in

Noraniza Idris, Razis Ismail & Azmir Arif Lancar Lagu Raya

Luncai Emas Sdn Bhd bersama Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPVSB) melancarkan sebuah lagi lagu sebagai pengisian Hari Raya di tahun 2014 ini dan juga turut memperkenalkan dua ‘single’ sekali gus daripada seorang artis baru di dalam industri muzik tanahair.

’Kalimah Lebaran’ merupakan buah tangan ”pop tradisional” terbaru daripada penyanyi popular Noraniza Idris yang berduet bersama penyanyi popular era 80an Razis Ismail dan juga penyanyi muda Azmir Arif. Kemunculan semula Razis Ismail yang popular suatu ketika dulu menerusi lagu ”Kehilangan” dan ” Mawar Bukan Milikku” pasti akan membuatkan peminat beliau lebih teruja untuk menikmati Kalimah Lebaran ini.

Bagi Noraniza Idris pula, setelah mencatat sejarah tersendiri dalam industri muzik dengan pencalonan 5 buah lagu nyanyiannya menerusi album “Cintaku Satu” dan sekaligus terpilih ke peringkat akhir Anugerah Industri Muzik pada tahun 2012 yang lalu, kini pemenang Lagu Terbaik Pop Etnik AIM19 itu muncul kembali dengan single terbaru Kalimah Lebaran ini bersempena hari raya yang bakal menjelang nanti.

Kalimah iTunes

Lagu yang menggabungkan 3 generasi penyanyi berlainan era ini merupakan hasil ciptaan Bapa Irama Malaysia, Pak Ngah dan liriknya ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya dijangka menambahkan lagi kemeriahan anda menyambut lebaran tahun ini.

Disamping itu juga, majlis ini turut memperkenalkan seorang lagi penyanyi baru IHAB ISMAIL yang mempertaruhkan dua ’single’ terbarunya iaitu Akar Kita Zapin dan Pahlawan Zafana sebagai intro karier beliau memasuki persada seni tanahair. IHAB bukan sahaja berbakat sebagai penyanyi malah kedua-dua lagu ini juga merupakan hasil ciptaannya manakala Ahmad Fedtri Yahya menulis untuk lirik Pahlawan Zafana.

Ini merupakan sebuah kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPVSB) sebagai tanda menyokong irama tradisi kita secara berterusan. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar manakala NIPVSB adalah penerbit lagu-lagu ini. Turut dihargai juga adalah pihak penaja iaitu Rohana Kasih Enterprise yang menjadi penerbit bersama Kalimah Lebaran dan menaja penerbitan lagu dan majlis perasmian ini.

Ketiga-tiga lagu ini akan dipasarkan terus secara digital melalui saluran iTunes Store manakala pembelian nada dering pemanggil turut tersedia di laman web kesemua syarikat telekomunikasi di negara ini.

Majlis pelancaran Kalimah Lebaran, Akar Kita Zapin Dan Pahlawan Zafana bersempena Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara ini telah dilancarkan dengan meriahnya oleh YM Tengku Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M Tengku Azman Shah Al-Haj, yang merupakan penaung Siri Jelajah ini.

Manakala pelancaran kerjasama di antara pihak Luncai Emas Sdn Bhd sebagai pengedar dan NIPVSB telah dibuat oleh Dato’ M.Nasir selaku Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn Bhd dan YBrs. Tuan Hj Jeffri Iman Bin Hj Hoodi, Pengarah Urusan Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd.

Di dalam majlis ini juga turut memperkenalkan Noraniza Idris sebagai duta produk makanan dan kesihatan ROHANA KASIH. Pelantikan ini dibuat sendiri oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Rohana Kasih Enterprise iaitu Puan Rohana Che Hassan.

Luncai Emas berharap para peminat akan memberi sokongan terhadap lagu-lagu ini dengan membeli secara atas talian mahupun membeli nada dering pemanggil sebagai koleksi peribadi mahupun untuk menghadiahi orang tersayang di hari raya yang mulia ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jaclyn Victor Lebar Sayap Ke Hollywood

Felixia Yeap Tidak Benar Liputan Media Majlis Peluk Islam