in ,

Mendepani Covid-19, Sasterawan & Seniman Bersatu Dalam PUISI MAYA

Meja Poedjangga Malaysia sebagai sebuah badan kesenian bukan kerajaan bakal merayakan seni dan sastera sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2020 serta Dekad Membaca Kebangsaan dengan mengadakan program Puisi Maya – Bahasa Itu Ibundaku.

Sebagai menyambut seruan kerajaan dan iltizam kesenimanan, Meja Poedjangga (M) Ent bakal mengadakan Puisi Maya yang berupa sebuah program pembacaan sebuah puisi panjang secara dalam talian melalui sebuah klip video berdurasi 10 minit yang menghimpunkan 11 tokoh terkenal yang terdiri dari pelbagai bidang termasuk sastera, filem, muzik dan kesenian. 11 orang tersebut ialah Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Datuk Syafinaz Selamat, Umar Uzair, Dr. Saleeh Rahamad (Presiden PENA), Osman Ali (Pengarah Filem), Pn. Ezlina Alias (Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negera, Melaka), Roslan Madun (Raja Syair Nusantara), Prof. Dr. Lim Swee Tin, Nad Zainal (Aktres) dan Lin Haslinaz (Deklamator Kebangsaan).

PUISI MAYA

Objektif pelaksanaan Puisi Maya adalah untuk terus menyemarakkan aktiviti kesenian dan kesusasteraan pada musim pandemik yang berpanjangan ini agar terus dapat bersaing seiring dengan perkembangan teknologi semasa selain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang dalam usaha memupuk semangat positif dan kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya dengan mempamerkan rasa cinta terhadap budaya dan bahasa.

Puisi Maya didatangkan dalam sebuah persembahan pembacaan secara perseorangan di kediaman tersendiri seterusnya disatukan secara beramai-ramai dalam sebuah klip video yang akan dipancarkan melalui media sosial utama seperti Youtube, Instagram dan Facebook Meja Poedjangga, Dewan Bahasa dan Pustaka serta didukungi oleh para tokoh yang terlibat mulai 1 November 2020. Dengan membawakan tema bahasa dan persuratan, teks puisi yang dipersembahkan oleh para tokoh terlibat berjudul Bahasa Itu Ibundaku merupakan karya Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh.

Puisi Maya merupakan cetusan penyanyi dan penulis, Umar Uzair yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Meja Poedjangga Malaysia yang telah lama aktif membawa sastera dan kesenian di dalam dan luar negara.

PUISI MAYA
Umar Uzair

“Saya agak terkilan kerana Bulan Bahasa Kebangsaan agak sepi pada tahun ini kerana pandemik menghalang kita untuk mengadakan sesebuah program secara langsung tapi sasterawan dan seniman seharusnya terus maju ke hadapan bersama manfaat teknologi.

Norma baharu ini kita usahakan sebagai satu cara masyarakat tidak melihat sastera terkebelakang,”

– Umar Uzair

Meja Poedjangga bersama produksinya juga berharap agar ada pihak-pihak penerbitan rancangan yang berkesudian untuk membawakan program seumpama secara langsung ke kaca televisyen agar lebih dapat diberi pengukuhannya.

Semoga dengan sokongan ini ia akan menjadi pemangkin kepada produksi seniman dan seluruh keluarga seni sastera di Malaysia dan lambang keprihatinan agensi kerajaan dan bukan kerajaan terhadap keperkasaan bahasa dan khazanah negara melalui persembahan kesusasteraan.

What do you think?

74 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Netizen Mahu BCL & Ariel Nikah, Tapi Ada Yang Bantah, Sebab Tak Setanding Ashraf Sinclair

Panggung RTM, Kesal Seorang Pesakit HIV Dalam Telefilem KALIMAH CINTA