in

Senarai Penuh Pemenang Anugerah Skrin 2008

Adui, penatnya ambik gambar kat Anugerah Skrin 2008 tadi. Tapi seronok jugak sebab ramai sekali selebriti datang. Ada yang datang tapi tak nak lalu depan red karpet, tapi sedar-sedar terjumpa kat dalam Dewan Merdeka. Fesyen pulak macam-macam. Ada yang buruk dan ada yang cantik. Huhu, tapi yang penting ramai yang datang nak bergaya dengan stail glamourous macam bintang Hollywood yang punya diamond intan permata berlian yang bergemerlapan.

Tapi keseluruhannya Anugerah Skrin 2008 tidaklah berseri mana seperti tema Berlian yang diterapkan. Masa dalam Dewan Merdeka, ramai sekali pembaca yang menghantar SMS cakap nampak Budiey kat dalam TV. Huhu, yelah, Budiey masa tu kena bertugas mengambil gambar. Tidak tahu pulak semua fotografer kena duduk depan sekali macam VVIP. Huhu, walaupun duduk tidak beralaskan tilam yang empuk, tapi puas hati jugak sebab dapat melihat persembahan dari jarak yang dekat.

Yang paling sedih apabila ramai pembaca yang hantar SMS kat Budiey mengatakan mereka tidak suka dengan pengacara Adlin Aman Ramli dan Nurul Syuhada. Macam ada sesuatu yang tidak kena. Tidak ada kolaborasi dan ternyata Adlin terlebih kuah dari sudu. Merepek merapu dan meraban. Ada sesetengah lawak yang tidak masuk akal dan tak kelakar langsung.

Mmm… apa-apa pun Budiey nak ucapkan tahniah kepada semua pemenang.

Anugerah Skrin 2008 yang bertemakan kilauan berlian berlangsung di Dewan Perdagangan Dunia Putra (PWTC), berlangsung meriah. Majlis yang berlansung selama dua jam lima belas minit itu turut dipancarkan secara langsung melalui saluran televisyen nombor satu negara, TV3.

Nyata telahan awal banyak sebelum ini ternyata menjadi kentayaan apabila filem Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) berjaya menggondol bukan hanya satu malah tiga anugerah utama malam tadi.

KMBM diangkat sebagai filem terbaik pada ASK 08 manakala pengarahnya, Mamat Khalid dinobatkan sebagai Pengarah Filem Terbaik. Ini merupakan kejayaan kedua terbesar bagi filem arahan Mamat Khalid itu selepas berjaya memenangi empat anugerah pada FFM21 yang berlangsung Ogos lalu.

Tuah terus memihak kepada filem terbitan Tayangan Unggul ini apabila Rosyam Nor diangkat sebagai Pelakon Lelaki Filem Terbaik. Dengan kemenangan itu, Kala Malam Bulan Mengambang menepati ramalan banyak pihak dan berjaya mengalahkan empat buah filem hebat lain iaitu Sepi, 1957: Hati Malaya, Anak Halal dan Akhirat.

Ziela Jalil

Sementara itu, bagi kategori Drama Terbaik, Suara Saleha terbitan Pena Creative Sdn Bhd dinobatkan sebagai Drama Terbaik sekaligus mengetepikan cabaran empat drama yang lain, Tuhan Pun Tahu, Relung Kasih, Ihsan dan Wasiat Fitrah.

Drama Suara Saleha terus menggungguli kategori Pengarah Terbaik apabila Murali Abdullah dipilih sebagai Pengarah Terbaik manakala Ogy dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama.

ASK ‘08 turut diserikan dengan persembahan daripada nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air. Antaranya Datuk Siti Nur Haliza, Norryn Aziz, Faizal Tahir, Lah VE, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Ady Putra, Farahdhiya, Emelda Rosnaida dan Erry Putra.

Malah, gandingan hos yang julung kali digandingkan iaitu Nurul Syuhada dan Adlin Amin Ramlie turut memberikan nafas baru pada penganjuran Anugerah Skrin kali ini.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Zamarul Hisham mengungguli kategori berkenaan mengenepikan cabaran, Afdlin Shauki, Rusdi Ramli, Azhar Sulaiman dan Idris Mat Piah.

Agak mengejutkan keputusan bagi Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem apabila Baizura Kahar berjaya mengenepikan cabaran nama-nama besar dalam industri filem tanah air seperti Maya Karin, Ida Nerina Vanida Imran dan Elyana.

Istimewanya ASK ’08 kali ini memberikan Anugerah Khas Juri kepada pengarah yang versatile dan merangkul banyak anugerah dengan kejayaan filem-filemnya seperti, Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin dan Mualaf, beliau tidak lain tidak bukan, Yasmin Ahmad.

Bagi anugerah Shine Pantene diberikan kepada bakat muda yang sedang meningkat naik Wan Sharmila.

Keputusan Penuh Pemenang ASK 2008

DRAMA

  1. Drama Terbaik: Suara Saleha
  2. Pengarah Terbaik: Murali Abdullah (Suara Saleha)
  3. Pelakon Lelaki Terbaik: Zamarul Hisham(Ihsan)
  4. Pelakon Wanita Terbaik: Fauziah Ahmad Daud (Suara Saleha)
  5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Que Haidar (Tuhan Pun Tahu)
  6. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Normah Damanhuri(Tuhan Pun Tahu)
  7. Lakon TV Terbaik: Anwar Idris (wasiat Fitrah)
  8. Drama Rantaian Terbaik: Bicara Aur dengan Tebing (Tenview (M) Sdn. Bhd.)
  9. Drama Komedi Terbaik: Mr. Mama(Radius One)

FILEM

  1. Filem Terbaik: : Kala Malam Bulan Mengambang
  2. Pengarah Terbaik: Mamat Khalid (Kala Malam Bulan Mengambang)
  3. Pelakon Lelaki Terbaik: Rosyam Nor (Kala Malam Bulan Mengambang)
  4. Pelakon Wanita Terbaik: Baizura Kahar (Sepi)
  5. Lakon Layar Terbaik: Ara dan Mira Mustafa(Sepi)

PENERBITAN DALAMAN

  1. Dokumentari / Majalah Terbaik: Majalah 3,Episod Sudirman (TV3)
  2. Bual Bicara Terbaik: Macam-macam Aznil (Astro Ria)
  3. Rancangan Muzik Terbaik: Anugerah Juara Lagu 2008.
  4. Rancangan Hiburan Terbaik: Projek Superstarz (S2)
  5. Rancangan Realiti Terbaik: So You Think You Can Dance
  6. Laporan Khas Terbaik: Orang Asli Terancam (Buletin Utama
  7. Anugerah Khas Juri: Yasmin Ahmad
  8. Anugerah Shine Pantene: Wan Sharmila

-sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Dato’ Siti Nurhaliza di Anugerah Skrin 2008

Jawapan Trivia: Perut Berisi Nora Danish