KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – Tahun ini, Hari Guru disambut dengan cara yang cukup luar biasa dan penuh simbolik apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bergandingan bahu dengan watak animasi tempatan paling ikonik, Ejen Ali dalam satu perutusan istimewa yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia. Apa yang lebih menarik, PMX ‘melangkah’ masuk ke dalam dunia animasi tiga dimensi untuk menyampaikan mesej penghargaan buat para guru dengan cara yang kreatif, imaginatif dan penuh berjiwa muda.
Kolaborasi ini bukan sekadar meraikan Hari Guru, malah menjadi landasan strategik untuk memperkenalkan semangat perjuangan dan nilai murni yang terkandung dalam filem animasi terbaru, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2).Filem ini bakal menjengah pawagam seluruh negara mulai 22 Mei 2025, dan pendekatan ini diyakini mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu dan menghargai jasa guru dalam kalangan generasi muda.
PMX Sampaikan Ucapan Bermakna Dalam Dunia Animasi Ejen Ali
Dalam video perutusan kreatif ini, PMX tampil secara ‘live-action’ dalam dunia animasi Ejen Ali, menjadikan pendekatan ini satu langkah yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara sebelum ini. Dengan gaya santai tetapi penuh semangat, PMX menyampaikan ucapan yang cukup mengesankan:
“Hari ini kita berkumpul untuk meraikan wira luar biasa, guru-guru kita. Seperti ejen-ejen terhebat, mereka sentiasa berjuang di medan ilmu, memastikan misi pendidikan tercapai. Semangat mereka tinggi menjulang menjadi tunjang utama negara kita. Saya bersama wira muda kita, Ejen Ali dan rakan-rakannya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh warga pendidik kita, mengajar kita, mendidik kita, menyampaikan ilmu semata-mata untuk melahirkan generasi Madani. Sebab itu Ejen Ali, ingat jangan ada angkuh, buli, Ejen Ali akan ada dan bantu kita.”
Ucapan ini tidak hanya menekankan kepentingan guru, tetapi juga mengaitkan peranan mereka dengan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Ejen Ali, iaitu keberanian, disiplin, integriti dan semangat juang – nilai-nilai yang wajar diterapkan dalam sistem pendidikan dan pembangunan bangsa.
Guru Sebagai Pemacu Reformasi Pendidikan Negara
Sambutan Hari Guru 2025 yang bertemakan “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” tahun ini ternyata sangat kena pada masanya. PMX dalam ucapannya turut menyatakan bahawa guru adalah agen perubahan yang memacu hala tuju masa depan negara. Guru bukan sekadar penyampai ilmu di dalam kelas, tetapi juga arkitek yang membentuk keperibadian dan jati diri anak bangsa.
“Guru merupakan tunjang utama kemajuan bangsa dan wira sebenar yang mencorak masa depan negara,” ujar PMX dengan penuh yakin. Beliau turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terus menyanjung tinggi pengorbanan dan dedikasi para guru, yang menurutnya tidak akan pernah dapat dibalas dengan wang ringgit mahupun anugerah.
Ejen Ali Jadi Ikon Inspirasi Remaja & Simbol Semangat Positif
Watak animasi Ejen Ali bukan lagi sekadar hiburan semata-mata. Dalam dunia yang semakin mencabar, Ejen Ali dilihat sebagai ikon keberanian dan aspirasi generasi muda Malaysia. Melalui filem Ejen Ali The Movie 2, nilai-nilai perjuangan dan keazaman diterapkan secara mendalam, selari dengan peranan guru di dunia sebenar yang bertungkus-lumus membimbing dan membina masa depan anak murid mereka.
Kolaborasi ini juga menjadi satu bentuk pendekatan mesra generasi muda, membawa mesej bahawa guru bukan sahaja penting dalam kehidupan realiti, malah turut diangkat dalam karya budaya pop kontemporari sebagai wira yang sebenar.
Ejen Ali The Movie 2 Bakal Gegar Pawagam Seluruh Negara
Bermula 22 Mei 2025, pawagam seluruh negara akan menyaksikan kemunculan semula Ejen Ali dalam sebuah filem penuh aksi dan emosi. Ejen Ali The Movie 2 dijangka bakal mencipta fenomena tersendiri, bukan sahaja dari aspek animasi tempatan yang berkualiti tinggi, tetapi juga dari segi jalan cerita yang menyentuh jiwa dan dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.
Bagi peminat tegar, tiket tayangan awal pada 20 dan 21 Mei sudah mula dijual – jadi rebutlah peluang ini untuk menjadi antara yang terawal menyaksikan misi terbaru Ejen Ali!
Filem ini merupakan hasil usaha gabungan antara Primeworks Studios dan WAU Animation, dengan kerjasama Komet Productions. Ia pastinya akan memberi impak besar kepada industri animasi tempatan, sambil memperkukuh mesej-mesej penting yang menyentuh aspek kemasyarakatan, nilai murni dan semangat Madani.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Guru, tetapi juga menunjukkan kesungguhan kepimpinan negara dalam mendekati rakyat dengan cara yang kreatif dan bermakna. Pendekatan PMX yang memasuki dunia animasi tidak hanya simbolik, tetapi sangat berkesan dari sudut psikologi dan komunikasi visual, terutamanya buat golongan muda yang membesar dengan budaya digital.
Ejen Ali bukan sekadar ‘ejen perisik’, tetapi kini menjadi ejen perubahan. Filem ini patut ditonton oleh seluruh keluarga, bukan sahaja kerana kualiti teknikalnya yang semakin mantap, tetapi kerana mesej dan nilai yang dikandunginya—ialah tentang perjuangan, keberanian dan penghargaan terhadap guru yang tidak pernah mengalah.
Budiey harap kolaborasi seperti ini diteruskan di masa depan. Kita perlukan lebih banyak medium yang kreatif dan relevan untuk menghargai tokoh masyarakat dan menyampaikan nilai murni secara segar dan menarik. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam usaha ini – ini baru namanya “ejen perubahan sebenar.”