in , ,

Pelantun Menjaga Cintamu, Siti Nurhaliza Terima Pujian Anwar Ibrahim

Mustika hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menonton terlebih dahulu filem Anwar: The Untold Story sebelum merakamkan lagu tema berjudul Menjaga Cintamu.

Menurut Siti, dia mahu benar-benar menghayati isi serta jalan cerita karya berkenaan sebelum merakamkan runut bunyi hasil ciptaan komposer prolifik Indonesia, Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.

Anwar: The Untold Story merupakan naskhah yang menceritakan mengenai perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kancah politik ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

“Sebelum rakam lagu tema, saya minta untuk menonton filem terbabit terlebih dahulu supaya boleh menghayatinya. Selepas saya tonton, barulah saya dapat mendalami jalan cerita dengan baik.

“Lagu ini dihasilkan untuk seorang tokoh hebat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak berkorban di samping isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sering bersabar dan banyak menahan perasaan sepanjang perjuangan mereka.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak produksi kerana memilih saya untuk menyampaikan lagu ini,” 

Siti Nurhaliza ditemui usai majlis tayangan filem Anwar: The Untold Story anjuran DMY Creation di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur malam tadi.

Anggun mengenakan busana rekaan Ashraff Zainal, Siti hadir ke majlis tayangan filem berkenaan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Menerima pujian Perdana Menteri yang tersentuh mendengar lagu tema terbabit, pelantun lagu Di Kayangan Kita ini terharu dengan respons baik yang diterima.

“Sebenarnya, saya segan, tapi rasa sangat bersyukur, Alhamdulillah. Maknanya usaha dan karya hasil ciptaan Andi Rianto yang dibuat khas untuk filem ini mencapai matlamatnya.

“Sejujurnya saya gementar, namun saya terharu dengan penerimaan dan maklum balas positif lagu ini.

“Insya-Allah, lagu ini bakal dimuatkan dalam album terbaharu saya yang bakal siap tahun ini,” katanya.

Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil yang memegang watak utama sebagai Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta bakal ditayangkan di panggung wayang seluruh negara pada 18 Mei ini.

Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan DMY Creation selaku pengedar rasmi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kejutan Konsert Big Stage Minggu Pertama Rina Nose & Kak Lina Bergabung!

Lagi Pasangan Selebriti Ke Mahkamah Syariah, Hadir Ke Proses Sulh?