in , ,

Nak Berniaga Pun, Jangan Sampai Memfitnah – Nora Danish

Pelakon, Nora Danish, kecewa dengan sebuah penulisan di internet yang mendakwa dirinya tidak lagi berminat untuk berlakon bagi memberikan tumpuan kepada dunia perniagaan.

Menurut Nora Danish, 36, banyak fakta disiarkan dalam artikel terbabit tidak tepat, termasuk dia kononnya muncul dengan produk krim antipenuaan.

Menegaskan dakwaan terbabit palsu, Nora turut berkongsi paparan skrin artikel berkenaan yang dikongsi menerusi IG Story di akaun Instagram miliknya.

HBO The Secret Life of Pets (GIDGET_Nora Danish) 01
Nora Danish

“Saya belum lagi terfikir untuk bersara. Walaupun sibuk dengan perniagaan dan keluarga, minat terhadap lakonan tak pernah hilang.

“Suami (Nedim Nazri) sendiri tidak kisah jika saya terus berlakon. Jelas, laporan dalam artikel itu palsu.

“Saya tidak pernah mengeluarkan produk antipenuaan seperti ditulis. Bahkan, gambar hiasan digunakan mereka juga adalah foto yang dirakam pada majlis ulang tahun kawan saya, bukannya pelancaran produk dimaksudkan,”

– Nora Danish

Mengikut artikel itu juga, Nora dikatakan mempunyai syarikat pengurusan yang mengendalikan kerjayanya.

“Perkara itu cukup pelik kerana saya kini bergerak sendiri, tanpa dibantu mana-mana syarikat pengurusan,”

– Nora Danish

Ibu kepada dua putera, Putera Rayqal dan Mohamed Neyqal Nedim, itu berharap peminat tidak cepat percaya dengan laporan berkenaan.

“Saya juga maklum mengenai permainan mereka bagi menaikkan jumlah trafik dan pembacaan sebagai strategi melariskan atau memperkenalkan sesuatu produk. Kiranya, taktik mereka memang menjadi kerana kawan sendiri ingat saya menjual produk sedemikian.

“Saya juga berniaga, tetapi bukan dengan cara menabur fitnah. Tidak perlulah sampai mengada-adakan cerita tidak benar.

“Saya berpeluang memeriksa jenama produk terbabit dan ia memang wujud. Lebih melucukan, dalam artikel itu pun ada ulasan daripada beberapa artis terkemuka, yang memuji produk berkenaan,”

– Nora Danish

Nora juga mendakwa, penulis terbabit menggunakan logo sebuah majalah terkenal, yang ditampal pada laman penulisannya.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelancaran Filem M4M4 Lakonan Nabila Huda

Rosyam Sedih Dituduh Barua Akui Miliki 10% Saham