in ,

RTM Siar 2 Drama Kenang Arwah Faizal Yusof

RTM Siar 2 Drama Kenang Arwah Faizal Yusof Di TV1

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjanjikan tayangan dua drama menarik mengisi slot drama popular hujung minggunya, slot Panggung Ahad, jam 10.00 Pagi di TV1 dengan menayangkan drama lakonan Allahyarham pelakon Faizal Yusof yang telah pun meninggal dunia kira-kira 1.45 petang tanggal 1 Januari lalu di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Razak di ibunegara akibat serangan jantung. Pastinya ia mampu untuk mengubat kerinduan peminat yang merinduinya.

Faizal dikenali kerana lakonannya dalam beberapa drama bersiri di televisyen termasuklah dua drama bertajuk Wak (19 Jun) dan Gulai Labu Ikan Masin (26 Jun) yang menyaksikan pelakon berbakat itu memegang watak utama dengan caranya yang tersendiri bergandingan dengan pelakon-pelakon terkenal lain.

Watak pertamanya sebagai Wak seorang pemuda Jawa berasal dari Kuala Selangor bernama Radin Khairul Nizam atau dipanggil Wak Ijam. Oleh kerana sikap bendul, jujur dan kelakar semulajadinya menyebabkan semua orang kampung memanggilnya Wak dan dia sangat senang dengan panggilan itu. Wak yang sebatang kara tinggal di kampung Parit Senget bersama neneknya, Embah Som. Wak sering menjadi gurauan di kampungnya kerana sifat semulajadinya yang lurus bendul.

Selain Faizal, turut membintangi drama ini adalah Julia Ziegler, Acong Sweetchild, Baby Farah, Jalil Hamid, Ruminah Sidek dan Redzuan Hashim.

Kemudiannya usah lepaskan peluang menyaksikan sebuah lagi drama lakonannya dalam Gulai Labu Ikan Masin. Menerusi plot drama ini, dia memegang watak sebagai Kamal, pemuda yang berusaha membina keyakinan diri setelah tempatnya di pejabat digantikan dengan wanita cantik bernama Shima. Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan kembali haknya dalam syarikat.

Kisahnya bermula dengan watak Shima bekerja di bawah pengawasan Kamal telah diminta oleh pihak pengurusannya untuk mengetuai projek terbaru syarikatnya setelah Shima menggantikan tempat Kamal dalam mesyuarat dengan Dato’ Rahim. Dato’ Rahim berkenan pada Shima selain tertarik dengan caranya membentangkan kertas kerja dan telah meminta Hassan meletakkan Shima sebagai pengurus projek itu. Kamal terasa hati dengan hal tersebut dan cuba meraih keyakinan Dato’ Rahim dan Hassan terhadapnya kembali. Namun ternyata usahanya sia-sia dan tidak berjaya. Drama ini dilakonkan Faizal bergandingan dengan pelakon Tunku Tiara Yasmin Sofia, Mustafa Kamal, Dian P.Ramlee dan Mohd Noor Bon.

Bagi peminat Allahyarham Faizal Yusof usah lepaskan peluang menyaksikan lakonan bersahajanya dalam dua drama ditayangkan ini hanya menerusi TV1.

Faizal di samping Julia Dziegler dalam drama Wak

faizal yusof dan tunku tiara

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kartina Aziz Mahu Menantu Jadi Chef

Promosi Filem Karipap-Karipap Cinta di Movie Carnival 2011