in ,

RAIKAN NUR ISLAM Tema Program Syahadah Musim Ke 12

Syahadah yang diterbitkan oleh Unit Majalah dan Dokumentari RTM (UMD) kini menjengah musim ke 12 sejak penerbitan musim pertamanya pada tahun 2005.

                        

Bertemakan “Raikan Nur Islam”, Syahadah kali ini bakal memaparkan keindahan Islam di negara Maghribi (Morocco) dan asimilasi budaya saudara kita (mualaf) di Malaysia. Sebanyak 30 episod diterbitkan bakal menemui penonton setiap hari bermula pada 25 Mei depan. 

Dua kumpulan penerbitan ditubuhkan bagi menerbitkan Syahadah pada kali ini, produksi di Maghribi diketuai oleh Rosli Mohd Nordin, dibantu oleh Ikram Abdul Latif (koordinator),  Muhammad Saiem (jurukamera), Muhd Nuh Khairi Mohd Roslan (jurukamera), Mohd Badlyshah Amiruddin (editor) dan Mohammad Nur Ridzuan Abdullah (jurugambar). Manakala penerbitan di Malaysia diketuai oleh Mohd Ridzuan Mohd Anuar dan dibantu oleh Saliza Ibrahim, Amrina Ahmad, Mohd Nazree Mohamed, Mohamad Haikal Hamzah dan Hanif Nordin serta Hafizah Rosli. 

Bagi 15 episod di Malaysia, Syahadah berkongsi suka duka kehidupan ikon dakwah saudara kita antaranya ialah Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Firdaus Wong yang dikenali sebagai Bro Firdaus, pelakon watak antagonis iaitu Adam Corrie dan Muhamad Roger  Arnold. Selain itu, paparan mengenai keunikan seni bina masjid di beberapa lokasi seperti Masjid Zahir (Alor Setar,Kedah), Masjid Cina di Melaka, Masjid India di Kuala Lumpur dan Masjid Muhammadiah di Ipoh, Perak bakal memberi impak yang tersendiri kepada program tonggak RTM ini. 

Syahadah kali ini juga turut mengetengahkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta yang membantu umat Islam yang kurang bernasib baik untuk mereka mneruskan survival kehidupan harian.

Peranan syarikat EZ Qurban menjalankan ibadat kurban di luar negara seperti di Indonesia, Filipina, Kemboja,, Myanmar, Bangladesh dan beberapa negara  Afrika membuktikan konsep dakwah tidak mempunyai sempadan negara. Begitu juga dengan peranan  Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Islamic Relief  dan Aman Palestin membuktikan betapa masih ramai lagi umat Islam yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan harta benda demi membantu umat Islam yang dalam kesusahan. 

Baki 15 episod Syahadah pula memberi tumpuan kehidupan masyarakat Maghribi yang kurang mendapat pendedahan di negara ini dalam bentuk paparan dokumentari. Justeru bingkisan dari negara Maghribi akan mengetengahkan bagaimana peranan pejabat kedutaan Malaysia di Rabat menjadi ejen kepada Malaysia dan Maghribi menjalinkan hubungan dua hala dalam pelbagai dimensi. 

Keistimewaan Syahadah pada kali ini ialah mengenai paparan umat Islam di Maghribi menjalani ibadat puasa yang memberi satu kelainan dan pembaharuan kepada program ini. Selain itu, keunikan budaya seperti seni bina masjid, bangunan lama, menara-kota, makanan, muzik dan persembahan tradisi turut mendapat perhatian krew Syahadah untuk disiarkan di saluran TV1 dan TV2 (siaran di TV1: 6.30 petang, 9.30 malam dan 5.30 pagi/ TV2 : 7 petang dan 10 malam).

Pada 21 April lalu di Angkasapuri, Kuala Lumpur berlangsungnya Majlis Penyerahan Tajaan Syahadah 2017 iaitu tajaan kos produksi dan tajaan hadiah kuiz mingguan dan utama berjumlah RM246,600.00 oleh pihak EZ Group yang diwakili oleh Syarikat EZ Qurban, EZ Kembara, Ainon Kaman dan Asianic kepada RTM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Party Budiey 1 Dekad Lebih Happening Dengan Mamee Monster

Enam Kumpulan Terus Bersaing Dalam Rentak Juara di TV2