in

Program Terbaru Sepanjang Julai di TV9

TERBARU DAN TERBAIK JAM 8:30 MALAM

Rancangan-rancangan terbaru dan terbaik kini menghiasi kaca tv stesen Nombor Dua Negara, TV9 sejak beberapa bulan yang lalu. Sepanjang Julai ini, empat rancangan baru telah disediakan menerusi slot ‘Ratu’, ‘Oh! Mari Gelak’, ‘Aurora’ dan travelogue, khas buat penonton setia kami.

Bagi memastikan penonton berpuas hati dan tidak bosan dengan rancangan-rancangan kami seperti drama, telefilem, hiburan dan rancangan travelogue, pelakon-pelakon hebat, berpengalaman dan berperwatakan menarik dipilih untuk memenuhi citarasa penonton. Rozita Che Wan yang sentiasa menjadi tarikan masyarakat untuk mendekatinya beserta adik kesayangannya Ayu Raudah bakal menyerikan slot Ratu dengan drama berjudul Hilang di samping Zul Ariffin dan adik Mya Sara.

Slot Ratu-‘Hilang’ yang mengandungi 15 episod terbitan Hajjah Ziela Jalil dari Pena Kreatif Sdn Bhd ini akan mula disiarkan setiap Isnin dan Selasa bermula 5 Julai 2011 ini. ‘Hilang’ mengisahkan tentang keluarga Salina dan Salimah (Rozita Che Wan dan Ayu Raudah), dua saudara yang begitu akrab. Salina dan Azrul merupakan pasangan kekasih dan akhirnya mereka telah melangsungkan perkahwinan. Walaupun telah beberapa bulan berkahwin, kepercayaan Salina terhadap suaminya Azrul kian pudar kerana Azrul sering diganggu oleh setiausahanya bernama Malina (Julia Ziegler) dan Salina risau jika Azrul tergoda dengan pujuk rayu Malina.

pengurus besar TV9, Sherina Nordin

Suatu hari, Salina mendapat tahu dirinya mengandung. Ini membuatkan seluruh keluarganya berasa gembira tetapi Malina pula berperasaan sebaliknya. Ketika kandungan Salina berusia tujuh bulan, Salina terlibat dengan kemalangan ketika pulang dari berjalan-jalan bersama Azrul. Akibat kemalangan tersebut, Salina telah hilang ingatan dan anak di dalam kandungannya terpaksa dikeluarkan tidak cukup bulan. Setelah keadaan Salina pulih, dia dimasukkan ke dalam wad mental.

Azrul tidak tentu arah dan dia bernasib baik kerana Fauziah, ibu mertuanya serta Salimah membantunya menguruskan anaknya yang ‘kehilangan’ ibu itu. Fauziah amat bersyukur kerana Salimah sanggup menjaga Rina, anak kakaknya itu. Salimah mempunyai teman lelaki tetapi apabila Fauziah meluahkan hasrat hatinya untuk mengahwinkan Salimah dengan Azrul, Salimah berasa serba salah. Namun, demi kakak tersayang, Salimah telah mengorbankan cintanya. Ini membuatkan Malina semakin berdendam kerana usahanya untuk memikat dan menggoda Azrul tidak menjadi.

Ketika menghadiri mesyuarat, Azrul mendapat panggilan daripada hospital mengatakan bahawa ingatan Salina telah pulih. Azrul, Salimah dan Fauziah amat gembira namun pada masa yang sama risau kerana tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Salina keadaan terkini keluarga mereka.

Jika slot Ratu ‘Hilang’ membawakan kisah sedih, jom kita bergelak ketawa pula dengan ‘Boona Boonie’ menerusi slot Oh! Mari Gelak (OMG). Sitkom komedi 24 episod ini arahan Shahrulezah Mohammeddin dan diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd ini akan mula disiarkan di kaca tv bermula 16 Julai nanti. Ia mengisahkan Boona dan Boonie (Noorkhiriah dan Ieda Moin) yang bekerja sebagai pembantu rumah kepada Nyonya Mansur. Walaupun majikan mereka sangat kedekut, garang dan cerewet, namun mereka tetap kekal bekerja di situ kerana masing-masing ingin mengurat anak bujang majikan mereka bernama Mohd Manisnya lakonan Karl Shafek.

Saingan Boona dan Boonie adalah Sapura, anak kepada Aloya, jiran Nyonya Mansur. Sapura dipaksa oleh ibunya untuk mengurat Mohd Manisnya kerana menurut Nyonya Mansur, jika anak tunggalnya berkahwin, seluruh harta kekayaannya akan menjadi kepunyaan anaknya dan isteri. Itu yang dikejarkan oleh Aloya. Masalahnya, Sapura tidak minat dengan Mohd Manisnya dan ini membuatkan Aloya marah.

Boona dan Boonie berangan-angan untuk menjadi isteri Mohd Manisnya bukan kerana harta kekayaan tetapi kerana ketampanan dan kesegakannya. Mohd Manisnya pula adalah seorang yang suka berfoya-foya dan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan merupakan anak manja. Suatu hari Mohd Manisnya terbuka hati untuk berkahwin dan setiap hari dia telah membawa ramai perempuan dari pelbagai bangsa untuk Nyonya Mansur pilih. Namun, Boona dan Boonie telah menghasut majikannya dan memburuk-burukkan setiap perempuan yang datang dan Nyonya Mansur termakan hasutan mereka. Nak tahu siapa pilihan hati Nyonya Mansur, tunggu 16 Julai ini nanti. Selain daripada Noorkhiriah, Ieda Moin dan Karl Shafek, kita juga akan bergelak ketawa melihat gelagat pelakon lain seperti Noryati Taib, Anne Abdullah dan Wan Sharmila.

Akhir sekali, slot Aurora ‘Impian Raya Emelyn’ pula akan menemui anda semua pada setiap Khamis bermula 21 Julai ini. Pelakon baru yang kacak dan tampan, Nazim Othman digandingkan dengan Nuremy Ramli di samping Wawa Zainal dan Adey Shafrien. Bermula dengan Nazim yang membawa watak Aqil merupakan pelajar pintar dan kacak, menjadi kegilaan ramai pelajar perempuan. Emelyn mula meminati Aqil sejak di bangku sekolah sehinggalah kini, mereka berdua berada di universiti yang sama. Cuma Aqil mengambil jurusan perundangan dan Emelyn pula pereka fesyen. Minatnya tidak pudar dan sentiasa berusaha memikat Aqil namun Aqil tidak melayannya. Malahan Emelyn pernah memberi seupucuk surat kepada Aqil meluahkan perasaannya tetapi tidak mendapat balasan.

Kegembiraan Emelyn semakin berganda apabila bapanya Imran meminta Emelyn untuk tinggal bersama Ani sekeluarga, iaitu jiran mereka dan merupakan keluarga Aqil sepanjang Ramadan kerana bekerja di luar kawasan. Ani amat gembira kerana dia sememangnya menyukai Emelyn dan senang dengan kelakuan Emelyn. Ketika di rumah Aqil, Emelyn berhasrat untuk menjahit baju Melayu Aqil. Dia juga menanamkan impian untuk menjadi teman wanita Aqil pada Hari Raya yang bakal tiba.

pertandingan makan makanan eksotik untuk rancangan Makan Angin

Aqil merupakan ahli kelab renang dan disebabkan itu, Emelyn juga turut memasuki kelab yang sama walaupun tidak tahu berenang. Emelyn ingin sentiasa berada disisi Aqil namun berasa iri hati apabila melihat Rina sentiasa bersama Aqil. Namun, Emelyn tetap berfikiran positif sehinggalah suatu hari Huzir datang menegurnya.

Huzir merupakan senior Aqil dan terpikat dengan Emelyn yang berperwatakan ceria. Huzir cuba memikat Emelyn tetapi cinta Emelyn tetap kepada Aqil walaupun dia tahu sukar untuk menawan hati Aqil. Suatu hari, Aqil telah mengajak Rina untuk berbuka puasa bersama. Emelyn berasa amat sedih lalu menangis teresak-esak. Huzir tahu kenapa Emelyn menangis dan mengajaknya berbuka puasa bersama. Selesai berbuka puasa, Huzir mengajak Emelyn berterawih di masjid keluarganya iaitu masjid yang dibina oleh arwah datuk Huzir. Emelyn berasa amat tenang ketika itu.

Keesokan hari sebelah malam, Emelyn tergelincir lalu terjatuh di dalam kolam renang. Aqil pantas menyelamatkan Emelyn. Malahan ketika Emelyn pengsan di perpustakaan, Aqil turut menyelamatkan Emelyn dan mendukungnya. Walaupun begitu, Aqil tetap bersikap dingin terhadap Emelyn.

Sikap Huzir yang romantik dan mengambil berat terhadap Emelyn tidak langsung mengganggu Aqil. Tercapaikan impian Emelyn untuk menjadi teman wanita Aqil pada Raya ini? Ikuti drama 6 episod terbitan David Teo menerusi MIG Sdn Bhd pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 16 Julai ini.

Tiga drama menarik dan berkualiti bakal menemui anda semua sepanjang Julai ini. Di samping itu juga, rancangan dokumentari menarik ‘Makan Angin’ juga bakal menemui anda semua pada setiap Jumaat bermula 29 Julai ini.

Kali ini, tanggungjawab Faiz atau nama sebenarnya Adzriefaiz Adzlan lebih berat berbanding musim pertama kerana beliau akan menjelajah ke kampung-kampung pedalaman dan menyediakan makanan eksotik di sana. Bukan setakat itu sahaja, Faiz juga perlu menyediakan sendiri bahan-bahan makanan yang akan dimasak, termasuklah terpaksa memasuki hutan untuk mencari bahan-bahan tersebut. Sememangnya sangat mencabar terutamanya bahan yang tidak pernah dilihat atau didengar oleh Faiz sendiri.

Makan Angin musim kedua yang diterajui oleh Tengku Sahilawati Tengku Jehori (penerbit) ini mengandungi 13 episod dan akan disiarkan setiap Jumaat bermula 29 Julai 2011 ini. Antara perkara pelik yang dilalui oleh Faiz ialah memasuki hutan mencari umbut payas. Setahu Faiz, dia hanya pernah mendengar umbut pisang dan umbut kelapa. Ini satu pengalaman yang sangat menarik di mana Faiz memakai seluar trek, kasut sukan dan yang paling penting stoking yang panjang hingga paras lutut untuk mengelak pacat. Apabila tiba di tengah hutan, barulah Faiz tahu bagaimana rupanya pokok bayas. Itulah pertama kali Faiz melihat pokok bayas di mana ianya merupakan sebatang pokok yang agak besar. Untuk mendapatkan umbut, gergaji diperlukan untuk menebang pokok tersebut.

Faiz juga berpeluang menggunakan kukur kelapa antik kayu zaman dahulu untuk menyediakan kuih pelik iaitu kuih bunga pudak. Orang kampung telah ‘mendera’ Faiz untuk kukur kepala menggunakan cara tradisional, namun ianya pengalaman yang amat menarik buat Faiz. Selain daripada itu, Faiz juga pernah mencuba masak nasi ulam dan juga mencari mentarang iaitu sejenis siput yang tinggal di dalam selut lumpur. Lebih seronok apabila Faiz dan krew penerbitan menyinggah di pasar yang terletak di dalam kebun getah. Pengalaman di dalam makan Angin episod kedua ini betul-betul mengajar Faiz untuk menjadi lebih bersabar dan tenang.

Jom ramai-ramai berada di hadapan kaca tv anda menonton rancangan-rancangan menarik sepanjang Julai ini yang sememangnya menarik dan semestinya lain dari yang lain.


pelakon HILANG

Para Pelakon Hilang

ayu raudhah

Ayu Raudhah

mia sara nasuha

Mia Sara Nasuha

Nuremy Ramli

pelakon dan penerbit Boona dan Boonie

pelakon dan penerbit Impian Raya Emelyn

penerbit dan pelakon Hilang

Ziela Jalil

Ieda Moin dan Noorkhiriah

Ieda Moin dan Noorkhiriah

Nazim Othman

Noorkhiriah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Incubus Releases Highly Anticipated New Album

Tonton Bella Calamidades Dapat Menang Hadiah Menarik