in , ,

Senator Haji Idris Ahmad Lancar Sambutan Maulidur Rasul & Wajah Baharu Studio TV AlHijrah

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Haji Idris Ahmad Melancarkan Sambutan Maulidur Rasul Serta Wajah Baharu Studio TV ALHIJRAH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Haji Idris Ahmad melancarkan sambutan Maulidur Rasul serta wajah baharu Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah di dalam rancangan Assalamualaikum hari ini.

Tema Manhaj Rabbani, Negara Harmoni dipilih dalam menterjemahkan lapan rancangan yang memanifestasikan kerinduan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Sementara itu, Idris berkata kesemua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disarankan untuk saling berganding bahu mempromosikan lima Inisiatif Mantap bagi melengkapkan Keluarga Malaysia.

YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad sewaktu ditemubual di dalam rancangan Assalamualaikum (1)

Gagasan yang merangkumi Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam, Inisiatif Pemantapan Institusi Masjid dan Surau dan Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah ini bertepatan dengan apa yang dituntut di dalam ajaran Islam menerusi Maqasid Syariah.

“Empat belas agensi agama diamanahkan untuk melaporkan perjalanan Inisiatif Mantap ini agar perancangan dan pelaksanaan dapat berjalan seiring serta KPI 100 hari dapat dicapai. Setakat ini, saya sangat berpuashati dengan usaha kesemua agensi.

“Semua agensi perlu bekerja keras untuk mencari ‘Maisyah’ iaitu kehidupan, mengabdikan diri kepada Allah SWT serta pada masa yang sama meninggalkan legasi yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.” pesan beliau.

Selesai Majlis Pelancaran Kempen Maulidur Rasul dan Wajah Baharu Studio TV AlHijrah

Idris turut menzahirkan harapan agar TV AlHijrah terus mencari kelainan agar stesen ini akan terus kekal menjadi pilihan rakyat.

“Masyarakat memuji siaran TV AlHijrah yang penuh bermaklumat. Maka usaha TV AlHijrah dalam menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam harus dilaksanakan secara berterusan”

Turut hadir pada majllis pelancaran program tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Beliau menzahirkan rasa syukur kerana Studio Digital TV AlHijrah telah melalui proses pembaharuan dari segi rekaan studio, set dan logo. Pembaharuan ini seiring dengan penambahbaikan kandungan rancangan yang lebih segar, mendidik, menghibur serta menjawab isu semasa menerusi penyelesaian dari perspektif Islam. 

YB Menteri Melancarkan kempen Maulidur Rasul dan wajah baharu studio TV AlHijrah1

Namanzee turut memaklumkan bahawa tradisi meraikan hari kebesaran Islam akan diteruskan pada bulan ini menerusi Kempen Maulidur Rasul.

 “Lapan seleksi rancangan istimewa akan dihidangkan kepada penonton bermula 7 Oktober 2021 sehingga 29 Oktober 2021. Manakala, kemuncak siaran yang membawa penonton memperingati sirah dan sunnah Baginda akan berlangsung pada 19 Oktober.

“Dokumentari Mosques Around The World yang memulakan siaran pada 4 Oktober, Isnin hingga Rabu jam 4 petang harus ditonton kerana ia adalah perkongsian maklumat tentang kepelbagaian masjid-masjid seluruh negara serta kajian tentang unsur budaya masjid sesebuah negara. 

YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad sewaktu ditemubual di dalam rancangan Assalamualaikum (3)

Namanzee berkata, penonton juga tidak harus ketinggalan menonton Cinta Ilmu Istimewa Maulidur Rasul pada 18 hingga 20 Oktober, jam 7.30 malam. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim serta beberapa panel lain akan membincangkan topik keunggulan Baginda SAW, Perjuangan Rasulullah dan Kelebihan Umat Akhir Zaman.

“Selain itu, kami siarkan Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober, Selasa jam 9 malam. Konsert ini adalah simbolik curahan kasih dan kerinduan terhadap Baginda Nabi. Rancangan ini mengabungkan elemen bacaan Al-Quran, persembahan qhasidah, selawat buat Baginda serta monolog, sajak dan tausiyah. Antara personaliti tanah air yang akan kita tampilkan adalah kumpulan Raihan, Kumpulan Zayne, Daqmi, Naqiu, Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Jafri Abu Bakar dan ramai lagi.

Antara rancangan istimewa lain adalah Sambutan Maulidur Rasul pada 18 Oktober jam 9 malam, Siaran Langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober jam 4.30 petang, Di Ambang Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober jam 6 petang, Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober jam 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober jam 9 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rentas Negeri Dikhabarkan Bermula Jumaat Ini?

Rita Rudaini Bengang Dengan Rider, Letak Makanan Atas Pembuangan Sampah