in

Saiful Apek Lega Dibebaskan Dari Tuduhan Bawa Dadah

Pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek lega apabila Mahkamah Majistret di sini pada Isnin membebaskan dia dan tiga rakannya daripada tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan dua tahun lalu.

Saiful berkata, keputusan yang dibuat oleh Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid pada Isnin itu adalah satu kebenaran yang telah terbukti selepas dua tahun dibelenggu dengan insiden yang telah mencalarkan namanya sebagai seorang selebriti.

Saiful Apek

“Syukur Alhamdulillahlah semuanya telah selesai dan sedikit sebanyak keputusan yang dibuat oleh Majistret telah membersihkan nama saya yang tercalar sebelum ini,”

Saiful, 42, dan tiga lagi orang rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28 di bebas dan dilepaskan tanpa perlu membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes ‘prima facie’ terhadap kesemua tertuduh.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, dekat sini pada 12 Jun 2010 kira-kira pukul 11 malam.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Saiful memberitahu, dia amat terharu dengan sokongan semua pihak terutamanya peminat yang tidak jemu-jemu memberikan kata-kata semangat kepadanya dalam mengharungi kes yang berlanjutan hampir dua tahun itu.

Katanya, walaupun telah dikecam oleh pelbagai pihak tetapi dia sangat beruntung kerana masih mendapat sokongan daripada orang yang mempercayainya.

“Bebanan yang dipikul sebelum ini kerana kes tersebut telah bertukar menjadi lega dan sokongan peminat sentiasa membuatkan saya kuat untuk mengharungi semua dugaan ini,” katanya. via Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Suami Erra Fazira Nafi Berkahwin Lagi

Datuk Aziz Satar Sesak Nafas Dirawat di Unit Rawatan Jantung