in ,

Sitkom Senario Musim Baru di TV3

SITKOM SENARIO MASIH DI HATI PENONTON!

Sitkom Komedi Senario yang diterajui oleh Wahid Mohd, Alee Jaafar dan Mazlan Pet Pet masih mendapat sambutan dari penonton setia TV3 yang rata-ratanya masih terhibur dengan gelagat dan aksi komedi yang dipertontonkan. Senario yang telah bertahan selama 14 tahun sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1995, kembali lagi menemui penonton untuk musim baru mulai 30 Jun 2009, setiap hari Selasa, jam 10.00 malam.

Senario merupakan hasil arahan bersama Zulkeflee Mohd Said dan Anniesafinas Hj. Hassan (Inat) manakala skrip pula diilhamkan oleh Fauzita, Zul Said dan beberapa penulis skrip yang pernah menulis untuk sitkom. Pengambaran yang dijalankan di sekitar Batu Pahat, Johor Bahru dan di studio ini mempersembahkan kisah yang berlainan setiap 13 episod. Senario musim baru diserikan dengan penampilan istimewa artis undangan iaitu Ifa Radziah, Bienda, Maya, Apek, Munir, Hamdan dan ramai lagi.

Menurut Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, “Program Senario menjadi kebanggaan kepada TV3 kerana popularitinya yang tidak pernah pudar dan mencatat kadar peratusan penonton tidak kurang 1.6 juta penonton setiap kali waktu tayangannya. Malah kadar peratusan ini pernah mencapai sehingga 3.7 juta penonton. Kehadiran artis-artis undangan yang membintangi program ini dan jalan cerita yang berbeza di setiap minggu antara resepi kejayaan Senario yang masih menjadi pilihan semua lapisan masyarakat Malaysia. Pihak TV3 juga menyambut baik sokongan orang ramai yang sentiasa memberikan maklum balas terhadap pogram ini dan kami mencuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan penonton yang masih tidak jemu dengan aksi komedi yang dilakonkan oleh kumpulan Senario.”

Saksikan 13 episod sitkom kemodi Senario yang menarik dan mencuit hati untuk musim baru ini:

Kecoh 25 Tahun (Bahagian 1 & 2), 30 Jun & 7 Julai 2009

TV3 yang akan menyambut ulangtahunnya ke 25 tahun mengadakan pertandingan dan sesiapa yang menang akan mendapat hadiah wang tunai RM10 ribu. Din, Wahid, Halim dan Pian semuanya berlumba-lumba untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh TV3 itu.  Mereka berharap jika menang dengan duit itu mereka akan dapat meminang anak Pak Mat, Yati.
(Pelakon Undangan: Bob Kuman & Farah AF)

Malang Selalu (Bahagian 1 & 2) 14 Julai & 21 Julai 2009

Malang Selalu membawa kisah mengenai 3 pemuda yang tinggal di kampung yang selalu bernasib malang.  Ketiga-tiga pemuda itu ialah Saadon, Awie dan Zubir. Mereka sering bertukar kerja kerana kesilapan yang dilakukan oleh mereka sendiri.  Mereka kemudian buka perniagaan sendiri iaitu menjual burger tapi namun ianya juga tidak berjaya. Selain dari tidak bernasib baik dalam pekerjaan,  apa sahaja yang mereka lakukan akhirnya sentiasa berakhir dengan kejadian malang. 
(Pelakon Undangan: Samsairol Che Amat @ Kid)

Puteri Kedondong (Bahagian 1 & 2) 28 Julai & 4 Ogos 2009

3 orang pendekar, Pendekar Pupus, Pendekar Krakatau dan Pendekar Daeng Jipang telah diutuskan oleh sultan untuk pergi ke hutan.  Dikatakan di dalam hutan itu tinggal seorang puteri yang sangat cantik jelita yang diberi nama Puteri Kedondong.  Maka mereka bertiga terus berpakat untuk masuk ke hutan mencari puteri jelita tersebut.
(Pelakon Undangan: Ngasreen Ngasri, Ngasrizal Ngasri & Ifa Radziah)

Wakil Kampung, (Bahagian 1 & 2) 11 Ogos & 18 Ogos 2009

Pak Leman dan Kak Ungku berebut untuk satu jawatan yang akan dipertandingkan. Mereka mula mengatur strategi. Pak leman dibantu oleh Tipah dan Kak Ungku dibantu oleh Kadok. Masing-masing berlumba untuk memikat hati orang-orang kampung dan memburuk antara satu sama lain.  Rupa-rupanya jawatan yang direbutkan oleh mereka ialah sebagai pembawa bunga di satu majlis perhimpunan. 
(Pelakon Undangan: Ifa Radziah, Munir & Maya)

Samseng Kampung Dusun, (Bahagian 1 & 2) 25 Ogos & 1 September 2009

Mengisahkan Pak Mandir yang berkahwin dengan gadis yang cantik dan ini menimbulkan rasa cemburu kepada Salim, Mail dan Azam. Mail, Salim dan Azam kemudian berpakat untuk memperdayakan Pak Mandir dengan menyuruh Pak Mandir berjaga di satu tempat pada satu malam dengan harapan mereka dapat mengendap Mak Mandir. 
(Pelakon Undangan: Ropi Cecupak, Johan Raja Lawak & Fazurina)

Siapa Besar, (Bahagian 1 & 2) 8 September & 15 September 2009

Mengisahkan dua jiran yang tinggal sebelah menyebela iaitu Kasim dan isterinya, Senah, Jamal dan isterinya, Ani.  Masing-masing selalu ingin menunjukkan siapa lebih kaya, siapa lebih bahagia, siapa lebih besar dan sebagainya. Setiap hari ada saja perkara atau perbuatan yang mereka lakukan dan cuba menyakitkan hati antara satu sama lain.  Ini menyebabkan jiran mereka yang satu lagi iaitu pasangan Yazid dan isterinya, Jalina tidak senang duduk. 
(Pelakon Undangan: Norlia Ghani, Rosnah Mat Aris, Rohani Ujang & Ilya Buang)

Rezeki Melayang, (Bahagian 1 & 2) 22 September 2009

Drama yang berkonsepkan drama bisu iaitu drama tanpa suara. Cerita mengisahkan seorang pemuda miskin, Jali yang sering dihina oleh orang-orang kampung. Di rumah mak tirinya dia seperti dijadikan hamba kerana selalu dikerah buat apa sahaja kerja.  Pada satu hari sedang jali berjalan dia tejumpa satu kertas peraduan yang menawarkan hadiah satu juta ringgit kepada siapa yang menang.  Jali tanpa pengetahuan sesiapa telah menghantar peraduan itu. 
(Pelakon Undangan: Bienda & Hamdan Ramli)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ketahui Rahsia Bahasa Tubuh Si Pembohong

Gambar Remy Ishak di Karnival Inspirasi TV3