in

Sambut Aidilfitri Bersama Stesen Radio RTM

RAYA DATANG LAGI!!! BERSAMA STESEN RADIO RTM

Bak kata orang, sungguhpun kegawatan ekonomi melanda, raya tetap raya. Untuk itu, pastikan tahun ini, raya anda diserikan lagi bertemankan rancangan-rancangan terbaik stesen radio RTM. Bertemakan Raya Datang Lagi!!!, pastinya program-program terbaik Radio RTM sempena aidilfitri nanti, akan menemani anda sepanjang perjalanan pulang ke kampung mahupun berkunjung ke rumah sanak saudara.

Radio Malaysia Klasik Nasional, stesen radio RTM yang paling popular, memeriahkan Hari Raya Pertama dan Kedua anda pada pukul 3.15 petang dengan rancangan Joget Ria Aidilfitri Klasik Nasional. Selain itu, turut memeriahkan aidilfitri tahun ini di Klasik Nasional, dengarkan Panggung Drama Aidilfitri, pada Hari Raya Pertama, 12.30 tengah hari, Seloka Aidilfitri, pada Hari Raya Pertama, pukul 1.30 tengah hari. Ole-ole Raya Klasik Nasional menemui anda pada Hari Raya Kedua, 12.05 tengah hari.

Radio Malaysia MUZIKfm, yang cukup popular dikalangan remaja, tahun ini menghidangkan rancangan Jom [email protected] pada Hari Raya Pertama dan Kedua, pukul 2.00 petang. Juga jangan ketinggalan untuk mengikuti Yang Sedap – Kafe Raya pada Hari Raya Pertama dan Kedua bermula pukul 10.00 pagi. Selain itu, MUZIKfm turut menyediakan Dah Raya! Kafe Muzik pada Hari Raya Pertama dan Kedua bermula 12.00 tengah hari.

Radio Malaysia KLfm, menghiburkan warga kota yang tidak pulang beraya tahun ini dengan rancangan Gempak Syawal KLfm pada Hari Raya Pertama, 9.15 malam. Sebelum itu, KLfm memeriahkan Hari Raya Pertama anda dengan rancangan istimewa, Semanis Lebaran, pukul 2.00 petang. Pendengar setia KLfm pastinya menantikan apa yang Istimewa dalam Carta Raya D’ Silk tahun ini yang akan menemui anda pada Hari Raya Kedua, 9.15 malam.

Raya tahun ini juga meriah dikalangan masyarakat orang asli. Lebih meriah lagi dengan mengikuti pelbagai rancangan menarik menerusi Radio Malaysia ASYIKfm. Dengarkan Ritma Lebaran Gerenti Asyik pada Hari Raya Pertama, 6.00 petang. Hari Raya Kedua turut meriah di ASYIKfm dengan Riuh-Riuh Raya ASYIKfm, bermula pukul 11.00 pagi.

Pasti Aidilfitri nanti penuh dengan sendaloka bersama sanak saudara. Tidak ketinggalan juga di ruang udara Radio Malaysia SELANGORfm. Ayuh kita menguji kehebatan dengan berbalas pantun sambil bergurau senda bersama DJ-DJ SELANGORfm pada Hari Raya Kedua nanti, pukul 2.00 petang dalam Pantun Raya.

Radio Malaysia TRAXXfm, radio RTM berbahasa inggeris, bakal menyajikan rancangan Greetings From The World pada Hari Raya Pertama, pukul 11.15 pagi. Radio Malaysia MINNALfm, radio RTM berbahasa tamil, menyediakan Drama Hari Raya istimewa untuk anda pada Hari Raya Pertama, pukul 2.30 petang. Juga tidak ketinggalan, radio RTM berbahasa mandarin, Radio Malaysia AIfm turut memeriahkan aidilfitri tahun ini dengan rancangan Kasih Sayang, pada 23 September 2009, 11.20 malam.

Selain daripada pelbagai program istimewa Aidilfitri yang disiarkan menerusi stesen radio yang beroperasi di Angkasapuri, Kuala Lumpur, stesen radio negeri RTM turut memeriahkan raya tahun ini dengan program-program menarik mereka. Dimulakan dengan Radio Malaysia MELAKAfm, meriahkan Menjelang Hari Raya anda dengan rancangan Variasi Aidilfitri pada pukul 12.00 tengah malam. Serikan lagi sambutan aidilfitri anda di Melaka dengan Citra Aidilfitri pada Hari Raya Pertama dan Kedua bermula 9.30 malam.

Di bahagian Pantai Timur tanahair, Aidilfitri turut disambut dengan meriah bersama Radio Malaysia KELANTANfm. Menjelang Aidilfitri, dengarkan Sinar Aidilfitri bermula 8.30 malam. Hari Raya Pertama pula, dengarkan paparan gelagat masyarakat menyambut aidilfitri dalam Drama Khas Aidilfitri, pukul 12.15 tengah hari. Tidak lengkap rasanya sambutan aidilfitri tanpa Dikir Raya Khas (Dikir Barat) yang akan menghiburkan anda pada Hari Raya Kedua, pukul 5.30 petang.

Di bahagian Utara tanahair, Aidilfitri turut diraikan dengan meriahnya bertemankan Radio Malaysia KEDAHfm. Dengarkan Salam & Pesan Tok Wan, pada Hari Raya Pertama, pukul 3.00 petang. Ayuh kita berpesta pantun dalam Pantun Raya Sahabat Media, pada Hari Raya Kedua, pukul 12.00 tengah hari. Juga dengarkan Juara-Juara pada Hari Raya Kedua, bermula 3.00 petang.

Radio Malaysia LANGKAWIfm turut menyediakan program-program terbaik untuk anda yang menyambut lebaran di Pulau Legenda, Pulau Mahsuri itu. Pada Hari Raya Pertama, raikan aidilfitri bersama Bintang LANGKAWIfm, pukul 10.30 pagi. Sebelah malam Hari Raya Pertama pula, temani lebaran anda bersama Riang Ria RML, bermula pukul 10.00 malam. Hari Raya Kedua, aidilfitri disambut lagi meriah di ruang udara LANGKAWIfm bertemankan Klik Lfm Di Aidilfitri dan Sketsa Aidilfitri pada pukul 10.00 pagi dan 10.30 pagi.

Radio Malaysia SIBUfm yang beroperasi di Sibu, Sarawak turut memeriahkan aidilfitri dengan rancangan istimewa DJ-DJ Stesen Kembar Beraya, pada Hari Raya Pertama, pukul 10.00 pagi. Hari Raya Kedua pula, Mukun Ria Di Hari Raya menyerikan sambutan aidilfitri anda bermula pukul 8.00 malam.

Aidilfitri di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu turut diraikan dengan meriah bertemankan Radio Malaysia SABAHVfm. Dalam Siaran Bahasa Bajau, dengarkan Bedayag Besomo Pengkale Ta’ Lou Raya (Berhibur Bersama Di Hari Raya) pada Hari Raya Pertama, pukul 4.30 petang, juga dengarkan Suasana Di Hari Raya, pada Hari Raya Ketiga, pukul 4.30 petang. Dalam Siaran Bahasa Kadazan pula, dengarkan Hidayah Khas Aidilfitri, pada Hari Raya Pertama, pukul 6.30 pagi. Sampaikan Salam Aidilfitri anda dalam Siaran Bahasa Murut, pada Hari Raya Pertama dan Kedua, bermula 8.00 malam istimewa untuk kaum keluarga dan sahabat handai menerusi ruang udara SABAHVfm.

Pelbagai pilihan menarik untuk anda sempena aidilfitri nanti yang telah disediakan menerusi stesen radio RTM. Justeru, dimana jua anda berada semasa menyambut aidilfitri nanti, pastikan stesen radio RTM menjadi teman menyerikan lagi sambutan hari raya anda sekeluarga. Raya Datang Lagi!!! Bersama Stesen Radio RTM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Komedi Raya Aidilfitri 1430H

Drama Komedi Bersiri Raya di TV2