Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in ,

Mr Mama Musim Baru Kembali Lagi

KELETAH MR. MAMA KEMBALI !

Apabila kaum lelaki memikul tanggungjawab dalam menguruskan hal rumahtangga, dapatkah beliau melaksanakan tugas-tugas tersebut dengan teliti dan penuh sabar?

MR. MAMA, drama komedi yang diperkenalkan di TV3 pada tahun 2008 berjaya mencuri perhatian para penonton dengan mencecah rating paling tinggi sebanyak 2.65 juta penonton. Kini, MR. MAMA musim ke-3 akan mula bersiaran pada 3 November 2010, setiap hari Rabu jam 10.00malam.

Masih mengekalkan Arash Mohd sebagai watak utama, Badrul ataupun Mr. Mama, drama bersiri 13 episod terbitan Radius One Sdn Bhd turut membariskan pelakon-pelakon popular seperti Jasmine Ashraff (Suria), Syainie Aida (Aliya), Muhammad Syahmi (Alif) dan Muhammad Naim Daniel (Afif). Diarahkan oleh sutradara yang tidak asing lagi, Heykal Hanifah, Mr. Mama musim ke-3 diserikan dengan karenah keluarga Badrul yang mencuitkan hati.

Mr. Mama mengisahkan kehidupan Badrul yang sibuk dalam urusan rumah tangga sementara isterinya, Suria seorang wanita berkerjaya yang amat komited terhadap kerjanya. Dalam musim ke-3 ini menceritakan bagaimana suasana rumah Badrul menjadi tegang apabila ibu Badrul, Mak Ude datang melawat dari kampung. Suria menjadi resah.

Dia sering bergaduh dengan Mak Ude kerana tidak bersependapat. Keadaan menjadi keruh apabila Mak Ude beria-ia memberikan petua tradisional kepada Badrul dan Suria bagi membahagiakan rumah tangga mereka. Badrul amat tertekan dengan perselisihan faham antara ibu dan isterinya. Akhirnya, Mak Ude mengundur diri dan berjanji akan datang melawat mereka apabila ada masa lapang.

Sikap Badrul yang mudah mempercayakan orang juga membawa padah selepas ditipu dalam skim cabutan bertuah. Badrul juga terperangkap dalam permainan kutu dengan suri rumah yang dikenalinya. Suria sering menegur sikap Badrul.

Selain itu, Badrul juga terpaksa melayan pelbagai karenah anak-anaknya seperti menyediakan kostum Naruto untuk Afif dan cinta monyet Aliya. Akhirnya, Badrul menjadi pening kepala akibat tidak dapat menguruskan rumah tangga sehingga keadaan rumah menjadi berselerak. Apakah Badrul akan meletak jawatannya sebagai Mr. Mama? Bagaimana pula dengan hubungan Suria dan Mak Ude?

Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Peka dengan permintaan penonton dan juga situasi semasa, dimana ada para suami yang menjadi surirumah membantu isteri, kita cuba menegetengahkan plot yang sesuai dengan masyarakat. Juga atas permintaan ramai daripada jutaan penonton setia TV3, Mr. Mama kembali dengan jalan cerita yang lebih segar dan menarik.

Drama bersiri “Mr. Mama” juga pernah dianugerahkan sebagai Drama Komedi Terbaik Anugerah Skrin 2008. Kami yakin bahawa lakonan mantap para pelakon serta persembahan cerita yang ringan dan lucu pasti dapat memikat hati seterusnya menghiburkan penonton-penonton kami.”

Jangan ketinggalan untuk menonton siri drama komedi, Mr Mama musim ke-3 yang pasti mencuit hati anda mulai 3 November 2010, setiap hari Rabu jam 10.00malam.

Zulaikha, antara pelakon Mr. Mama.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version