in

Pilih Kasih Musim Ketiga Adalah Yang Terakhir

Pilih Kasih Kembali

Merentas dua musim penganjurannya sebelum ini, program realiti yang mengangkat seni lakon sebagai konsep utamanya sudah banyak menghasilkan bintang berbakat dan popular. Yakin dan percaya akan ketandusan wajah baru dengan prinsip untuk memartabatkan industri tanah air, aktor yang juga penerbit drama dan filem popular juga pencetus idea asalnya, Rosyam Nor tidak pernah kenal erti jemu dan lelah untuk mencari bakat-bakat pelapis dunia lakonan tempatan.

Dalam usaha beliau meneruskan kesinambungan legasi pelakon-pelakon tanah air, Rosyam menerusi syarikat produksinya Suhan Movies and Trading Sdn Bhd dan Telekom Malaysia (TM) sekali lagi bekerjasama menerbitkan musim terbaru program pencarian bakat lakonan iaitu Pilih Kasih.

Kembali untuk musim ketiga, program yang akan bersiaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 25 Januari ini bakal memaparkan beberapa pembaharuan bagi memantapkan lagi persembahan dan pengisiannya. Selepas menjelajah tujuh lokasi termasuk Selangor, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak, Kuantan dan Kuala Lumpur bagi mencari bakat-bakat baru dalam lakonan, Rosyam akhirnya menemui 16 peserta berpotensi yang diyakini mampu digilap dalam Pilih Kasih.

Rosyam Nor

“Selepas beberapa bulan kami menjalankan usaha mencari bakat-bakat baru dalam bidang lakonan di seluruh Malaysia, saya berbangga untuk mengumumkan kami telah menemui 16 bakat muda yang berpotensi untuk melangkah jauh dalam dunia lakonan tempatan. “Bukan sekadar bakat saja yang kami cari sebaliknya untuk menjadi seorang anak seni yang punya pesona serta kredibiliti, saya mencari seseorang yang lengkap pada aspek personalitinya dan perwatakan yang ada ketika mereka hadir ke sesi ujibakat.

“Alhamdulillah selepas berbulan-bulan kami menjelajah, akhirnya kami bertemu dengan apa yang kami fikirkan terbaik. Bukan saja dari penilaian saya sebaliknya dengan bantuan teman-teman lain seperti Umie Aida, Erra Fazira, Fauziah Nawi, Que Haidar, Norish Karman, Lisdawati, Amyza Aznan, Hamzah Tahir, Nanu Baharudin, Erma Fatima dan Dr Abu Hassan ,” katanya.

Mengulas tentang pembaharuan yang ditampilkan pada musim ini, Rosyam berkata selain pengenalan sebuah program baru iaitu Zooom Pilih Kasih, Pilih Kasih juga lebih berseri dengan kehadiran dua bintang besar dunia lakonan, Erra Fazira dan Umie Aida yang bertindak sebagai penasihat. “PK menampilkan beberapa pembaharuan bagi menyuntik elemen segar dan kematangan, seiring dengan usia penerbitannya yang kini mencecah tahun ketiga.

“Bagi menambahkan nilai dan kualiti pada pengisian dan pembelajaran para peserta, PK berbangga untuk menampilkan dua aktres hebat tanah air, Erra Fazira dan Umi Aida untuk berkongsi pengalaman dan ilmu mereka serta memberi bimbingan berterusan kepada para peserta berkaitan selok-belok dunia lakonan tanah air,” katanya yang mengakui dua bintang hebat yang juga sahabat baiknya itu sebagai penasihat untuk musim kali ini.

Jika pada dua musim terdahulu, Rosyam sebagai ikon Pilih Kasih mempunyai kuasa mutlak dalam memutuskan penyingkiran peserta pada setiap minggu. Namun keadaan itu sedikit berbeza pada kali ini apabila Erra Fazira dan Umie Aida turut mempunyai kuasa dalam menilai prestasi semasa peserta dan mempengaruhi keputusan Rosyam sebelum sebarang penyingkiran berlaku.

Pilih Kasih tampil lebih segar dengan sebuah program baru iaitu Zooom Pilih Kasih yang menjejaki semula perkembangan semasa bekas-bekas bintang Pilih Kasih dalam dua musim sebelum ini. Bersama personaliti Eisya Toh selaku pengacara, program sebanyak 12 episod ini akan mula bersiaran pada 28 Januari hingga 14 April depan, pada setiap Sabtu pukul 9 hingga 10 malam di TV2.

Kesemua 16 peserta Pilih Kasih ini akan mendapat bimbingan secara berterusan mengenai selok-belok dunia lakonan daripada dua bintang besar ini menerusi sesi pembelajaran pada setiap minggu. Selain itu, peserta musim juga akan mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan penerbit terkenal Erma Fatima yang akan membimbing dari aspek lakonan drama mingguan dan pementasan teater dan aktivis teater Hamzah Tahir pula mengawasi seni lakon kesemua 16 bintang PK secara terperinci.

Beberapa program utama yang masih dikekalkan pada musim baru ini adalah Kisah Pilih Kasih dan Pentas Pilih Kasih. Kisah Pilih Kasih yang memaparkan diari dan aktiviti pembelajaran dan tugasan peserta akan mula disiarkan pada setiap Rabu dan Khamis bermula 25 Januari hingga 12 April depan sebanyak 24 episod. Pada kali ini, pengacara dan penyampai radio Nasional FM, Muaz Mohamed diberi kepercayaan untuk mengacarakan Kisah Pilih Kasih.

Sementara itu, Pentas Pilih Kasih yang menjadi medan penting para peserta mempertaruhkan bakat masing-masing dalam menyampaikan tugasan mingguan yang diberikan akan mula bersiaran pada 5 Februari hingga 15 April depan pada setiap Ahad pukul 9 malam selama dua jam.

Masih lagi dipentaskan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, Pentas Pilih Kasih masih mengekalkan pengacara yang sama, Reza Mohammed.

Mengulas mengenai penglibatan TM selaku penaja utama Pilih Kasih untuk tiga tahun berturut-turut, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Dato’ Rozalila Abdul Rahman berkata: “Selaras dengan hala tuju jenama TM iaitu ‘Merintis Kemungkinan’, kami berharap dengan kerjasama ini, TM dapat terus merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk mengasah bakat mereka dalam lakonan. Kami juga yakin dengan penambahan pelbagai pembekal perkhidmatan televisyen dewasa ini, khususnya perkhidmatan Televisyen Protokol Internet (IPTV) kami, HyppTV, rancangan-rancangan seperti ini akan memberi lebih banyak peluang kepada mereka yang ingin sekali berkecimpung di dalam industri hiburan tanah air.”

“Melalui kerjasama dengan Suhan Movies ini juga kami terus memperolehi pelbagai manfaat termasuklah dalam bentuk kehadiran jenama, pendedahan media semasa siaran dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di tapak sesi uji bakat dan tayangan perdana.

Para peserta Pilih Kasih juga akan dijemput untuk menghadiri aktiviti-aktiviti anjuran TM, di mana rakamannya nanti akan disiarkan dalam Kisah Pilih Kasih dan Zooom Pilih Kasih,” katanya.

Sebagai penaja utama, TM akan mempromosikan Pilih Kasih secara dalam talian menerusi portal gaya hidupnya, EveryoneConnects (www.everyoneconnects.net), sekaligus menjadikan EveryoneConnects rakan dalam talian kepada Pilih Kasih. Selain siaran langsung dan siaran ulangan Pilih Kasih di saluran TV2 atau saluran 102 di HyppTV, portal gaya hidup TM EveryoneConnects (www.everyoneconnects.net) pula akan menayangkan siaran ulangan secara eksklusif di ruangan Sini Maa.

Segala maklumat, profil peserta dan perkembangan semasa berkaitan Pilih Kasih akan dipaparkan menerusi www.everyoneconnects.net. Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai peraduan yang dianjurkan di portal berkenaan, semuanya di www.everyoneconnects.net.

Sebagai kesinambungan daripada Pilih Kasih tahun lalu, TM meneruskan penajaannya untuk Anugerah Khas TM iaitu Pelakon Terbaik TM yang akan dianugerahkan kepada peserta pilihan juri berdasarkan bakat, potensi, komitmen dan kesungguhan mereka sepanjang berada dalam Pilih Kasih musim ini. Pemenang anugerah ini akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan trofi sumbangan TM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Rantaian Nilai Cinta Diana

Ntv7 Bakal Siar The Descendant