in ,

Sherry Ibrahim, Ashraf Muslim Pelakon Drama Renjis

Sherry Ibrahim, Ashraf Muslim mahu kejar kejayaan dalam bidang seni terlebih dulu

MENERUSI siri komedi Renjis, dia diberikan peranan Mila, seorang gadis yang berangan-angan untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki impian. Namun dalam kehidupan sebenar Sherry berasakan masanya belum tiba untuk dia menukar status diri.

Apatah lagi karier seninya baru saja beberapa tahun bermula. Langkah yang disusun pun belum cukup teratur, lalu tidak terlintas di benak fikirannya sebuah pelamin indah yang menyaksikan dirinya bersama kekasih duduk bersama. Paling tidak, pelamin itu tidak akan menjadi nyata dalam masa terdekat.

Lebih daripada itu, akui Sherry, dia bukan seorang gadis yang suka merancang dalam kehidupan.

“Jika saya mula merancang, selalunya ia tidak akan menjadi kenyataan. Akhirnya, saya pula yang kecewa. Jadi, biarlah saya berfikir terlebih dulu dengan semasak-masak sebelum mengambil langkah seterusnya,” kata pelakon ini tatkala ditemui di majlis tayangan perdana filem animasi Igor, di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara.

Filem kartun yang diedarkan Tayangan Unggul itu akan mula memasuki panggung pada 20 November. Filem komedi ini menampilkan ramai pelakon (suara) terkemuka Hollywood seperti John Cusack, Steve Buscemi, John Cleese, Jennifer Coolidge dan Arsenio Hall.  

Sebagaimana yang diketahui peminat, Sherry berkawan rapat dengan rakan seperjuangan, Ashraf Muslim, sejak kira-kira tiga tahun lalu. Pada awal kemunculan, kedua-duanya mengambil pendekatan berjaga-jaga agar perhubungan itu tidak digembar-gemburkan.

Lama kelamaan pasangan pelakon ini akur, persahabatan antara kedua-duanya memang lambat laun diketahui ramai. Justeru, akhir-akhir ini Sherry dan Ashraf selesa berkongsi cerita mengenai keintiman mereka. Begitupun, seperti yang ditegas Sherry, peminat tidak boleh memasang impian untuk mereka menaiki pelamin dalam masa terdekat kerana masing-masing mahu mengejar kejayaan dalam bidang seni serta menstabilkan kehidupan terlebih dulu.

Kembali menyentuh mengenai siri komedi siaran Astro Ria yang kini sudah pun memasuki musim kedua, Sherry melahirkan kegembiraannya kerana siri berkenaan mendapat sambutan cukup baik daripada penonton. Siri terbabit kembali menghiburkan peminat pada 22 Oktober lalu di saluran sama.

“Ketika ini, saya dan rakan yang lain masih lagi menjalani penggambaran siri ini dan Insya-Allah, ia akan tamat sebelum pertengahan bulan ini juga (November),” katanya yang sebelum ini turut membintangi siri Lara Rindu Mahsuri, Elly, Jelatang dan telefilem Di Bawah Ketika Isteri.

Bercerita mengenai wataknya dalam siri itu, pelakon yang bakal muncul di layar lebar awal tahun depan menerusi filem Maut ini memberitahu, sudah tentu wataknya amat bertentangan dengan dirinya yang sebenar. Dalam siri yang turut dilakonkan Elyana, Syed Ali, Liza Abdullah dan Ashraf Muslim itu, dia dikehendaki melakonkan watak wanita yang kuat berangan.

“Watak Mila yang saya lakonkan dalam Renjis tidak sama dengan watak Emma Zalina dalam Dunia Baru. Sebagai Emma, saya lebih celupar atau jahat mulut. Sebagai Mila pula, saya nampak ‘gedik’ tetapi disukai ramai. Mila ialah pembantu kepada Kirana lakonan Elyana. Dia juga teman karib kepada wanita muda itu.

“Mila juga seorang yang kuat menyibuk, gopoh dan selalu berangan cantik. Memang seronok memainkan watak sebegini, apatah lagi saya tidak pernah diberikan watak sedemikian sebelum ini. Saya dan Elyana sendiri sudah jadi macam adik-beradik. Antara kami memang ada keserasian,” ujar Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim.

Renjis musim kedua menyambung kisah percintaan Kirana yang ‘terbengkalai’ pada musim lalu. Begitupun, kerjaya Kirana sebagai perancang perkahwinan berjalan seperti biasa. Begitu juga dengan tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga kecil yang ‘kehilangan’ ketua bergelar lelaki sejak sedekad yang lalu.

Musim kedua mengekalkan lima pelakon asal iaitu Elyana sebagai Kirana, Liza (Seri), Ashraf (Kelana), Sherry (Karmila) dan Syed Ali (Rafiq). Muka baru untuk musim ini ialah Ahmad Kamal Ahmad Adli (Hero Remaja 2008) sebagai Budi dan Samsol Ezany sebagai Ari. Ashraf Sinclair yang membawakan watak utama, Dean atau Alauddin, pada musim pertama kini akan muncul sebagai watak undangan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lirik Lagu Rindu Syahdu Di Hari Raya Nurul

Sekitar Pelancaran Road Home With Smiles di Sri Pentas Courtyard