in , ,

Pertubuhan Kraf Malaysia Anjur Kuala Lumpur Exchange 2023 di Lalaport

Kuala Lumpur Exchange 2023 Diadakan Untuk Membela & Memartabatkan Artisan Kraf Tempatan Di Samping Memelihara Warisan Budaya Menerusi Inisiatif ‘The Silver Lining Project’

Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) telah berganding bahu dengan Kementerian Pelancongan, Seni, & Kebudayaan (MOTAC) Malaysia, Pelancongan Malaysia, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Malaysia, Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) Kuala Lumpur, Lalaport, Bukit Bintang dan beberapa agensi yang berkaitan untuk menganjurkan Kuala Lumpur Exchange 2023 – satu acara unik yang mengenengahkan industri kraf kepada masyarakat, memartabatkan artisan tempatan, di samping memelihara warisan budaya dengan penekanan aktiviti pemuliharaan seni kraf tradisional Malaysia yang menghadapi ancaman kepupusan melalui inisiatif ‘The Silver Lining Project’. 

Pertubuhan Kraf Malaysia Anjur Kuala Lumpur Exchange 2023 di Lalaport

Menyusuli kejayaan hebat Kelantan Exchange 2020 dan 2021, serta Penang Exchange 2022 – tahun ini, MCC memutuskan untuk membawa semangat serta keseronokan yang sama dengan lebih berimpak tinggi ke Kuala Lumpur, nadi utama bangsa serta ibu negara Malaysia sendiri dengan program atau agenda yang lebih menarik lagi.

Kali ini, acara Kuala Lumpur Exchange 2023 akan berlansung selama hampir 2 minggu, dan padat dengan aktiviti-aktiviti yang mengujakan berbanding tahun-tahun sebelumnya yang hanya berlaku selama 3 hari. 

Pertubuhan Kraf Malaysia Anjur Kuala Lumpur Exchange 2023 di Lalaport

Berinspirasikan inisiatif ‘The Silver Lining Project’ (IG @tslpmalaysia) yang mendapat sokongan padu daripada Yayasan Hasanah dan telah dilancarkan oleh MCC pada awal tahun ini, di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Lumpur Exchange 2023 membawa tema yang sama iaitu ‘The Silver Lining Experience’ untuk menekankan isu krisis kepupusan budaya dan kraf yang semakin meruncing di negara kita.

Kali ini, MCC ingin membawa pengunjung serta semua yang terlibat ke suatu pengalaman pengembaraan dan aktiviti kebudayaan yang mengasyikkan melalui pendekatan ‘hands-on’ atau praktikal. 

Pertubuhan Kraf Malaysia Anjur Kuala Lumpur Exchange 2023 di Lalaport

MCC bertindak lebih berani pada tahun ini, dalam usaha mengukuhkan dan meluaskan mesej yang ingin disampaikan supaya dapat menarik minat daripada golongan muda dalam melahirkan generasi Artisan seterusnya.

Maka, Kuala Lumpur dilihat sebagai pilihan tepat untuk tujuan ini dan memenuhi sasaran capaian organisasi. Kami juga berharap, ia mampu menghimpunkan badan-badan serta individu-individu berpengaruh yang sehaluan dengan aras pemikiran yang setara, untuk mendidik, memupuk dan mewujudkan kesedaran yang luas tentang keunikan hasil kraf tempatan. 

Besar harapan MCC agar acara ‘Exchange’ ini terus menjadi satu ‘platform’ atau pentas inklusif buat artisan tempatan memposisikan diri mereka dan berhubung dengan golongan masyarakat atau audiens yang tepat; di samping meningkatkan perkembangan kerjaya masing-masing di dalam industri tanpa hanya bergantung harap kepada orang tengah atau penjual mahupun pemasar. 

Acara akan berlansung daripada 14hb Oktober sehingga 23hb Oktober 2023, di Lalaport, Bukit Bintang sebagai pusat aktiviti induk sepanjang program dimulai dengan KLEX Cultural Sprint dan Kecoh Kecoh Kebaya Race pada 14 dan 15 haribulan.

Seterusnya, program utama Kuala Lumpur Exchange 2023 bakal berlaku pada 20 haribulan sehingga 22 haribulan mempamerkan artisan-artisan dengan hasil kraf mereka untuk jualan di Pekan Sari, menganjurkan seminar, sesi forum atau bual bicara dan menjalankan bengkel berkaitan kraf serta industri seperti Seni Sulaman Kelingkan, Seni Anyaman Songket dan Seni Kain Telepuk dan An Evening with ‘The Silver Lining Project’ Artisans’.

Kemuncak acara adalah majlis makan malam amal ‘The Silver Splendour Gala Dinner’ – bakal dihadiri oleh kerabat diraja, pembesar negara serta individu berpengaruh pada 23 haribulan Oktober di Hotel The Grand Hyatt, Kuala Lumpur. 

Bersempena dengan Kuala Lumpur Exchange 2023, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut menganjurkan Festival Seni Hidup@Living Arts Culture Festival (LACF) pada 20 – 22 Oktober 2023.

Program tiga hari ini menghimpunkan kesenian yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan serta kesenian yang jarang diketengahkan. 13 negara akan mengambil bahagian iaitu Argentina, Azerbaijan, Filipina, India, Indonesia, Kazakhstan, Malaysia, Mauritius, Mexico, Nigeria, Republik Korea, Sri Lanka dan Uzbekistan. Sebanyak 20 warisan budaya tidak ketara diketengahkan dengan 10 daripadanya tersenarai di bawah UNESCO. 

Pertubuhan Kraf Malaysia Anjur Kuala Lumpur Exchange 2023 di Lalaport

MCC mengambil peluang melalui program sebegini untuk menjadi suara mewakili para artisan dan memberi gambaran tepat tentang senario atau cabaran di dalam industri.

Pada masa yang sama, ia turut berhasrat untuk menghapuskan sebarang bentuk manipulasi atau monopoli ekonomi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kepupusan beberapa warisan kraf negara. 

Program ‘The Exchange’ bakal dijadikan acara tahunan dan berpotensi untuk dilaksanakan di negeri-negeri lain yang juga kaya dengan warisan budaya unik serta bakat artisan kraf mereka sendiri. 

Sealiran dengan usaha Malaysia dalam mewujudkan kelestarian serta menyemarakkan lagi industri kraf negara, MCC mengalu-alukan sebarang bentuk koloborasi dan kerjasama dari pelbagai pihak, organisasi atau badan-badan berkaitan. Ini adalah supaya legasi artisan tempatan dapat diteruskan, pertumbuhan industri dipertingkatkan, serta suntikan idea bernas, segar dengan perspektif yang inovatif diperhebatkan. 

Pertubuhan Kraf Malaysia Anjur Kuala Lumpur Exchange 2023 di Lalaport

TENTANG PERTUBUHAN KRAF MALAYSIA: 

Pertubuhan Kraf Malaysia adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang diwujudkan sebagai agen advokasi untuk memacu pertumbuhan industri Kraf Negara mewakili pelbagai kategori kraf (Batik, Songket, Tenun, Perak, Seramik, Sulaman dan lain-lain). Ia juga bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan kesemua pemain industri, dalam memposisikan kraf Malaysia di persada dunia melalui projek koloborasi bersama organisasi antarabangsa dan jaringan afiliasi yang dibina. Sebagai sebuah organisasi yang baru ditubuhkan ia amat mengalukan jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak sama ada dari sektor kerajaan mahupun swasta. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kempen Musim Sejuk Peduli Insan Sasar Kutipan Dana 5 Juta Bantu 3 Negara

Tentang Drama Bersiri Viu Original From Saga With Love, Jom Baca Sinopsis!