diingini, dia bersumpah akan mencari sendiri maklumat yang boleh membuktikan kesalahan Tengku Azzuddin. Manakala, Tengku Mariam yang kasihan dengan anaknya yang sentiasa murung ingin menjodohkan Tengku Azzuddin dengan Suriati (Lisa Surihani). Berjayakah Paul membuktikan Tengku Azzuddin sebagai pembunuh? Siapakah pembunuh sebenar Shirly dan dapatkah Tengku Azzuddin menerima Suriati dalam hidupnya?

Buat julung kalinya, ‘Obsesi’ merupakan drama pertama di TV3 dibintangi oleh Pemenang Anugerah Pelakon Harapan Festival Filem ke-21, Lisa Surihani yang membawa watak Suriati. Beliau digandingkan dengan Remy Ishak yang memegang watak Tengku Azzuddin.

Pelakon-pelakon lain yang turut membintangi siri ini termasuklah Hjh Fauziah Nawi (Tengku Mariam), Ezany Nizariff (Dr Amran), Aida Aris (Tengku Atikah) dan Khairil Anwar (Dato’ Adnan). Selain itu, siri ini turut dibantu oleh pelakon-pelakon seperti Zachery F (Paul Chua), Haliza Misbun (Dr. Suriani), Balkisyh Semundur Khan (Mazlin Hani), Maimon Muttalib (Tg Zubaidah @ Mak Long Bedah), Wan Maimunah (Mak Piah) dan Estelle Looi (Shirly).

Kepada semua penonton TV3, jalan lepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikan siri ’Obsesi’ ini setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam mulai 5 November 2008, hanya di TV3!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Mitsubishi Lancer Evolution 10 Milik Nabil Raja Lawak

Marion Caunter & Awal Ashaari Umum Tarikh Ujibakat ONE IN A MILLION Musim Baru