in

Pemergian Yasmin Ahmad: Komen Artis & Selebriti

Yasmin Ahmad tinggalkan satu legasi!

RAKAN-RAKAN artis dan juga personaliti terkenal tanah air memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebaik mendengar berita pemergian pengarah tersohor itu lewat malam tadi. Semuanya melahirkan kesedihan dan kehilangan dengan pemergian Yasmin. Legasi yang ditinggalkan oleh penulis dan pengarah hebat Yasmin sukar dicari ganti.

Tan Sri Mohamed Jin Shamsuddin

Tan Sri Jins sifatkan pemergian Yasmin satu kehilangan besar

“Kita telah kehilangan seorang yang mempunyai kebolehan dan bakat yang besar. Sama-samalah kita doakan semoga beliau ditempatkan disisi orang yang beriman. Kita jadikan ini sebagai iktibar dan kita juga harus teruskan perjuangan beliau.”

301924976 79F31Ef640 O | 4

Sazzy Falak

Sazzy: Hasil kerja Allahyarham Yasmin cukup agung.

“Yasmin membuatkan kita menjadi bangga sebagai rakyat Malaysia. Hasil kerja agungnya berkisar kepada semangat muhibbah dan bagaimana pelbagai bangsa boleh saling menyayangi. Sumbangannya sangat besar dan akan menjadi ingatan kepada kita semua sampai bila-bila pun. Jika kita tengok kembali hasil kerjanya, kita akan sedar dia telah meninggalkan satu legasi kepada kita semua.”

Maya Karin

Maya Karin terkejut dengan pemergian Allahyarham Yasmin

“Walaupun saya tidak berpeluang untuk bekerja bersama beliau dalam mana-mana filemnya tetapi saya tahu dia seorang yang mempunyai peribadi baik dan disayangi oleh semua orang. Seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan pemergianya, semoga rohnya dicucuri rahmat.”

3272140562 9E35A43054 | 5

Fatimah Abu Bakar

Fatimah Abu Bakar: Ramai orang yang salah anggap dengan diri Yasmin

“Dalam dunia ini mungkin ada ramai insan yang hebat-hebat, Yasmin adalah salah seorang daripada mereka. Dia bukanlah seorang yang jenis mengambil mudah dengan kerjanya kerana dia seorang yang berbakat. Dia mempunyai semangat yang tinggi dan visinya yang tersendiri sampaikan kita pun tak faham. Kerana itulah ramai orang yang salah anggap dengan diri Yasmin. Tetapi dia sedikitpun tidak pernah berniat jahat. Semua filem-filem arahannya berkisahkan kemaafan dan cinta kerana Yasmin sendiri dibesarkan oleh keluarganya dengan penuh kasih sayang.”

Engku Emran

“Ini merupakan satu kehilangan yang besar bukan sahaja pada industri kita, malah juga pada negara. Filem-filem Yasmin juga ditonton oleh semua golongan kaum dan setiap filem dia pasti berkaitan dengan kaum-kaum yang berbeza. Kerana itulah sentuhan Yasmin begitu berbeza jika dibandingkan dengan pengarah-pengarah filem yang lain. Kita kehilangan seseorang yang sangat hebat, pintar dan seorang pengarah yang kreatif.”

Aznil Hj Nawawi

Hj Aznil Hj Nawawi: Allahyarham bijak menarik minat rakyat Malaysia pelbagai kaum

“Saya sentiasa mengagumi hasil kerjanya(Yasmin) tetapi tidak pernah berpeluang untuk bekerja bersamanya. Yasmin bijak untuk menarik minat rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini melalui filem serta iklan yang dihasilkannya. Kali terakhir saya bertemu Yasmin ketika dia datang ke studio Radio Era untuk mempromosikan filemnya yang berjudul ‘Talentime’. Sebelum saya menerima SMS mengenai pemergiannya, saya sudahpun merancang untuk pergi melawatnya, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena seolah-olah menyuruh saya untuk melawatnya. Tetapi sayangnya Yasmin telah pun pergi meninggalkan kita.”

Dafi

Budiey BlogDafi: Kehilangan seorang pengarah yang sangat berbakat

“Saya pernah bekerja dengannya dua kali, untuk pengiklanan Silky dan Earth Hour. Kita semua kehilangan seseorang yang sangat berbakat. Saya benar-benar berasa sedih kerana Yasmin seorang yang cukup istimewa. Saya bertuah dapat mengenalinya.”

Othman Hafsham

“Yasmin berani meluahkan apa-apa yang terbuku dalam mindanya menerusi filem dan iklannya. Yang peliknya, buah tangannya yang dianggap ‘kontroversi’ lebih dihargai masyarakat luar negara berbanding masyarakat tempatan. Allahyarmah tidak dapat dinafikan ialah ikon kepada generasi muda hari ini.”

Ini pula dipetik dari KOSMO!

MASIH jelas terbayang dalam ingatan ramai orang di Malaysia pada sosok bernama Yasmin Ahmad. Siapa sahaja yang tidak teringat dengan pesonanya yang dilihat sering menyarung baju kebaya putih dan dipadankan dengan kain batik, berselipar serta menjinjit tas tangan sambil berjalan penuh santun.

Kesederhanaan pengarah filem prolifik itu yang menyuntik elemen masyarakat majmuk tanpa menunjukkan sebarang kemewahan duniawi dalam karya garapannya sebelum ini membuatkan dia lekas meraih perhatian khalayak pelbagai kaum.

Itu pandangan kami sebagai pemerhati di gelanggang seni. Kualitinya sebagai anak pula, dia adalah insan yang paling disayangi oleh keluarga.

Saat Allahyarham Yasmin, 51, dikebumikan, deraian air mata pantas gugur dan bergenang dalam kelopak mata setiap ahli keluarganya. Mereka seolah-olah tidak mampu berdepan dengan hakikat anak yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh berada di dalam liang lahad.

“Dia merupakan satu dalam sejuta. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah meninggikan suara kepada sesiapa pun termasuklah saya mahupun ayahnya. Arwah Yasmin merupakan seorang yang mendengar kata dan seboleh-bolehnya, dia cuba merendahkan suaranya agar kami tidak terasa,” kata ibu Yasmin, Enom Yon, ringkas dalam nada sebak.

Sempat mengumpulkan kekuatan sebelum berbicara lanjut tentang Yasmin, Enom dalam nada tersekat-sekat memohon orang ramai yang hadir pada majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan SS22, Subang Jaya, Selangor supaya memaafkan segala kesilapan yang dilakukan Yasmin sama ada sengaja ataupun tidak sengajakan.

“Saya minta agar semua orang di sini sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Ampunkan kesalahannya, jika ada yang terasa atau berkecil hati dengannya,” ujarnya sayu.

Mungkin masih belum dapat menerima hakikat bahawa anaknya telah pergi, Enom pengsan selama beberapa minit ketika talkin dibacakan. Suami Allahyarham, Abdullah Tan Yew Leong, juga tidak dapat menahan air mata daripada mengalir tanpa henti saat jenazah dimasukkan ke liang lahad. Malah Abdullah juga seperti mahu rebah pada waktu itu.

Sepanjang upacara pengebumian Allahyarham Yasmin, keluarga pengarah itu enggan ditemu ramah dan tidak membenarkan gambar jenazah dirakam.

Keengganan berjumpa dengan pihak media mungkin satu luahan perasaan sedih bahawa mereka masih belum lagi menerima kenyataan pemergian Allahyarham Yasmin yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya pada 1 Julai lalu.

Malah, adik-beradik pelakon Sharifah Amani yang menganggap pengarah itu sebagai ibu mereka juga tidak henti-henti menangis di samping ibu kandung mereka, Fatimah Abu Bakar. Mereka tidak sanggup untuk berkata-kata pada upacara tersebut.

Kosmo! sempat menemuramah sedikit saudara terdekat Allahyarham, Sharifah Kayat, 61. Dia memberitahu: “Hati Yasmin sungguh murni dan ikhlas. Saya percaya ramai yang selesa dengannya kerana dia juga banyak membantu orang.”

Allahyarham Yasmin telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya pada pukul 11.25 malam kelmarin selepas menjalani pembedahan pada Khamis lalu setelah diserang strok dan mengalami pendarahan otak.

Muhibah Yasmin

Umum mengetahui Yasmin dianggap sebagai orang baru yang melangkah kaki ke dunia pengarahan filem. Namun soal baru ataupun lama bukanlah agenda penting yang ingin dibahaskan dalam coretan istimewa ini.

Penangan Yasmin sebagai sutradara dilihat cukup ‘berkuasa’ kepada penggiat seni lain dan khalayak. Masakan tidak, semua orang berbahas tentang keberanian Yasmin yang bersikap telus tatkala menceritakan tentang masyarakat majmuk di Malaysia.

Biasanya, dalam sesebuah filem tempatan, kita boleh melihat hampir 90 peratus pelakonnya adalah Melayu. Namun cuba anda perhatikan filem-filem garapan Yasmin yang indah dengan barisan para pelakon berbagai bangsa, kaum dan budaya. Ia mencerminkan sikap dan prinsip seorang Yasmin yang tidak punya sebarang perasaan skeptikal terhadap orang lain.

Sebut sahaja filem-filem arahannya bermula dengan Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009), masing- masing ada warna dan corak tersendiri yang membuatkan penonton bukan Melayu juga dapat duduk sama dalam panggung wayang bagi menerokai karya nukilan Yasmin.

Sama halnya juga dengan sikap Yasmin di luar. Sarat dengan sikap muhibah membuatkan beliau mudah didekati oleh orang sekeliling. Siapa sahaja yang tidak tertawan dengan keramahan dan lidahnya yang sentiasa bercakap tentang perkara yang baik-baik belaka.

Lantaran itu, tidak hairanlah apabila situasi yang sama dapat dilihat dalam upacara pengebumian Yasmin. Kali pertama tiba di masjid dan selepas itu, ke tapak perkuburan, hati orang ramai seakan-akan teringat babak-babak penyatuan semua kaum dalam filem Yasmin.

Pengarah yang tiada pengganti

Ucapara pengebumian Yasmin dihadiri oleh pelbagai bangsa yang turut berduka dengan kehilangan seorang teman yang selama ini ketawa dan menangis bersama. Tidak pernah meletakkan sebarang batasan dirinya sebagai orang popular, Yasmin bijak menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja waima kali pertama bertentangan mata.

Kerana itu, pengumpulan pelbagai bangsa pada upacara pengebumian Allahyarham Yasmin menunjukkan beliau diberi penghargaan bagaikan seorang pemimpin negara.

Melihatkan profil karya filemnya yang baru bermula pada tahun 2003, penangan nama Yasmin Ahmad begitu kuat dan kerap disebut-sebut oleh masyarakat luar serta penggiat seni lain tidak kira dari segi positif atau negatif.

Kontroversi yang diterima Allahyarham Yasmin di arena perfileman tanah air adalah ekoran keterbukaan dan keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan.

Selain nilai-nilai muhibah dan kemasyarakatan yang diterap ke dalam filem, penyampaian cerita yang dihasilkan juga begitu artistik dan kreatif. Setakat ini, belum lagi ada pengganti yang begitu kreatif sepertinya.

Sungguhpun dikritik hebat, beberapa filem beliau telah diangkat ke peringkat antarabangsa dengan pelbagai anugerah yang antaranya adalah Anugerah Filem Asia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2005, Anugerah Grand Prix di Festival Filem Wanita Antarabangsa Creteil 2005 dan Anugerah Filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.

Kenyataan adiknya, Muzaffar Ahmad, 38, pada Jumaat lalu begitu menusuk hati. Kata Muzaffar: “Bukan masa Yasmin tinggalkan kita.” Kata-kata itu memang ada kebenarannya. Tiada sesiapa yang mahu Yasmin meninggalkan kita dan keluarga untuk selama-lamanya.

Namun itu semua kuasa Tuhan yang menentukan segala-galanya. Barangkali Yang Maha Kuasa amat menyayangi Yasmin lantas nyawanya diambil dalam waktu awal tatkala masyarakat Malaysia masih dahagakan karya beliau.

Biar apa jua yang berlaku, hasil peninggalan Yasmin iaitu filem-filem yang digarapnya sebelum ini tetap akan diingati oleh pemujanya sehingga bila-bila. Hakikat itu memang tidak mampu dinafikan lagi.

Walaupun beliau sudah tiada di muka bumi ini lagi, paling pasti rakyat Malaysia tetap akan merindui beliau. Tiada kata lain yang dapat dizahirkan melainkan ucapan semoga Yasmin ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan rohnya bersemadi dengan aman di alam seterusnya. Selamat tinggal Yasmin!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kematian Yasmin Turut Dirasai Di Singapura

Sekitar Pengebumian Pengarah Yasmin Ahmad