in , ,

Nadia Annuar Gantikan Uyaina Arshad Jadi Hos Baharu ‘Pencarian Nona Superwoman’

Uyaina Arshad undur diri buat sementara, bakal kembali bergabung untuk kemudi pusingan kemuncak pada 10 November kelak

Setelah mengendalikan pertandingan realitiPencarian Nona Superwoman terbitan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. dan Astro Prima selama dua buah episod bermula 22 September lalu, selebriti Uyaina Arshad dengan berat hati mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sebagai hos utama buat sementara waktu kerana terikat dengan komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.

Tanggungjawab tersebut kini digalas oleh selebriti Nadia Annuar yang sudahpun memulakan tugas pengacaraan dalam episod ketiga malam tadi, 6 Oktober 2021.

Bagi memberi kelainan istimewa, kedua-dua mereka akan kembali bergabung untuk mengemudikan pusingan kemuncak program ‘Pencarian Nona Superwoman’ yang dijadualkan untuk berlangsung pada 10 November kelak.

Nadia Annuar Hos Baharu ‘Pencarian Nona Superwoman’

Mengulas lanjut mengenai keputusan yang diambil, Uyaina Arshad berkata, “Pertama sekali tahniah kepada kesemua 12 finalis. Saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama anda untuk minggu ketiga dan seterusnya atas faktor tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan. 

Akan tetapi, saya harap anda semua boleh lakukan yang terbaik dan rebut peluang yang diberikan ini sebaiknya.  Peluang ini adalah salah satu peluang yang cukup hebat dan sangat besar yang mampu merubah corak perniagaan anda. All the best!

Kepada Kak Nadia Annuar, terima kasih kerana sudi menyambung tugasan mengacara program Pencarian Nona Superwoman untuk musim ini. There is no better candidate than you! All the best to you too, dan kita jumpa sewaktu pusingan akhir nanti.”

Berbesar hati dengan kepercayaan yang diberi, Nadia Annuar berkata, “Sejujurnya saya tidak pernah menjangka dan berasa amat teruja apabila menerima tawaran untuk menggalas tugas sebagai  pengacara bagi program ini.

Meskipun bidang pengacaraan bukanlah sesuatu yang baharu buat saya, namun cabaran pada kali ini bukan mudah serta turut memerlukan persediaan rapi. Selain perlu membawa kelainan segar dengan cara yang tersendiri, saya juga perlu menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Uyaina Arshad dalam masa yang sama.   

Dengan sokongan semua, saya sahut cabaran ini dan bertekad untuk melakukan yang terbaik agar tidak menghampakan amanah yang diberi. Terima kasih kepada pihak Astro dan Ideaktiv kerana mempercayai bakat dan kemampuan saya untuk mengacarakan program ini. Semoga segalanya berjalan lancar. Let’s do this!”. 

Nadia Annuar Gantikan Uyaina Arshad Jadi Hos Baharu ‘Pencarian Nona Superwoman’

Selain kejutan mengenai pertukaran hos baharu, episod ketiga yang disiarkan secara eksklusif malam tadi juga turut menyaksikan salah seorang finalis, Syamimi Khalil, 32, yang berasal dari Kelantan telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada terus bertanding. Untuk makluman, Syamimi turut berada di kedudukan terendah pada episod kedua minggu lalu.

Dengan keputusan tersebut, hanya 11 finalis sahaja yang berentap di cabaran episod ketiga bertemakan ‘Digital Marketing’. Sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran minggu ketiga, sebuah kelas istimewa berkaitan digital marketing bersama mentor perniagaan muda, Andika Putera turut disediakan untuk membantu persiapan para finalis dalam menyediakan pembentangan mengenai kempen digital di platform media bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga golongan B40 sewaktu pandemik Covid-19.

Pembentangan oleh finalis Emma Bee dan Sarah Ismail kurang mendapat perhatian barisan juri sehingga meletakkan mereka di kedudukan dua terendah. Setelah markah keseluruhan  dikira, nasib tidak menyebelahi Emma Bee, 37, yang berasal dari Selangor apabila diumumkan sebagai peserta pertama yang tersingkir pada musim ini.

Kini masih tinggal 10 finalis yang berjaya mara ke pusingan seterusnya. Mereka terdiri daripada SYU RAMLI (33, Melaka), FAZSFAOZI (35, Perak), LINDA ROOS (36, Kuala Lumpur), ANA NAJIA (26, Perak), RINA HASHIM (35, Kelantan), AYU OMAR (28, Kuala Lumpur), JIEJIE (26, Sabah), AYDA (30, Kelantan), SARAH ISMAIL (34, Kuala Lumpur) dan FAZLIA AKMA (37, Kuala Lumpur).

Nadia Annuar Gantikan Uyaina Arshad Jadi Hos Baharu ‘Pencarian Nona Superwoman’

Program ‘Pencarian Nona Superwoman’ yang diperkasakan oleh USANITA selaku penaja utamaialah sebuah pertandingan berkonsepkan realiti untuk mencungkil potensi golongan usahawan wanita khususnya kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sekaligus memberi inspirasi dan dorongan positif kepada segenap lapisan masyarakat yang ingin meneroka peluang sumber pendapatan baharu dengan menceburi bidang keusahawanan.

Prestasi para peserta diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri profesional yang terdiri daripada selebriti Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan selaku juri tetap serta juri jemputan yang diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu.

Rangkaian program ‘Pencarian Nona Superwoman’ disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.

Selama lapan minggu, program ‘Kapsul Pencarian Nona Superwoman’ disiarkan pada setiap hari Rabu, jam 7.00 malam mulai 22 September lalu. Manakala program utama ‘Pencarian Nona Superwoman’ pula ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam 

Juara ‘Pencarian Nona Superwoman’ akan membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi. Manakala peserta yang mendapat kedudukan di tangga kedua dan ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Asics Invites Runners To Run Together To Uplift The World In The Asics World Ekiden 2021

Maxis Mula Tamatkan Rangkaian 3G di Malaysia, Bermula Di Terengganu