in , ,

Anwar Ibrahim Tersentuh, Puji Garapan Filem Anwar: The Untold Story

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keseluruhan jalan cerita filem Anwar: The Untold Story iaitu naskhah yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik tanah air.

Kata Anwar, konteks diketengahkan dalam filem berkenaan juga adalah betul, namun sukar sekiranya pihak produksi mahu merumuskan keseluruhan kisah yang berlaku kepada dirinya ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

“Saya menonton filem ini buat kali pertama, tetapi selebihnya saya serahkan hak filem ini kepada penerbit. Filem ini bebas, kreatif dan jalan ceritanya juga temubual ramai orang. Sinematografi filem ini juga sangat baik.
“Peristiwa puluhan tahun mahu disingkatkan dalam satu jam lebih sudah tentunya tidak mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan kecekalan, kepintaran dan pengalaman pihak produksi,”

– Anwar Ibrahim

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Dalam masa sama, Anwar menjelaskan, beliau bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada penerbit dan pengarah filem untuk menggarap jalan cerita supaya menjadi lebih menarik.

“Disebabkan ini adalah hasil seni, maka daya cipta dan kreativiti itu harus ada. Kita berikan ruang agak bebas (terhadap filem). Kerana saya percaya dalam pembikinan hasil kreatif harus diberikan sedikit ruang kebebasan.
“Prinsip seni ini harus lebih bebas untuk memastikan kreativiti seni itu tercungkil. Sebagai orang yang diceritakan, tentunya saya tersentuh,”

– Anwar Ibrahim

Sementara itu, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, filem Anwar: The Untold Story mampu menangkis persepsi buruk yang sudah diberikan kepada suaminya sejak dahulu.

“Filem ini memberi gambaran bagaimana perjalanan kami suatu ketika dahulu dan ini juga menangkis persepsi terhadap Anwar bahawa dia adalah seorang ‘kriminal’ atau banduan.
“Saya rasa ia adalah tujuan yang ingin disampaikan menerusi filem ini,”

– Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Terdahulu, Anwar bersama Wan Azizah hadir ke sesi tayangan khas filem Anwar: The Untold Story yang memaparkan ranjau perjalanannya dalam arena politik tanah air di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, di sini.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta itu dihadiri beberapa tetamu kehormat, tokoh politik, penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan.

Majlis tayangan anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem Anwar: The Untold Story menyaksikan Siti menyanyikan lagu runut bunyi filem berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.

Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil yang memegang watak utama sebagai Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Ia digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar dengan penggambarannya dijalankan di Malaysia dan Indonesia.

Filem Anwar: The Untold Story akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

JOE FLIZZOW SWAG

Festival Muzik & Seni Pinkfish Luar Biasa! Show Yang Amat Padu!

ANWAR IBRAHIM

Anwar Hanya Menangis Sekali Sahaja Dalam Penjara Iaitu Semasa…