in ,

Penyanyi Indonesia Rina Gunawan Meninggal Dunia

Penyanyi Indonesia, Rina Gunawan, 47, meninggal dunia selepas seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pertamina Simprug, di sini, selepas mengalami gejala virus Covid-19, semalam.

Bagaimanapun, punca kematian Rina atau nama sebenarnya Rina Mustikana Gumilang Gunawan belum disahkan sama ada dia meninggal dunia disebabkan Covid-19 atau penyakit lain termasuk asma yang dihidapinya.

Suaminya, Teddy Syah berkata, isterinya memang sudah dimasukkan ke ICU sebelum ini, tetapi tidak mengetahui keadaan kesihatannya yang terbaru sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Ya, dia berada di ICU selama seminggu. Saya belum tahu keadaan terakhirnya sama ada sudah negatif atau masih positif (Covid-19),” katanya.

Menerusi perkongsian tangkap skrin penyanyi Ashanty mengenai perbualan terakhirnya bersama Rina, Allahyarham ada mengadu dia mengalami sesak nafas ketika ditahan di ICU.

“Saya di ICU sayang. Sudah hari keempat di hospital. Sesak,” demikian balasan mesej Rina kepada Ashanty.

Rina memulakan karier nyanyiannya pada 1995 dan menghasilkan album berjudul Yudi pada tahun sama.

Selepas itu, dia aktif sebagai penyampai TV serta terbabit dunia perniagaan. Antara program kelolaannya termasuk Campur-Campur dan Ruming.

Rina juga pernah membintangi beberapa sinetron termasuk Erte Erwe (Rumah Tangga Ruwet), Pat Pat Gulipat dan Mat Angin. 

Penyanyi itu mendirikan rumah tangga dengan Teddy pada 11 April 1999. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqshal Ilham Syafatullah dan Karnisya Rahmasyach.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selera Romantis New Zealand Antara Yang Terbaharu di TV Okey

‘Musim’ Baharu Jam Hot Bersama Deen, Haziq & Fad