in

Peserta Wanita Kuasai Bintang Ai-Minnal 1Malaysia

BINTANG Ai-MINNAL 1MALAYSIA : DUA TIKET KE AKHIR DIKUASAI PESERTA WANITA

Pentas pertandingan Bintang Ai-Minnal 1Malaysia 2010 peringkat separuh akhir pertama membuka tirainya hari ini dengan menyaksikan penguasaan dua peserta wanita mara ke peringkat akhir, April nanti.

Angela atau nama sebenarnya Chua An Qi dari Johor, merupakan finalis pertama yang diumumkan ke pentas akhir pada pertandingan peringkat separuh akhir pertama yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri. Dengan lagu “ Awan Yang Terpilu” nyanyian asal Ning Baizura, Angela berjaya memikat tiga hati juri iaitu; Johan Nawawi, Helen Yap dan Asnawi Mutaal dari Orkestra RTM selaku ketua juri untuk melangkah ke cabaran seterusnya.

Tiket kedua dimiliki Iris atau nama sebenarnya Iris Perrine a/p Vethamoni Asirvatham dari Selangor selepas mempersembahkan vokal bertenaga menerusi lagu klasik “Tunggu Sekajap”. Sementara empat lagi peserta yang gagal; Shanthesh Kumar a/l Sukumaran, Prabagaran a/l Mookaya, Khor Bin Yun dan Darren Chin Teik Meng.

Bintang Ai Minnal 1Malaysia 2010 diterbitkan hasil kerjasama dua stesen radio nasional RTM berbahasa Mandarin dan Tamil iaitu Radio Malaysia AiFM dan Radio Malaysia MINNALfm (Tamil) yang disiarkan setiap Ahad, jam 4.00 petang di TV2.

Pertandingan yang diacarakan oleh DJ Muaz dari Radio Malaysia MuzikFM ini disiarkan selama enam minggu berturut-turut bermula dengan pertandingan Separuh Akhir Pertama (7 Mac 2010), Separuh Akhir Kedua (14 Mac 2010), Separuh Akhir Ketiga (21 Mac 2010), Separuh Akhir Keempat (28 Mac 2010), Konsert Pra Akhir (4 April 2010) dan Peringkat Akhir (11 April 2010).

Setiap minggu, tiga peserta berbangsa Cina dan tiga peserta berbangsa India akan mempertaruhkan bakat-bakat masing-masing untuk memilih yang terbaik dan penjurian lebih mengutamakan aspek vokal serta sebutan kerana setiap peserta perlu menyanyikan lagu dalam Bahasa Malaysia dalam apa sahaja genre muzik. Peringkat akhir, hanya lapan peserta dipilih iaitu empat berbangsa Cina dan empat berbangsa India.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM 20,000.00, kedua RM 15,000.00, ketiga RM 10,000.00 dan Peserta Paling Popular RM 5,000.00 yang dipilih berdasarkan undian SMS.

Sepanjang satu jam setengah bersiaran secara langsung, persembahan peserta diserikan dengan kemunculan tiga artis jemputan Azharina menyanyikan lagu Gitar Berbunyi, Han dengan lagu Bisikan juga Kumpulan Sofaz dengan dua lagu bertajuk Cinta dan Hingga Penghujung Nafas Terakhirku.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MALAM SABTU lebih menarik di 8TV!

Drama Doa Orang Jauh Lakonan Lisdawati, Nasir Bilal Khan