in

Selamat Ulangtahun ke-20 KRU

KRU – ”Dari Ternama Ke Jenama”
Sambutan 20 Tahun Di Persada Seni

Kemunculan kumpulan trio KRU pada tahun 1992 selaku peneraju utama muzik rap tanahair pada ketika itu yang diwakili oleh 3 beradik berpengaruh iaitu Norman, Yusry dan Edry kini telah menjangkau usia yang ke-20 tahun. Sejarah telah membuktikan kegigihan serta bakat mereka melalui pelbagai peristiwa kejayaan gemilang yang telah berjaya dirangkul dan juga peristiwa pahit manis yang ditempuh KRU disepanjang pembabitan mereka didalam industri media dan hiburan tanahair.

KRU

Pembabitan selama 20 tahun KRU tidak dapat diungkap satu persatu yang menyaksikan transformasi dari sebuah kumpulan muzik rap ”ternama” ke ”jenama” empayar perniagaan mereka bukan saja diperingkat tempatan tetapi juga di persada dunia. Sempena menyambut ulang tahun KRU yang ke-20, bersama kita imbas kembali antara kejayaan yang telah berjaya dirangkul disepanjang tempoh setahun yang lalu: –

1. Di antara kejayaan yang telah berjaya dirangkul adalah seperti mendominasi 8 anugerah (Filem Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Pereka Kostum Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Poster Terbaik) di Festival Filem Malaysia ke-24 melalui filem epik aksi ”Hikayat Merong Mahawangsa”; Filem Terbaik Anugerah Skrin 2011 melalui filem ”Magika”, serta Lagu Terbaik & Lagu Pop Terbaik (melalui lagu ”Sedetik Lebih” nyanyian Anuar Zain) di Anugerah Industri Muzik ke-18 dan Juara Anugerah Mobile Celcom di Anugerah Juara Lagu ke-18, juga melalui lagu ”Sedetik Lebih”.

2. Dari muzik Rap ke peneraju utama penggunaan kesan khas (CGI), kini KRU terus memberikan pembaharuan kepada peminat industri perfileman tempatan dengan menerbitkan pelbagai genre filem yang hebat. Di sepanjang tempoh Julai 2011 sehingga kini, pelbagai penggambaran telah dijalankan merangkumi pelbagai genre filem. Antara 3 filem mega yang bakal beraksi di layar perak adalah filem Stereoscopic 3D (S3D) pertama Malaysia berjudul ”29 Februari” arahan Edry Abdul Halim yang bakal ditayangkan pada 30 Ogos 2012, dan filem aksi penggembaraan Stereoscopic 3D (S3D) yang membariskan pelakon-pelakon Hollywood berjudul ”Vikingdom” arahan Yusry Abdul Halim; serta filem animasi komedi bertaraf antarabangsa berjudul ”Ribbit” yang turut menampil suara pelakon-pelakon terkenal Hollywood arahan Chuck Powers.

3. Walaupun KRU kini lebih giat menerajui industri perfileman, muzik tetap menjadi keutamaan mereka. Antara bintang-bintang kelahiran KRU adalah seperti Elite, X-Factor, Juliana Banos, Ezlynn, Adam, Dafi, Dr Kronik, Indigo, Pretty Ugly, Feminin dan ramai lagi. Kini, KRU meneruskan usaha mereka dalam mengasah bakat baru mahupun sedia ada dan antara yang terkini adalah Jaclyn Victor, Forteen, V.I.P, IQA, MOJO, Ad Azhar, Kamelia (Bintang Idola BH 2011), Baby Shima dan biduanita Datuk Sharifah Aini. Kejayaan kumpulan Forteen selaku Top 5 Artis Duo/Berkumpulan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 dan kejayaan Jaclyn Victor selaku pemenang tempat ke-3 Mania (program realiti TV terbitan Astro) mengukuhkan lagi kedudukan KRU Music.

4. Disamping penerbitan produk-produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, KRU juga tidak melupakan tanggungjawab sosial untuk melatih para belia meningkatkan kemahiran didalam bidang ICT sekaligus menyediakan peluang pekerjaan untuk membantu membangunkan industri media dan hiburan tempatan. Usaha KRU untuk melahirkan lebih ramai tenaga kreatif menjadi realiti dengan tertubuhnya KRU Academy. Kolej Professional ini menyediakan pelbagai kursus pensijilan berkaitan kemahiran yang diperlukan oleh industri media dan hiburan. Kolej ini juga turut disokongan oleh MDEC, Jabatan Pembangunan Kemahiran (Kementerian Sumber Manusia) serta Universiti Multimedia.

5. Hasrat KRU untuk mempunyai saluran media baru yang berdiri diatas jenamanya tercapai dengan adanya KRU TV yang kini bukan saja boleh ditonton melalui telefon mudah alih tetapi juga melalui portal You Tube dimana KRU TV telah dipilih oleh Google untuk menyediakan pelbagai kandungan di ”premium channel” yang turut menyediakan ruang untuk pengiklan untuk menyalurkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan mereka. Selain dari rancangan KRU TV seperti Paparazzi, 24-7, Carta Blockbuster; sebuah lagi rancangan yang sedang meningkat populariti masakini ialah Propaganza – sebuah program berbentuk majalah yang baru memulakan siarannya selama 1 jam secara eksklusif di Astro RIA bermula pada 18 Mac 2012. Rancangan terbitan bersama Astro & KRU ini dihoskan oleh selebriti terkenal iaitu Reza dan Marsha berjaya menarik minat masyarakat dengan purata 2 juta penonton setiap minggu.

Walaubagaimanapun, kejayaan KRU bukanlah terletak 100% diatas bahu adik-beradik KRU tetapi disokong oleh ribuan karwayan dan pekerja yang bertungkus-lumus menjayakan pelbagai aktiviti Kumpulan Syarikat KRU sepanjang 20 tahun tertubuhnya KRU. Sempena sambutan ulang tahun KRU yang ke-20, KRU akan membuat persembahan secara eksklusif bersama barisan artis dibawah naungan KRU Music seperti Jaclyn Victor, Forteen, Iqa, Mojo dan ramai lagi bagi menghargai peminat yang setia menyokong mereka hingga ke hari ini. Konsert tersebut bakal berlangsung di Neverland, Jalan Kia Peng pada 10 Jun (Ahad) jam 8 malam. Walau bagaimanapun, acara ini adalah terhad kepada 1,000 penonton dan hanya terbuka kepada mereka yang berumur 21 tahun ke atas sahaja. Acara ini turut disokong oleh Hot FM (selaku radio rasmi), Media Hiburan (selaku media rasmi) dan Gua.com.my (selaku portal rasmi.)

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook KRU Studios di http://www.facebook.com/krustudios.

KRU

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Perasmian Power Rangers Samurai Di Sungei Wang Plaza

16 winners selected for DiGi WWWOW Internet for All Awards 2012