in ,

Selepas Kena ‘Sound’ Dengan Rosyam Noor, Ini Penjelasan Zul Yahya

Pelakon Zul Yahya, 47, menjelaskan apa yang disuarakannya di media sosial baru- baru ini bukanlah untuk menghina, apatah lagi mempersoalkan halal haram rezeki insan lain tetapi menjurus ke arah mencari yang lebih baik dan keberkatan dalam industri hiburan.

Zul ketika dihubungi berkata, semua yang diperkatakan itu adalah realiti pernah dilihatnya berlaku dalam industri hiburan berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun sebagai pelakon.

“Saya cerita dari pengalaman yang dilalui sendiri. Saya bercakap pun untuk kebaikan dan bukan keburukan kerana apa disuarakan itu berkaitan hala tuju industri hiburan yang hingga kini masih tiada perubahan.

“Saya luahkan pandangan supaya golongan atasan dan pihak berkaitan dalam industri hiburan dapat melakukan perubahan membentuk hala tuju yang lebih baik. Kalau mereka mampu lakukannya, maka duduklah di situ tapi jika tak mampu lebih baik undur diri,”

– Zul Yahya
rosyam nor

Zul atau nama sebenar Zulkifli Yahya berkata, dia sedar setiap orang ada pendapat masing-masing dan apa yang dikongsikannya adalah untuk mereka dalam industri hiburan membuat perubahan lebih baik.

Mengulas mengenai keberkatan yang diperkatakan, Zul berkata, ia sangat luas dan bagi memperolehnya kita perlu usaha kerana ‘berkat’ itu tidak akan datang dengan sendiri.

“Apapun, saya pasti pihak media juga sudah sedia maklum hala tuju industri hiburan selama ini dan apa yang saya cakapkan itu bukan bermaksud mahu industri hiburan hilang dari Malaysia.

“Kita semua perlukan hiburan, tapi biarlah ia pergi kepada hala tuju lebih baik dan memberi manfaat kepada masyarakat serta penggiat seni antaranya pekerja belakang tabir untuk mendapat kehidupan selesa,”

– Zul

Zul berkata, perkara utama diharapkannya adalah perubahan penambahbaikan hala tuju dalam industri hiburan ke arah lebih teratur di mana semua warga penggiat seni mendapat kehidupan terbela.

Katanya, pilihan juga ada pada tangan masing-masing untuk berubah kerana rezeki Allah sangat luas dalam usaha mendapatkan suasana kehidupan selesa. Namun, ia menuntut pengorbanan.

Menurutnya, dia bersara kerana sudah penat berhadapan dengan pelbagai kerenah ragam manusia dan turut mengakui sukar membuat simpanan.

Terdahulu, kenyataan Zul di media sosial membuatkan ramai artis kurang selesa dan membidas kenyataannya yang disalah erti.

‘Zul tak patut cakap begitu’ – Rosyam Nor

PENERBIT dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor berkata, kenyataan Zul Yahya yang menyifatkan karier pekerja belakang tabir industri filem dan drama sebagai tidak berkat dan meminta mereka mengubah haluan kerjaya sebagai pandangan peribadi.

Bagaimanapun, Rosyam berkata, Zul tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia berkaitan rezeki.

“Bagi saya, dia tak sepatutnya bercakap begitu. Sebab rezeki datang daripada pelbagai cara dan apa yang dilakukan oleh penggiat industri ini pun adalah rezeki mereka.

“Dia juga tak sepatutnya menuduh ada rasuah dan lain-lain perkara yang buruk. Mungkin dia rasa tak dapat apa-apa ketika aktif dulu, ia kerana nasib tak menyebelahinya dalam bidang seni.

“Jadi, sesiapa yang masih lagi cari makan dalam bidang ini, mereka perlu teruskan perjuangan untuk mencari rezeki,”

– Rosyam Nor

Menurut Rosyam, tanpa kru belakang tabir, bagaimana stesen TV boleh beroperasi yang mana pengisiannya turut menampilkan program dakwah.

“Ustaz dan pendakwah yang buat program ceramah dan dakwah pun ada juga unit kru sendiri.

“Jadi, kru belakang tabir sebenarnya besar peranan mereka. Tapi itulah, ini pandangan peribadi Zul.

“Mungkin nasibnya dengan izin Allah, dia dapat mencari rezeki dengan cara yang lain,” katanya.

– Rosyam Nor

Sepanjang yang diketahuinya, Rosyam memberitahu, tidak 100 peratus kru belakang tabir kekal dengan kerjaya ini selamanya.

“Kadangkala selepas beberapa ketika, mereka beralih cari kerja lain.

“Kalau Zul tuduh kata tak berkat, rasanya itu agak mengguris perasaan semua orang.

“Sebenarnya berada dalam industri drama dan perfileman pun rezeki daripada Allah juga,”

– Rosyam

Rosyam berkata, sekiranya seseorang mahu melakukan perkara yang tidak senonoh dan tidak baik, ia bukan hanya berlaku dalam bidang seni.

“Dalam mana-mana bidang pun boleh berlaku. Dalam masjid pun kalau niat tak betul boleh berlaku juga.

“Kita pun pernah dengar tabung masjid kena curi serta kita pernah dengar barang-barang masjid kena curi dan yang mencuri pun orang dalam juga.

“Benda-benda ini kita tak tahu. Bila ada tuduhan itu rasanya sesuatu yang tak elok. Biarlah orang-orang seni berhadapan dengan rezeki mereka dan Allah yang menentukan,”

– Rosyam

Rosyam menolak sekiranya ada usaha untuk mempertemukannya dengan Zul kerana enggan memperbesarkan perkara ini.

“Terpulanglah apa dia nak cakap. Dalam kerjaya kami, satu yang bagusnya ialah semua orang boleh komen baik buruk industri tapi kami tak kisah dan tak jadi kudis pun.

“Cakap apa pun, kami tetap bekerja meneruskan perjuangan kami. Mungkin ada orang keluar dari industri itu kerana dia seakan gagal bertahan,”

– Rosyam Nor
Sumber: Harian Metro

What do you think?

37 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Nama Cik B Trending di Twitter Tengku Jihan Ucap Selamat Hari Jadi

Janna Nick Rimas Peniaga Online Desak Buat IG Review