in , ,

Nabil Ahmad Mahu Bagi Bonus Untuk Pelakon Filem MAT BOND MALAYA Jika Kutipan RM10 Juta

Ini baru kongsi rezeki namanya. Pengacara terkenal Nabil Ahmad berjanji akan memberikan bonus kepada pelakon dan kru filem yang menjayakan filem pertama terbitannya, Mat Bond Malaya sekiranya kutipan tontonan naskhah berkenaan mencecah angka RM10 juta.

Pengacara yang kini bergelar pengarah, Nabil Ahmad menyatakan dia akan memberikan bonus kepada barisan pelakon dan tenaga produksi apabila filem pertama arahannya, Mat Bond Malaya mencatat kutipan RM10 juta di Astro First.

Nabil berkata, perkara berkenaan telah dimaklumkan olehnya kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem berkenaan.

“Pada asalnya, saya sasarkan filem ini adalah untuk tayangan di pawagam dan pernah beritahu mereka (pelakon dan kru) jika filem ini catat kutipan RM20 juta, saya akan bagi bonus.

“Namun begitu, dalam keadaan sekarang ini filem ini hanya mampu tayang di Astro First. Apapun, bonus tetap akan diberikan jika ia mampu mengutip sebanyak RM10 juta,”

– Nabil Ahmad

Nabil berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual yang berlangsung baru-baru ini.

MAT BOND MALAYA

Diterbitkan oleh KMN Production, filem Mat Bond Malaya menampilkan Naqiudan Elizabeth Tansebagai teraju utama serta pelawak Farid Azmeir, Azri Iskandar, Riezman Khuzaimi, Amyza Adnan, Reza Hasbi, Azrin, Aloy, Aziz M. Osman dan Ghaz Abu Bakar.

Lebih istimewa lagi, beberapa binatang besar seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Ramli MS, Syafiq Kyle, Ning Baizura, Han Byul, Didie Alias, Mamak Puteh, Achey Bocey, Taukeh dan Mamat Khalid turut membuat kemunculan khas secara cameo.

Mat Bond Malaya mengisahkan tentang Mat yang ingin menjadi seorang ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, dia berjaya bekerja di M6, tetapi sebagai ‘office boy’. 

Pada masa yang sama, dia mula menyukai salah seorang ejen jelita bernama Bondi. Mat telah dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi. Namun, Mat tidak berjaya dan disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi kepada G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti.

Satu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombie yang disebarkan oleh Dr Ebel. Ramai yang terkena virus tersebut termasuklah ejen-ejen di M6 dan Bondi. Mat tiada pilihan melainkan dan perlu mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.

MAT BOND MALAYA

Menceritakan lebih lanjut mengenai pembikinan filem berkenaan, Nabil memberitahu pihaknya bernasib baik apabila penggambaran selesai dilakukan seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada tahun lalu.

“Penggambaran filem ini berlangsung selama 25 hari dan ia turut membabitkan seramai 350 pelakon tambahan yang kebanyakannya terdiri daripada penuntut sebuah kolej.

“Apa pun saya bersyukur kerana penggambaran berjalan dengan lancar. Biarpun tidak dapat ditayangkan di pawagam, saya tetap berpuas hati apabila akhirnya filem ini dapat juga ditayangkan di Astro First,”

– Nabil Ahmad

Enggan mendedahkan kejutan, namun katanya persetujuan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS yang julung kali menerima tawaran muncul dalam filem sebagai cameo sebagai bonus tambahan.

“Datuk Ramli MS sendiri mengaku ramai memujuknya sebelum ini tapi dia keberatan. Apabila pujukan saya mengena, tentu teruja sebab pertama kali penonton dapat tengok personaliti TV tegas itu berlakon.

“Ramai lagi nama popular kita panggil yang menggamatkan kisah ini seperti Datuk Seri Aliff Syukri. Mereka pun sangat bagus sebab tolong uar-uarkan tayangan Mat Bond Malaya.

“Saya bertuah dikelilingi kawan yang bagi sokongan dengan bantu promosikan termasuk Zizan Razak,”

– Nabil Ahmad

Berkongsi pengalaman ketika penggambaran dua tahun lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nabil tidak menyangka kisah yang memaparkan babak ‘lockdown’ benar-benar berlaku.

“Kerja penggambaran tamat kira-kira seminggu sebelum PKP pertama diumumkan. Sebelumnya penggambaran berjalan dengan lancar malah kami hanya berada di set dari pagi hingga ke petang.

“Kami jangkakan situasi membabitkan Covid-19 ketika itu terkawal sehingga seminggu kerja di set tamat, keluar arahan PKP. Tentu saja semua orang terkejut kerana dalam filem ini ada babak ‘lockdown’.

“Macam dejavu bila apa yang kita paparkan, akhirnya berlaku di alam nyata malah keadaan berkurung demi mengelak jangkitan ini terus berlanjutan hingga sekarang.

“Memang membimbangkan tetapi saya secara peribadi bersyukur dapat menyempurnakan penggambaran dalam tempoh 25 hari dengan sokongan pelakon serta kru yang berdedikasi,”

– Nabil Ahmad

Membabitkan 350 pelakon tambahan daripada kalangan penuntut kolej, Nabil juga tidak gentar menggandingkan Naqiu dan Elizabeth Tan sebagai teraju utama.

“Lagi pun ini satu gandingan unik. Saya menjual skrip dan lakon layar, bukan pelakon semata-mata sebab kalau ikutkan ada yang bertanya kenapa tidak letak aktor nama besar lain yang secara mudah dapat tarik penonton.

“Saya jadikan sutradara Mamat Khalid sebagai rujukan. Lihat filemnya, seperti Man Laksa yang mampu membuatkan penonton terhibur dan tonton berulang kali sedangkan tiada nama popular dibariskan.

“Sebenarnya saya sudah ada tiga skrip untuk filem seterusnya malah saya pesan kepada Naqiu bersedia untuk masuk set selepas PKP tamat kerana yakin dengan perancangan sekuel Mat Bond Malaya.

“Biarpun agak kecewa kerana filem ini dihasilkan menggunakan bajet dan kelengkapan penggambaran untuk tayangan pawagam, saya perlu mengikuti norma baharu dengan platform filemTV,”

– Nabil Ahmad

Mat Bond Malaya akan mula menemui penonton mulai 20 Julai ini dan mereka yang ingin menontonnya boleh melanggan di saluran Astro First 480. Jangan lupa tonton okay!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KFC Burger Banjir Baharu Lazat Meleleh-Leleh Menjilat Jari

Cara Mudah Nak Menonton Sukan Olimpik Tokyo 2020 Secara Percuma