in

Program Komedi Raya Aidilfitri 1430H

TV3: BEST OF DRAMEDY

Kecoh Petang Raya Lagi, Menjelang Raya, 19 September 5.00 petang
Kecoh  Petang  Raya… Lagi!!! masih mengekalkan kekecohan dua jiran tetangga yang kini telahpun menjadi besan iaitu keluarga Pak Salih dan Pak Megat. Kedua-dua anak gadis Pak Megat iaitu Hanum dan Seri telah berkahwin dengan kedua-dua anak lelaki Pak Salih, iaitu Adi dan Raihan. Walaupun mereka tinggal bersebelahan rumah, tetapi tetap kecoh hendak beraya di rumah orang tua masing masing pada malam raya.  Keadaan bertambah kecoh apabila orang tua mereka turut campur tangan dalam perbalahan mereka suami isteri. Kehadiran Tuminah, bidan kampung yang baru bertugas di kampung tersebut membangkitkan perasaan cemburu oleh Kak Moon dan Kak Tom. Apatah lagi dengan karektor Tuminah atau panggilan glamornya Mimie yang nakal, gedik dan kepoh. Pak Salih dan Pak Megat sering berkelahi dengan isteri masing-masing yang cemburu setiap kali Mimie datang ke rumah mereka untuk memeriksa kesihatan Hanum dan Seri yang sedang sarat mengandung. Bagaimankah berakhirnya sambutan Syawal dua keluarga berbesan ini dan anak-anak mereka yang pertama kali menyambut Syawal bersama pasangan masing-masing? Sama-sama kita saksikan kesudahannya di petang Raya, Hari Raya Kedua.
Pelakon: Jalil Hamid, Harun Salim Bachik, Amy Mastura, Fauziah Ahmad Daud, Siti Sarah, Adi Putra, Zahid, Adibah Nor.

Senario: Anak Raya, Raya Pertama, 20 September, 11.00 malam
Mengisahkan Pak Habib yang kematian isterinya ketika melahirkan anak sulungnya, Johan.  Pak Habib membesarkan Johan dengan penuh kasih sayang dan sanggup berhutang dengan Saat demi untuk mendapatkan duit bila johan dapat melanjutkan pelajarannya ke universiti.Malangnya bila Johan berjaya dan berkahwin dengan anak orang kaya, dia lupa diri dan malu mengaku Pak Habib ayahnya sendiri.  Saat pula asyik datang untuk merampas tanah tapak rumah Pak Habib kerana kegagalan membayar hutangnya.
Pelakon: Azlee Senario, Wahid, Mazlan Pet Pet, Ropi, Siti  Nurfazurina

Cili Padi Cili Kering, Raya Kedua, 21 September, 11.00 malam
Drama komedi menarik ini mengisahkan tentang Sue Sambal yang mengambil peluang untuk berniaga menjual sambal bilis ketika Ramadan.  Namun, perniagaannya disabotaj oleh musuhnya yang cuba untuk meniru perniagaannya. Bagaimanakah Sue Sambal meningkatkan prestasi jualannya dan cuba menyaingi musuhnya itu?
Pelakon: Nor Khiriah, Nabila Huda, Munir, Norlia Ghani, Daniel Lee, Adzrie Faiz

Mr. Mama Beraya, Raya Ketiga, 22 September, 11.00 malam 
Cerita bermula ketika Badrul, Suria dan anak-anak mereka sedang dalam perjalanan pulang ke kampung Badrul. Ini merupakan pertama kali Badrul beraya sebagai suami Suria dan bapa kepada anak-anaknya itu. Alif dan Afif sangat gembira hendak beraya di kampung papanya, manakala Suria asyik teringatkan kampung sendiri. Alif dan Afif sangat gembira apabila pertama kali menjejakkan kaki ke kampung papanya. Mereka begitu teruja melihat keindahan kampung. Mak Badrul, Nek Jah juga gembira menyambut kepulangan mereka semua. Sebaliknya, Bakri, adik Badrul yang mengidap sindrom autisme seakan dingin dengan mereka semua. Apakah yang terjadi seterusnya?
Pelakon: Arash Mohamad, Jasmine Ashraff, Syainie Aida, Muhammad Syahmi, Danial

Kita Dah Sampai Ke?, Raya Keempat, 23 September, 10.00 pagi
Program menarik ini menerapkan unsur drama komedi dan muzikal tentang tiga sekawan. Mereka sedang dalam perjalanan untuk pulang berhari raya ke kampung halaman di Pulau Pinang.Sepanjang perjalanan tersebut pelbagai insiden terjadi seperti disaman dan menemui kemalangan namun akhirnya mereka berjaya sampai ke kampung halaman dengan selamat. Saksiakn pelbagai aksi-aksi lucu diselangi dengan lagu-lagu raya sesuai untuk hiburan seisi keluarga!
Pelakon: Mazlan Pet Pet dan Danny

Raya bersama Datin Wan Abe, Raya Keempat, 23 September, 11.00 malam
Para penonton tentunya sudah lali dengan telatah Kat menerusi drama Datin Wan Abe yang disiarkan di TV3! Saksikan pula warna-warni telatah Kat untuk menyambut Hari Raya dalam Datin Wannabe Beraya. Pada hari pertama puasa, Kat sudah membuat persiapan raya. Langsir, karpet baru, lampu kelip-kelip dan bekas kuih sudah pun dikeluarkan. Kad hari raya tahun lepas juga digantung bagi menampakkan suasana raya. Dan untuk menunjuk-nunjuk kononnya dia ada ramai kenalan. Ahli keluarga pula dikerah untuk mengemas dan mencuci setiap pelusuk rumahnya. Bagaimanakah Kat dan keluarganya meraikan Hari Raya, adakah ianya semeriah seperti persiapannya? Sama-sama kita saksikan!
Pelakon: Jasmin Hamid, Shamsul Ghau Ghau, Zaris, Zahiril Adzim, Calayselvi, Winnie Thye, Nadiakesuma

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Layan Muzik Tanpa Batasan Sepuasnya Dengan DiGiMusic

Sambut Aidilfitri Bersama Stesen Radio RTM