in ,

Yasmin Ahmad Dalam Kenangan di TV3

YASMIN AHMAD DALAM KENANGAN
TV3 Kongsi Paparan Allahyarham Yasmin Ahmad (1958-2009)

Pemergian pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad sememangnya mengejutkan industri perfileman tanahair. Bukan itu saja malah, pemergiannya juga diratapi dengan titisan airmata oleh seluruh rakyat Malaysia dan Singapura. Perginya sudah seorang lagi tokoh perfileman tanahair.

Allahyarham Yasmin Ahmad, 51, telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam Sabtu lalu. Beliau sebelum ini rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, TV3 dan dikejarkan ke hospital berdekatan. Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

3771169805 79Cc049947 O | 4

Yasmin Ahmad telah dikebumikan di tanah perkuburan USJ22, Subang Jaya pada hari Ahad lalu dan dihadiri oleh sanak saudara dan sahabat handai.

Yasmin, dalam riwayatnya adalah seorang sutradara filem yang cukup kreatif. Selain menabur bakti dan keringat di industri filem tanahair, beliau juga seorang penulis skrip dan juga Pengarah Eksekutif Kreatif di Leo Burnett Kuala Lumpur.

Filem-filem arahannya seperti Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime telah memenangi pelbagai anugerah dan penghargaan didalam dan di luar negara membawa pengiktirafan tertinggi untuknya. Karyanya tertumpu kepada plot-plot kemanusiaan, fokus kepada cara interaksi sesama manusia. Sebagai contoh, melalui filem Mukhsin yang memenangi penghargaan di Berlin International Film Festival Ke 57,
tentang kasih sayang dan percintaan antara watak Orked, 10, dan Mukhsin, 12.

Filem ini memaparkan tentang rasa cinta pertama yang timbul di hati mereka. Bagaimanapun ketika itu masalah yang timbul ialah Orked masih terlalu mentah untuk bercinta, manakala Mukhsin pula sedang melalui zaman peralihan akil baligh. Hingga hari terakhir Mukhsin meninggalkan kampung Orked, dia masih gagal meluahkan rasa cintanya Lalu Mukhsin pergi meninggalkan satu kenangan cinta indah buat Orked yang turut diminati seorang kanak-kanak Cina di sekolahnya.

Menurut Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar “Secara peribadi, saya kehilangan seorang kawan dengan kepergiannya. Yasmin seorang yang peramah dan tidak lokek ilmu. Kita kehilangan seorang kreatif dalam dunia pengiklanan dan di indutri filem tanahair. Seorang yang berjiwa kreatif yang karyanya menyentuh jutaan hati seluruh rakyat Malaysia.

“Di TV3, kami menghargai pengorbanan dirinya dalam dunia pengiklanan dan perfileman. Kami telah lama bekerjasama dengan arwah, malah sentiasa menyokong hasil karya dirinya. Justeru kami paparkan melalui terbitan istimewa Majalah 3 – Perwarisan Yasmin Ahmad 1958-2009 pada Sabtu ini 1 Ogos 2009 jam 9.00 malam  dan melalui slot Cerekarama pula, filem Mukhsin pula akan disiarkan pada jam 10.00 malam,” ujarnya Nurul Aini lagi.

Produksi Majalah 3 turut berjumpa ahli keluarga Arwah dan menyelami perasaan mereka terutamanya dengan ibunya, Enom Yon dan kakaknya Datin Orked Ahmad. Penggambaran juga diadakan di pejabatnya, Leo Burnett dan mendekati beberapa rakan-rakan rapatnya. Malah di bilik pejabatnya dipenuhi pelbagai cenderamata dan anugerah dimenangi atas kreativiti beliau.

Majalah 3 juga menemubual beberapa rakan-rakan rapat dalam industri yang diceburi seperti Fatimah Abu Bakar, Othman Hafsham, Azean Idrawaty, Fuad Onah  dan  Dato’ Sri Farid Ridzuan dan ramai lagi yang benar-benar rasa kehilangan sahabat yang mempunyai bakat yang luar biasa.

Paparan Pewarisan Yasmin Ahmad, mendekatkan penonton kepada pencinta seni tulen kerana baginya filem atau iklan satu medium untuk berkongsi idea, cerita dan pengalaman tanpa mengira bangsa, umur dan agama. Benarlah kata pepatah, ‘manusia mati meninggalkan nama’. Semoga roh arwah dicucuri rahmat – AlFatihah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ashraf Muslim dan Sherry Ibrahim Putus Cinta

Liyana Jasmay di Jelajah Era di Nilai, Negeri Sembilan